Sunday, 5 March 2017

BAB 2~ UMAR


Jari jemari halus Siti Zulaikha mencecah air jernih di takungan. Dingin air yang  berembun sepanjang malam menyerap ke kulitnya yang terdedah. Gadis itu tersenyum sendirian, sehingga berlekuk pipinya yang berlesung pipit.

Semilir pagi tidak pernah jemu mendamaikan daerah itu. Embun yang hinggap dari lewat malam, kini menitis antara dedaunan. Butir-butir halus itu bagaikan permata  berkilau tatkala mencapah cahaya mentari.
Damainya pagi itu. Sedamai hati si gadis Zulaikha yang muda dan ghairah dengan kehidupan. Bagi  si gadis, hidup ini terlalu indah untuk disiakan. Berada di daerah yang sunyi berteman pepohonan hijau itu amat mengujakan. Terlalu banyak yang boleh dilihat, dinikmati dan difahami. Bumi luas ciptaan Allah ini adalah sekolah baginya.
Air di takungan dicecahnya, lalu diraup dengan dua belah tangannya. Air jernih itu dipencar ke wajahnya. Alangkah segarnya tatkala titisan jernih itu menyentuh kulit.
Subhanallah!  Hatinya mengucap penuh damai. Terasa betapa beruntungnya dirinya dapat merasai keindahan itu.
Sesekali singgah di daerah ini mencipta kepuasan bagi dirinya. Kehidupan seharian sebagai guru Sains di Sekolah Rendah Kampung Ketapang adalah satu anugerah. Kawasan perkampungan yang masih bercirikan tradisional itu membuatkan hatinya terpaut untuk terus menabur bakti. Anak-anak petani yang dahagakan ilmu menjadi sumber kekuatan.
Kampung Ketapang yang  bertanah rendah itu tidaklah seluas mana. Kawasan sawahnya  bersebelahan dengan tanah tinggi. Dari kawasan sawah, tanah itu mengunjur naik membentuk batuan keras yang memancang bukit bukau. Kawasan tanah tinggi yang cukup subur itu menjadi punca pendapatan kedua bagi nelayan di situ. Ramai yang memugar tanahnya untuk dijadikan dusun durian.
Begitu jugalah yang dibuat Haji Salleh, ayah Siti Zulaikha. Semenjak dia tidak lagi ke bendang, masanya banyak di habiskan di dusun durian itu. Walaupun tanah pugarnya jauh ke dalam hutan, dia tetap berulang alik dari kampung ke situ, malahan kerap kalinya dia akan bermalam di sana.
Bagi gadis itu, hari cuti akan menjadi hari dia menemani ayahnya ke sini. Hari inilah dia akan menyapu daun-daun durian kering yang gugur di sekitar pondok tua ayahnya. Tatkala cahaya matahari setinggi alis matanya, dia mula menghidupkan kayu api untuk menanak nasi dan menggoreng ikan. Semua itu adalah kepuasan yang tidak tergambar. Waktu itulah nostalgia zaman kanak-kanaknya hidup semula. Merasai kehidupan bagai orang lama, hidup sekadaran namun fikiran tanpa celaru.
Cukuplah sepinggan nasi panas, ikan goreng, sambal dan pucuk kayu yang dipetik di dusun itu. Bagi ayahnya, makan sebegitu adalah nikmat yang tidak tercerita. Ketika zat dalam badan berubah menjadi keringat, kala itulah menyuap nasi adalah satu kesyukuran. Butir-butir nasi semata sudah terasa lazatnya!
Air di takungan dikocak-kocaknya beberapa kali. Hari ini dia ralit benar bermain air. Belum sempat dihidupkan api di tungku. Air yang mengalir keluar dari hujung buluh itu disalurkan dari mata air di kaki bukit. Haji Salleh telah menyambung  beberapa batang paip pvc lama sebelum sampai ke  dusun. Di dusun, dia menyambung aliran air itu dengan buluh yang dibelah dua.
Itulah yang indahnya. Air yang jatuh dari hujung belahan buluh ke takungan mengalunkan iramanya yang tersendiri.
Haji Salleh sejak awal tadi keluar. Mahu menebas di ‘hujung kampung’ katanya. Hujung kampung yang dimaksudkan itu adalah sempadan dusun mereka. Tanah seluas tiga ekar itu perlu dibersihkan sebelum musim durian gugur. Batang-batang pokok kayu renek sudah menjadi belukar lalu harus ditetak dan dibakar. Biar mudah sedikit mencari durian di pagi hari.
Sempadan dusun itu bersambung dengan hutan luas. Dusun Haji Salleh letaknya paling di tengah hutan, jauh dari kebun orang lain. Haji Salleh yang suka begitu. Dia tidak mahu berebut-rebut dengan orang kampung yang mahu memugar kawasan yang dekat dengan kampung.
Nampaknya, ayahnya akan berlama di sana pagi ini, begitulah telahan Siti Zulaikha. Jika dia sempat  menyiapkan juadah hari itu lebih awal, bolehlah dia menyertai ayahnya di hujung kampung memerun himpunan ranting kering yang sempat ditetak ayahnya minggu lepas. Kayu-kayuan yang lebih besar boleh dibawa ke pondok untuk dijadikan kayu api. Ubi kayu yang digali semalam masih ada di pelantar. Jika sempat dilempar dalam bara api yang memijar, merasalah dia makan ubi kayu bakar sebelum pulang nanti!
“Siti!  Siti Zulaikha!”
Lamunan gadis itu terputus. Siti Zulaika mencari arah datangnya suara ayahnya. Hairan sungguh!  Mengapa hari ini awal benar ayahnya selesai bekerja?  Dia belum pun sempat menanak nasi.
Dari kejauhan, matanya menangkap kelibat si ayah mengatur langkah sukar, sambil memaut seorang lelaki yang lebih tinggi dari dirinya. Aneh sungguh!  Siapa pula yang ada di dusun itu?  Sakitkah dia?  Mengapa dia terpaksa dipapah pula?
Siti Zulaikha cepat berlari anak menghampiri ayahnya. Tatkala dia mendekati mereka, hatinya berdegup kencang tatkala terlihat seorang lelaki muda yang calar balar tubuhnya dipenuhi darah. Dia yang bagaikan separa sedar itu  dipapah sama oleh si gadis. Kasihan ayahnya yang tua. Kederatnya tidak cukup untuk membawa anak muda itu sendirian.
“Cepat, Zulaikha!  Dia parah!”  suruh ayahnya, tercungap-cungap.
“Siapa dia ini, ayah?”  tanya gadis itu, hairan.
“Entahlah,”  balas ayahnya, semput. “Jomlah kita bawa dia ke pondok. Orang ini harus dibantu!”
Siti Zulaikha segera akur arahan ayahnya. Si pemuda yang tinggi tegap itu bukanlah lawan mereka. Mereka berdua terpaksa bertungkus lumus mengangkat tubuhnya yang berat, dan meletakkannya di atas pelantar. Dia yang kini langsung tidak sedarkan diri.
Siti Zulaikha memandang wajah itu. Ada luka halus namun memencar di pipi kanannya. Gadis itu serta merta tersentak. Terpesona dia. Wajah itu sungguh indah, walaupun terlindung di sebalik calar balar dan kulitnya yang kotor berminyak.
Siapakah dia?    Apa yang telah terjadi padanya? Baik atau jahatkah orangnya?
Serta merta gadis itu memaling mukanya. Rasa berdosa pula melihat lelaki yang tidak pernah dikenalinya itu.
UMAR BERLARI-LARI SAMBIL menggalas beg sangkut. Keringat halus mula memercik di dahi. Nafasnya turun naik dengan sekata. Bertahun-tahun dia begitulah keadaannya, sehinggakan dia tidak lagi tercungap-cungap berlarian sebegitu.
Mengapa dia harus berlari?  Tentulah ada sebabnya. Jika dia ditanya, beginilah jawapannya, “Saya tiada pilihan... .”
Sekolah Menengah Bakti yang terletak satu setengah kilometer dari rumahnya terpaksa didatanginya setiap hari. Dengan sakunya yang kosong, dia tidak dapat menunggu bas ke sekolah, sebagaimana dia tidak dapat merasa peluang membeli makanan di kantin seperti anak-anak lain yang sebaya dengannya. Bekalan ubi rebus bersama kelapa itulah yang dibawanya ke sekolah setiap hari. Tidak pernah dia merungut akan keadaannya itu.
Tahun demi tahun, dia telah membesar menjadi anak remaja yang gagah. Otot kakinya berulas dek kesungguhannya mengayuh urat kakinya setiap hari. Betisnya seteguh keluli, dan urat ketinnya melantun bagaikan spring. Kulitnya yang dibakar mentari berubah menjadi sawo matang.
Tatkala dia meningkat remaja, dirinya menjadi kegilaan gadis-gadis di sekolah. Bukan kerana penampilannya semata-mata, anak ini juga mempunyai sikap yang sangat baik. Prestasi pelajarannya juga bagus. Dia menjadi contoh di kalangan guru. Walaupun orangnya pendiam, tindakannya cepat, prihatin dan penuh pemikiran.
“Umar!  Awak sibukkah petang nanti?”  Suresh kawan rapatnya menegur sewaktu loceng pulang berdering dua kali.
Umar memerhati rakannya yang kurus dan tinggi lampai itu. Suresh yang berkaca mata tebal juga merupakan seorang pelajar yang bijak di sekolah itu. Mereka sekampung dan bersahabat baik sejak kecil lagi.
Tersenyum dia seperti selalunya, lalu bahu Suresh dipaut dengan lengannya yang berotot kejap, “Biasalah Suresh. Kau cari aku di kebun nenas,”  ujarnya, mesra. “Tapi jangan awal sangat. Aku tak sempat siap kerja nanti!”
Mereka berpisah di hadapan pagar sekolah. Suresh menunggu ayahnya datang mengambilnya dengan motorsikal manakala Umar berlari-lari anak membelah mentari terik jam dua petang.
Bekerja di kebun nenas bukanlah sesuatu yang mudah. Dia terpaksa menanggung berkampit-kampit baja tahi ayam di bahu remajanya. Ayahnya, Lebai Dasuki, kerap mengambil upah dari Tauke Leong bila tiba waktu menanam semula.
Mentari petang yang terik membuatkan peluh memercik di belakang badannya yang tegap. Kala itulah, kampit baja yang ditanggung di belakang pundaknya basah terkena peluhnya. Lalu peluh dan najis ayam itu bercampur menghasilkan asid yang tajam. Habis melecet kulitnya bergesel dengan kampit baja itu.
Namun, dia tidak pernah mengeluh. Dia yakin benar, suatu hari nanti nasibnya akan berubah. Dia tidak akan susah selamanya. Setelah dia senang nanti, ayah dan ibunya akan dibawa tinggal bersama dengannya, lalu mereka tidak lagi perlu bekerja keras.
“Tak apalah, Umar. Memang manusia diberi Allah Taala tulang empat kerat untuk bekerja,”  ucap ayahnya seperti selalunya. Orang tua itu seperti sudah menerima hidup seadanya. Setiap kali Umar menyatakan impiannya, begitulah jawapan ayahnya.
“Tapi, Tauke Leong yang memerah keringat ayah untung berganda-ganda tanpa perlu bekerja,”  balasnya, merasa dipergunakan. Di manakah keadilan dalam kehidupan?  Begitulah akal mudanya berkata-kata.
“Siapa kata dia tidak bekerja?”  ujar Lebai Dasuki, melantunkan kembali persoalan itu di benak anak remajanya. “Ayah bekerja siang sahaja, Tauke Leong bekerja siang malam...,”  selar orang tua itu sambil bersandar di perdu kelapa. Tangannya dibasuh dengan air dari botol mineral. Seketika nanti tangan itu jugalah yang akan mencubit ubi rebus dari bekalan.
Umar mengerutkan dahinya. Tiada pertanyaan lagi yang keluar dari mulutnya. Dia menunggu ayahnya menjelaskan dengan lebih lanjut.
“Orang berniaga seperti Tauke Leong itu, sampai tidurpun masih mengira hutang, tanggungan dan seribu satu macam perkara lagi,”  selar orang tua itu, yakin sungguh. “Bukan mudah kerja orang berniaga, Umar... .”
Anak remaja itu terdiam. Tidak mampu rasanya berselisih pendapat dengan ayahnya. Setiap kata-kata orang tua itu seperti ada betulnya bila dilihat dari sudut tertentu, walaupun dia masih yakin yang dia harus berusaha membawa kedua orang tuanya keluar dari kesempitan itu.
Ada kalanya pendapat ayahnya amat aneh pada pandangan mudanya. Pernah sekali guru kelasnya memanggil ayahnya datang sewaktu mengambil keputusan ujian akhir tahun. Waktu itu, Cikgu Lina, guru kelasnya mencadangkan agar Lebai Dasuki memohon bantuan zakat untuk membeli keperluan Umar.
“Kalau Lebai dapat bantuan zakat nanti, bolehlah Lebai belikan basikal untuk Umar,”  begitulah pujuk Cikgu Lina yang amat mengambil berat akan dirinya.
Ketika itu juga Lebai Dasuki menolak mentah-mentah. Dia bersungguh-sungguh berkata yang dia tidak boleh menerima zakat. Umar masih ingat jelas kata-kata ayahnya, “Saya masih boleh bekerja, cikgu. Zakat itu untuk orang yang tidak mampu... .”
Cikgu Lina menggeleng sendirian. Umar dapat melihat betapa gurunya pening dan keliru dengan jawapan ayahnya.
“Lebai... tak kasihankan Lebai melihat Umar berlari ke sekolah. Jauh pula jaraknya...,”  pantas Cikgu Lina memberikan buah fikirannya.
“Kasihan... . Memanglah saya kasihan...,”  balas orang tua itu, tidak menolak kata-kata guru anaknya.
“Tapi...?”  Cikgu Lina bertanya kembali, seperti mahu menduga pemikiran lebai tua itu.
Budak yang biasa hidup selesa, akan jual agama dan negaranya bila dia tiba-tiba jatuh susah!”
Umar melingas ke kiri dan ke kanan. Dalam mimpinya yang panjang itu, dia nampak kembali zaman remajanya. Kata-kata terakhir ayahnya pada Cikgu Lina tertanam kuat di ingatannya. Ia bertapak kukuh, menjadi satu kosa kata yang berulang-ulang di fikirannya, namun tidak pernah mahu dijadikan tunjang hidupnya! Ahhh....!
Kalaulah dipegangnya kata-kata itu, tentu sudah lama tawaran itu ditolaknya. Kerana tidak yakin dengan nasihat ayahnyalah, dia menerimanya. Waktu itu dia hanya nampak keuntungan yang berlipat. Dia lupa kerana mabuk wang!
“MENGAPA DIA MELINGAS, ayah?”  Siti Zulaikha bertanya kehairanan. Pemuda yang sedang lena itu tiba-tiba sahaja meronta kecil, seperti bermimpikan sesuatu. Hairan gadis itu, sejak pagi kelmarin hingga hari ini, si pemuda lena panjang tanpa terganggu. Namun, hari ini?
Dek kerana kejadian awal pagi kelmarin, mereka dua beranak terpaksa bermalam di pondok itu. Haji Salleh mengambil masa sehingga petang untuk mencuci dan mengubati luka di tubuh anak muda yang tidak diketahui namanya itu.
“Di mana ayah jumpa orang ini?”  tanya Siti Zulaikha setelah dua beranak itu meletakkan si pemuda di atas pelantar. Di dalam keadaan dirinya yang masih sangsi akan kehadiran jejaka yang penuh misteri itu, lekat juga rasa simpati di hatinya.
“Di hujung kampung. Dia pengsan di perdu durian,”  beritahu Haji Salleh, penuh simpati.
“Kalau dia orang jahat, bagaimana ayah?”  tanya gadis itu lagi, runsing.
Haji Salleh serta merta menggeleng kepalanya. Wajah bujur sirih anaknya dipandang sekilas, “Jahat atau baik, dia manusia yang dalam kesusahan. Dia berhak dibantu.”
Siti Zulaikha menggigit bibir. Tidak guna dilawan kata ayahnya. Orang tua itu lebih dahulu makan garam... .
DALAM SAMAR-SAMAR pandangan matanya, dia kembali ke zaman remajanya. Waktu itu ibunya meninggal setelah tiga bulan batuk tanpa henti. Umar kini kehilangan kasih seorang ibu, pada umurnya di awal tujuh belas tahun.
Seperti tidak puas rasanya bermanja dengan ibu. Tidak dapat diterimanya pemergian yang sebegitu cepat, hanya kerana penyakit batuk. Sebab yang terlalu sedikit. Argh!
Lalu dia mencari satu tempat untuk diletakkan kekesalannya. Kemiskinan itulah puncanya, hingga ibunya tidak dapat dibawa ke hospital yang lebih canggih untuk membuat pemeriksaan menyeluruh. Dengan kekurangan dan kemiskinan keluarganya, ibunya hanya berharap pada ubatan kampung dan ubat batuk dari klinik desa berdekatan semata-mata.
“Kalau ibu sempat dibawa ke hospital besar, tentu ibu belum mati,”  keluhnya tatkala Lebai Dasuki mengajaknya pulang dari kebun nenas. Sejak pemergian ibunya, setiap petang selepas kerja di kebun nenas, dia akan singgah di tanah perkuburan untuk melawat pusara ibunya.
“Umar..., ajal maut itu sudah ditetapkan Allah. Penyakit batuk itu hanyalah sebagai sebab-musabab sahaja,”  jelas Lebai Dasuki, seperti memujuk anaknya supaya lebih faham dan menerima.
“Tapi... kata Ustaz, manusia harus berusaha, tidak boleh lepas tangan...,”  balasnya serta merta, sinis. Dia merasakan yang ayahnya kurang mengambil berat akan ibunya. Setitis air jernih  jatuh di pipinya.
“Betul...,”  balas ayahnya, lanjut. Orang tua itu sedikitpun tidak terasa hati dengan ucapan sinis anaknya. “Cuba kamu tengok di sebelah sana...,”  kata ayahnya sambil menunjukkan di luar sana kebun, melintasi parit yang membahagi kebun nenas tauke cina itu dengan hutan di sebelahnya. Umar serta-merta merenung kejauhan. Ada beberapa batang pokok nenas liar tumbuh di dalam hutan itu, begitu subur sekali.
“Mana yang lebih cantik, nenas yang kita jaga ini, atau nenas di luar sana?”  tanya ayahnya, tenang.
Umar merenung ke luar sana untuk kedua kalinya. Pokok nenas itu diperhatinya. Memang tiada bezanya. Perlahan-lahan dia menggeleng kepalanya. “Sama sahaja. Yang di luar dan yang kita jaga, sama sahaja suburnya.”  Mati akalnya. Kala itu akalnya bagai dijentik.
“Bagaimana yang di luar sana boleh sama suburnya dengan yang di sini. Siapa yang menjaganya?”  tanya Lebai Dasuki lagi.
“Allahlah!” balas anak muda itu, cepat. Dia yakin benar dengan jawapannya. Itulah yang selalu dikatakan ustaz dan ustazah di sekolah.
Lebai Dasuki tersenyum tenang. “Kalau begitu, tak perlulah kita baja nenas di dalam kebun ini. Yang di luar sana, tidak dijagapun, tumbuh subur juga! Allah yang jaga... .”
Umar memejam matanya, kecewa. Setitis air jernih jatuh lagi. Dia tidak dapat menangkap maksud ayahnya. Makin keliru dia. Apa hubung kaitnya dengan kematian ibunya!
“Umar, Allah bukannya menilai ‘hasil’, tetapi Dia menilai ‘usaha’ kita. Kita harus membaja, menyiram dan sebagainya. Itu usaha!  Namun hasilnya, yang menumbuh dan menyuburkan pokok ini... Allah!”  ucap ayahnya, lembut. “Kita harus berusaha mengubati ibumu, tetapi yang menyihatkan atau mentakdirkan apa sahaja buat ibumu...  bukan kita, anakku... .”  Lebai Dasuki mengusap lembut kepala anaknya. “Ada orang yang lega dari sakitnya tanpa berubat, ada orang berubat beribu ringgit, tetapi mati juga. Tapi, berusaha itu wajib. Penentunya, Allah... .”
Sekali lagi tubuhnya melingas dengan kasar. Kata-kata ayahnya menusuk di hatinya yang paling dalam. Dan kata-kata itu bertapak kuat di ingatannya. Namun, sukar sungguh untuk diterimanya.
Dua beranak yang menjaga dia yang cedera parah itu terkejut untuk kedua kalinya. Pemuda ini bagaikan lena di atas bara api. Dia melingas dan berpeluh rintik. Haji Salleh cepat-cepat menyapu air bacaan Yasin ke wajah pemuda itu.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.