Sunday, 5 March 2017

BAB 1~ CEMAS

Keadaan jalan tar di situ bagai ular dipalu. Dia mula mengesat peluh renek di dahi. Sesekali dia menarik nafas dalam. Stereng kereta dipulasnya, kasar. Tidak boleh ralit di situ, buruk padahnya.

Anak matanya mencuri pandang ke cermin pandang belakang. Tiada pula!  Hatinya terdetik berbagai pertanyaan. Di dalam rasa curiga yang belum reda, dia memandang semula ke sisi sebelah kanan jalan yang begitu sayup kejauhan.
Gaung dalam itu amat menggerunkan. Kesunyian petang makin terasa bila berada di kawasan yang tidak pernah dilalui. Nun di bawah sana, dia dapat melihat rimbunan pohon-pohon durian yang mula memutik. Warna perang gelap pepohon durian terlihat meliputi cerun curam itu hingga ke dalam sana gaung.
“Hm…  kalau ada kebun durian, tentu ada orang di sini…  aneh…,”  getus hati kecilnya, cuba menyedapkan perasaan sendiri yang sememangnya tidak keruan di kala itu. Ya, itu rasionalnya. Tidak mungkin kebun sebegitu wujud sendiri!
Sekali lagi matanya mengerling ke cermin belakang. Argh!  Kali ini dia nampak lagi, dan dia semakin yakin!  Walaupun tebing tinggi di sebelah kiri jalan melindungi objek hitam di belakang, sesekali dia dapat melihatnya sepintas lalu bila tiba di kawasan yang  kurang berbelok.
Air liur diteguk payah. Pahit rasanya, tatkala hati mula dipagut resah. Entah mengapa kereta itu ada di belakangnya sejak tadi. Masakan kebetulan, memandangkan dari kawasan pekan tadi lagi, hinggalah ke kawasan yang sunyi ini, kereta itu masih tetap di belakang, walaupun jaraknya agak jauh.
Dia yakin benar dengan daya ingatannya. Memang kereta itu sedang mengekorinya!  Dia memang yakin ada dua orang lelaki di dalamnya, meskipun samar-samar. Anak muda itu menghembus kasar angin dari bawah bibirnya, hingga  beralun rambutnya yang terjuntai. “Rambut ini, entah bila hendak dikemaskan!”  desis hatinya, rimas.
Entah mengapa, tiba-tiba jantungnya berdegup kencang. Rasanya, kereta hitam itu cuba memotongnya di jalan yang sempit itu. Dia cepat menekan minyak. Entah mengapa juga, hatinya kuat mengatakan yang mereka itu berniat buruk!
“Mungkin ini jugalah yang telah berlaku pada Tuan Haji!”  hatinya berbisik tanya. Pedal minyak ditekan lagi, sehingga menderam bunyinya, apa lagi jalan mula mencuram naik ke atas.
“Ah!  Mereka makin rapat!”  dia menggerutu sendirian. Cuak dia. Dalam situasi sekalut itu, entah mengapa, tergambar pula wajah Tuan Haji yang tenang dengan matanya yang tertutup rapat dan bibirnya yang tersenyum. Wajah tenang itu jugalah semakin hari semakin jelas tergambar sehingga sukar dipadamkan! 
Itulah… nampaknya ubat itu semakin kuat menjalar di otaknya!
Tangan kanannya menepuk stereng, kesal yang teramat kesal. Belum puas dengan perlakuan kasar itu, hujung siku kanannya dihentak pada birai tingkap kereta. Sendi  jari telunjuknya sempat digigit sekilas sambil dia mendengus kasar.
Kesal!  Kesal sungguh!  Rasa seperti mahu saja dihempas kepala ke dinding. Bodoh sungguh!  Mengapa dia tidak berfikir panjang sebelum menerima tawaran itu!
Bunyi menderam menangkap gegendang telinga. Kereta tadi!  Argh… mereka yang tidak diundang! Kedua-dua belah tangannya cepat memulas stereng ke kiri. Sedikit sahaja lagi!  Hanya sipi-sipi sahaja bonet kereta hitam itu hampir bersenerih dangan pintu belakang keretanya!
“Memang mereka ini sengaja cari nahas!”  makinya, cemas.
“Priiiittt!”  Panjang kedengaran bunyi tayar menyeret jalan. Dengan perasaan cemas dia menoleh. Kini, jelas terlihat wajah penumpang di sebelah tempat duduk kiri. Sekali lagi dia meneguk liur. Memang jelas di ingatannya wajah itu!  Lelaki botak itulah yang pernah dilihatnya di rumah Tuan Haji!
Memang ubat itu sudah benar-benar sebati dengan otaknya!  Jika tidak masakan dia ingat segala-galanya sebegitu kuat sekali!
Dan …  si botak itu sedang menghala muncung pistol ke arahnya!
“Pang!”
Kaget dia bila cermin keretanya tiba-tiba ditembusi sesuatu. Dia cepat tunduk, sehingga tidak terkawal stereng keretanya. Matanya sekilas hinggap ke cermin yang kini ditembusi peluru. Jelas kelihatan cermin berlubang yang retak seribu, menunggu masa berderai.
“Ya Allah!”
Dia tunduk lagi tatkala tiba pula peluru kedua yang serta merta menghancurkan retakan cermin itu. Cebisan kaca halus hinggap ke kanan pipi. Peritnya, Tuhan sahaja yang tahu. Namun, tidak sempat dia menyapu pipinya yang mula memercik darah. Keretanya miring hampir-hampir ke tebing konkrit  di kiri jalan. Cepat dikawalnya stereng kereta. Bagai pecah jantungnya dengan situasi yang tidak diduga itu. Mujur keretanya tidak menghentam tebing keras itu!
“Allahu Akbar!”  pekiknya, cemas.
Syukurlah kerana dia masih ingatkan Tuhan di kala kecemasan begitu. Kala itu, tiada lagi pilihan selain nekad meletakkan takdir di bawah aturan Yang Maha Berkuasa.
Hidup atau mati!  Ah!  Itu bukan soalnya!  Kalau Allah kata aku hidup, maka aku akan hidup... walau apa jua keadaannya nanti!  Kalau janji-Nya aku mati, maka aku mati selepas berjuang!
Kala itu terbayang wajah Suresh yang tersenyum lemah. Kesal itu datang lagi. Kesal berbaur marah!  Stereng kereta digenggam kejap. Kakinya menekan pedal minyak sehingga rapat ke lantai. Enjin kereta makin menderam kuat. Bau zarah petrol menyengat rongga hidungnya!
Mampus kau!
Stereng kereta diputar ke kanan dengan kasar, sehingga sisi keretanya menghentam sisi kiri kereta hitam yang sedari tadi seiring kedudukannya. Kereta hitam itu terhoyong ke kanan, hampir terdorong ke dalam gaung, namun dapat dikawal kembali lalu memotong laju keretanya. Mereka kini lebih terkehadapan daripadanya, lalu dengan secepat mungkin memintas di hadapannya dan sengaja menekan brek sehingga dia terpaksa memperlahankan keretanya yang kini membuntuti mereka.
Argh!  Melampau sungguh!
Mustahil dia dapat memusing dan berpatah balik di jalan yang sempit dan bergaung ini. Dia mengerut dahi. Resah sungguh melihat keadaan yang sangat kritikal itu.
Biar sampai ke hujung nyawa! 
Bagai mendapat kekuatan baru, dia menekan minyak paling maksimum, sehingga keretanya itu menyentak ke hadapan dan menghentak bumper kereta hitam itu. Kali ini, dia berharap sungguh-sungguh supaya kereta hitam itu terus terjun ke dalam gaung di hadapan sana!
Biar padan dengan mereka!
Namun, dengan tidak disangka, tiba-tiba cermin hadapan itu ditembusi peluru secara bertubi-tubi. Dia sempat tunduk mengelak. Cermin kaca itu hancur berderai. Tidak dapat dijangka lagi apa yang ada di hadapan. Keadaan seribut itu begitu menduga kecekalan hatinya. Peluru hidup itu datang bagai hujan yang tidak tahu berhenti!
Allah!  Hanya Kau yang tahu penghujung takdirku!
Hatinya sempat meyakini tatkala merasakan kereta yang dipandunya melayang ke hadapan, kemudiannya menjunam turun ke bawah… .
Kala itulah pintu kereta itu sempat ditendang hingga terbuka... .
KERETA PUTIH ITU MENJUNAM ke dalam gaung, lalu  berputar beberapa kali sebelum meletup dengan kuat. Api menjulang dengan marak di antara pepohon durian yang sedang memutik.
Serta merta kereta hitam di hadapan mampir ke bahu jalan. Lalu keluarlah dua orang lelaki berpakaian seragam biru dengan tergesa-gesa. Lelaki botak berwajah serius itu merenung ke dalam sana gaung dengan matanya yang mengecil.
“Kesan signal!”  katanya, menyuruh tegas.
Lelaki yang lebih muda di sebelahnya mengeluarkan satu alat sebesar kalkulator, bersama satu aerial sepanjang 10 cm. Alat itu dihidupkan, lalu terpaparlah graf frekuensi yang sekata.
“Isyaratnya sudah mati,”  balas si pemuda yang berbangsa India, namun masih sangsi.
Cuba kesan sekali lagi!”  suruh si kepala botak.
Si pemuda India itu mengangguk akur. Sekali lagi dia membawa alat itu, lalu dihalakannya ke alam luas untuk mencari isyarat yang diminta itu. Namun seketika kemudian dia kelihatan menggeleng-geleng kepalanya.
“Boss, kita mesti pantau signal ini sekurang-kurangnya sebulan. Kalau dia pengsan pun, signal ini boleh mati juga,”  pemuda itu memberitahu dengan yakin.
Lelaki botak itu menarik nafas dalam. Dengan cepat dia mendail telefonnya. Seketika kemudian, terdengar suaranya berkata di gagang, “Tuan, kereta masuk gaung dan meletup. Status ajen tidak dapat dipastikan. Signal tidak dapat dikesan. Tolong hantar pasukan untuk buat pencarian di kilometer 97!”
Suasana sekitar beransur gelap. Api yang menjulang tadi kini telah malap. Tinggallah kawasan belukar sekitar yang masih dimamah api kemerahan  bekas letupan tadi. Pasukan mencari telah datang dengan dua buah jeep. Lima orang petugas operasi mencari telah datang dengan peralatan mendaki. Gaung yang curam sembilan puluh darjah itu hanya boleh dituruni dengan tali.
Pencarian selama satu jam berakhir dengan sia-sia. Bangkai kereta yang telah rentung itu ternyata kosong di dalamnya. Tiada mayat atau tulang belulang yang hangus dalam letupan itu. Dia yang dicari hilang sebegitu sahaja!
Si kepala botak menggigit bibir dengan perasaan terbakar. Sekali lagi dia mendail nombor tadi, lalu memberi laporan, “Tuan, ajen 007 hilang tanpa kesan. Gerakan mencari masih diteruskan!”  Dia terdiam sambil mendengar arahan di sebelah sana talian. Seketika kemudian, dia mengangguk, lalu membalas, “Ajen 007 memang cukup terlatih untuk menghadapi saat genting!”  Dia terdiam lagi. Mukanya berkerut seketika, mungkin dimarahi di hujung sana.
 Seketika kemudian, dia menggeleng sendirian, lalu membalas keras, “Ya, ajen 007, ‘Murad 007’!”
Murad 007?  Siapakah dia?  Nama yang disebut itu bagai ada auranya yang tersendiri... .
Mentari ‘fatamorgana’ di ufuk barat tenggelam dengan cepat. Lancang kuning berlayar malam. Langit merah  menyambut kehadiran mereka yang tidak kenal waktu untuk menyembah diri pada Yang Kuasa.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.