Bunyi derap air hujan memenuhi gegendang telinganya. Sedari awal petang, titisan kasar itu telah menyimbah daerah di kaki bukit itu. Irama yang sama fasanya itu tidak sesekali mengganggu pendengarannya, malahan ianya terlalu mengasyikkan.
Anak muda itu mengalih tubuhnya yang masih terasa pijar. Badannya
berhaba panas. Luka-luka berbirat itu telah mendemamkannya.
Namun luka di hati lebih lagi peritnya!
Matanya menangkap satu kelibat lelaki di luar sana pondok tua itu. Air
yang jatuh menyimbah di atap zink itu, turun melalui alur antara bumbung, lalu
melimpah ke tanah di hadapan tangga pondok. Lelaki tua di luar sana sedang mandi air
hujan itu dengan penuh bahagia. Digosok wajahnya, kepalanya dan seluruh
tubuhnya yang hanya berseluar lusuh itu.
Dia memerhati dengan satu perasaan yang tidak terungkap. Rasa
cemburu menjalar di hatinya. Cemburu dengan bahagia yang tidak perlu dibeli itu.
Ahhh... Alangkah bertuahnya jika dia
yang berada di tempat si tua itu.
Tangan kanannya menyapu pipinya dengan penuh dendam. Ah... tentu
pipi ini telah calar teruk. Dia mendengus kasar. Namun, calar itu juga masih tidak
dapat menandingi calar di hatinya.
Terbakar hatinya! Inilah padahnya bila bekerja dengan syaitan! Umar menggigit bibirnya dengan marah. Perasaan yang mula meluap-luap itu cuba
ditahannya.
Lelaki tua itu menapak naik anak tangga pondok. Barangkali,
dia sudah puas bermandikan hujan petang. Tuala nipis di tepi tangga dicapainya,
lalu kepalanya digosok penuh asyik.
Tatkala dia memijak lantai pondok yang dibuat dari susunan
papan lama itu, matanya tiba-tiba tertancap pada wajah anak muda yang telah
sedar dari lenanya. Dengan riak wajah penuh firasat, dia mendekati anak muda yang
juga sedang menilik gerak-gerinya.
“Alhamdulillah, kamu sudah sedar... anakku,” sapanya, lembut. Dia duduk berlutut di hadapan pembaringan seraya menyentuh leher
anak muda itu dengan kura tangannya. Suhu badan si pemuda beransur dingin. Orang
tua itu tersenyum lapang. Penantian dan usahanya selama tiga hari ini nampaknya
tidaklah sia-sia.
“Di mana saya, pak cik?”
tanya anak muda itu dengan sukar sekali. Dia yang cuba bangun dari pembaringan itu
ditahan oleh orang tua itu.
“Kamu di pondok pak cik,”
balas orang tua itu, lembut. Dengan wajah yang masih tenang, dia
bertanya lagi, “Siapa namamu, nak...?”
Anak muda itu turut sama menguntum senyum. Sekilas dia
dapat melihat keikhlasan di wajah orang tua itu. Lupa sudah dia pada amarah
yang baru bertapak.
“Umar... panggil
saya Umar...,” jawab anak muda itu, segan.
Kepalanya yang cuba
diangkat tadi diletakkan semula di atas bantal jerami berikat. Malu pula
rasanya setelah terpaksa menyusahkan orang tua yang tidak dikenali itu.
Orang tua itu mengangguk seketika, seperti sedang cuba
memahami sesuatu. Anak muda bernama Umar itu memerhati lagi dengan penuh tanda
tanya. Hairan sungguh dia. Siapa pula orang tua penuh berhemah itu, berada di
tengah hutan belantara pula? Buniankah? Apa lagi pertama kali dilihat bermandi
hujan sebegitu asyik!
“Pak cik ini... siapa?”
dia bertanya kembali, lemah. Memang di kala itu, hanya si tua itulah
penggantungan harapannya. Kejadian tempohari membuatkan dia terpaksa
berwaspada.
“Saya... Haji Salleh,”
ucapnya, memperkenalkan dirinya. “Tinggal di Kampung Ketapang... Datang
ke sini untuk melihat-lihat dusun... .”
Umar mengangguk kecil. Matanya menangkap objek berupa
sebuah periuk tanah yang digantung pada alang pondok. Periuk yang tergantung
selari dengan kedudukan kapalanya itu seperti berlubang, lalu menitiskan air
yang bermanik halus ke atas dahinya. Anak muda itu cuba bangun semula. Lupa sudah dia
pada tubuhnya yang tidak berdaya itu.
“Tidak mengapa. Itu air rendaman buah kundur. Titisannya
buat menjaram ubun-ubun kamu yang panas,”
tegur Haji Salleh, lembut.
Umar meletakkan kepalanya kembali ke atas bantal jerami
tadi. Fahamlah dia, bagaimana air dari periuk tanah itu menitis ke ubun-ubunnya,
lalu mengalir melepasi celah rerambut dan kemudiannya mengikut ira jerami. Dari
situ, air jatuh mencelah lantai papan terus ke tanah.
Umar mengangkat kepalanya lagi, lalu cuba melihat tubuhnya yang tidak
berbalut. Ada
luka dan calar yang kini beransur kering. Tentu orang tua ini juga yang
mengubati lukanya.
Dia memerhati wajah tua itu. Dengan perasaan bercampur
baur, dia mengucap lemah, “Terima kasih... Pak Haji... .”
Haji Salleh hanya mengangguk sambil tersenyum. Dia bangun
tangkas lalu menapak ke penjuru pondok. Ada
tungku masak di situ, dan sebuah periuk tanah. Umar mengikut gerak geri orang
tua itu dengan ekor matanya.
“Pak Cik ada masakkan bubur untuk kamu. Kamu harus makan...
biar cepat sembuh,” ujar Haji Salleh. Tangannya
pantas menyenduk isi periuk itu ke dalam mangkuk plastik.
Umar memerhati orang tua itu berjurus-jurus lamanya. Mujurlah
Haji Salleh tidak banyak bertanya tentang asal usulnya. Anak muda itu menarik
nafas dalam. Lebih baik begitu, getus
hatinya. Dia sedar, apa yang terjadi pada dirinya adalah amat rahsia.
SIAPALAH AGAKNYA pemuda misteri itu? Siti Zulaikha melayan fikirannya yang
bertebar jauh. Sejak dia meninggalkan
dusun tua ayahnya petang Ahad itu,
hatinya bagai terkenang-kenang. Entah mengapa, wajah yang tidak diundang itu lekat di
fikirannya.
“Siti...,” satu
suara lanjut mematikan lamunannya. Dia
segera menarik nafas dalam. Senyum yang
menguntum di bibirnya tatkala mengenang pemuda itu pudar serta merta.
“Siti... Kau
berangan-angan, ya?”
Munirah rupa-rupanya.
Cikgu Munirah adalah guru Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Kampung
Teluk. Mereka memang rapat. Apa lagi Munirah
adalah anak tempatan di situ, walaupun lebih
senior dari Siti Zulaikha.
Siti Zulaikha tersenyum kembali bila menyedari yang dia
hanya ditegur rakan karibnya. Pergelangan tangan Munirah dicekaknya. Bibirnya segera didekatkan ke cuping telinga
Munirah yang dilitupi kain tudung, lalu
dia berbisik, “Aku bertemu seseorang... .”
Ucapannya tidak dihabiskan. Bibirnya
tersenyum-senyum menampakkan lesung pipitnya yang dalam.
Serta merta mencerlang mata galak Munirah. Dia seperti
dapat mengagak. Masakan tidak, mustahil
Siti Zulaikha tersenyum menguntum jika tiada apa-apa!
“Lelaki...
ya...?” Munirah bertanya
kembali, dengan kerlingan penuh makna.
“Ya, lelaki...
. Aku hanya melihat…sekejap sahaja, tetapi tidak sempat mengenali...,” cerita
Siti Zulaikha, sedikit segan. Malu juga jika dikesan Munirah yang dia sedang
mengenang seseorang yang langsung tidak diketahui namanya.
“Huh! Bagaimana
boleh mengenang seseorang yang asing?”
protes Munirah, lancar.
Siti Zulaikha serta merta menarik muka. Memang sudah
dijangkanya yang dia akan mendengar teguran selancar itu. Bukan dia tidak kenal
Munirah yang menjadi rakan sepermainannya sejak kecil.
“Tiada apa-apalah, Munirah. Hanya mainan perasaanku. Lambat
laun, hilanglah ingatan ini...,” balasnya, perlahan. Di dalam hatinya, dia berharap agar
dapat membuang rasa yang tidak tahu hujung pangkalnya
itu.
Namun, harapan hanya
tinggal harapan. Wajah pemuda misteri itu sentiasa di hujung matanya. Seperti
ada sesuatu yang mengaitkan anak muda itu dengan dirinya.
Walaupun hati terkenang, dia tetap dibelengu rasa curiga
terhadap anak muda itu. Siapa tahu, anak muda itu berniat serong pada ayahnya.
Mengingatkan itu, si gadis serta-merta mengetap bibir.
Ayahnya juga sudah beberapa hari tidak pulang. Orang tua
itu hanya meninggalkan pesanan pada Siti Zulaikha, supaya memberitahu ibunya Zulaikha yang dia
memang akan bermalam di dusun beberapa hari lagi. Ada
hal yang harus diselesaikan, katanya.
Zulaikha terpaksa pulang menumpang Kak Zanariah yang datang
membantu suaminya membersihkan kebun getah mereka yang berhampiran, kerana ayahnya tidak pulang sama petang Ahad
itu.
“Ibu... boleh
Zulaikha lawat ayah hujung minggu ini?”
tanya gadis itu tatkala pulang dari sekolah petang Jumaat itu. Entah mengapa hatinya bagai digamit ke sana . Ada beberapa persoalan yang ingin dileraikan,
walaupun dia tahu dirinya bukan berkait sama.
Ibunya, Hajah Rokiah
serta merta merenung wajah gadis itu dengan penuh persoalan. Gadis itu tidak
perlu menunggu lama untuk mendengar teguran si ibu, “Bukankah ada orang muda
bersama ayah kamu? Tak segankah?”
Siti Zulaikha terperonyok di tepi jenang pintu. Pipinya
tiba-tiba terasa berhaba. Malu pula rasanya ditegur sebegitu rupa.
“Jadi anak dara ini,
harus tebal malunya...,”
terdengar suara ibunya yang lembut menegur. Wanita berusia lebih dari
separuh abad itu langsung tidak memandangnya,
sebaliknya sibuk mengangkat pinggan kotor yang telah diatur
bertingkat-tingkat untuk dibawa ke sinki.
Siti Zulaikha tersenyum malu. Nampaknya, mata tua ibunya cepat menangkap apa yang
tersirat di sebalik wajahnya. Bibir mungilnya digigit sekilas. Dia masih ligat
mencari jalan agar rasa ingin tahunya terlerai.
“Mak...,” panggilnya
lagi, manja.
“Hm...,” sahut
ibunya, acuh tidak acuh sahaja. “Apa lagi... ?” Mengeluh orang tua itu.
“Sudah lama ayah di dusun.
Agaknya beras di pondokpun tidak bersisa lagi. Biarlah Zulaikha bawakan
beras dan rempah-rempah untuk ayah,” ucapnya,
sambil memerhati gerak-geri ibunya dari sorot matanya. “Esok biarlah
Zulaikha ikut Kak Zanariah ke dusun... .”
Ibu tua itu melenggokkan kepalanya ke kiri kanan beberapa
kali. Matanya merenung anak gadisnya yang memang berwajah keanakan dan sedikit
nakal.Bukannya dia tidak kenal riak wajah manja itu. Tentu ada sesuatu yang
mahu dilakukan si gadis. Hm... .
Hajah Rokiah kenal sangat anaknya. Siti Zulaikha jarang
diam selagi dia tidak dapat menguraikan apa yang ingin diketahuinya. Anak itu
terlalu sukakan alam. Dia suka belajar dan mencari. Setiap ciptaan Tuhan
itu, dia mahu rungkaikan rahsianya. Dia
adalah perintis yang mahu mendedahkan keajaiban alam, itulah kata-kata yang lekat di bibirnya.
Atas sebab sikap ingin tahunya, Siti Zulaikha memilih bidang
Sains sewaktu di maktab perguruan. Cinta pada bidang itu terpancar di matanya
tatkala setiap misteri alam ini dapat difahaminya.
Gadis itu cerdik,
namun akalnya banyak. Tidak seperti gadis seusianya yang mula berbicara
tentang pasangan hidup, dia masih berbicara tentang haiwan dan jenisnya, kategori tumbuhan, fungsi itu dan ini, sehinggakan bicaranya
tidak menarik perhatian gadis seusianya. Adakalanya, bicaranya menjadi bahan
ketawa kawan-kawannya.
Atas sebab itu, Siti Zulaikha agak terpinggir dari kumpulan
gadis lain. Jika mereka suka ke bandar membelek pakaian di kedai pada hujung
minggu, gadis ini lebih suka mengikut ayahnya ke hutan. Menanak nasi dan
menebas adalah sebab kedua dia ke sana .
Sebab utamanya, dia suka membelek alam
sedekat-dekatnya, hinggalah pada titisan
embun, renjisan hujan dan entah apa-apa
lagi!
Entah mengapa pula hari ini dia tiba-tiba seperti minat
untuk menilik manusia... lelaki
pula... dan muda? Adakah anak ini sudah
beralih tumpuannya? Si ibu tua tertanya-tanya sendirian.
Diulik pertanyaan-pertanyaan itu, Hajah Rokiah mengalah
akhirnya. “Esok kamu pergi pagi...
tetapi petang kamu harus ikut Kak Zanariah pulang ke sini. Jangan
pandai-pandai tidur di sana ...
.”
Alhamdulillah... Akhirnya! Siti Zulaikha tersenyum lapang.
Dia mengucap syukur kerana ibunya percayakannya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.