Sunday, 5 March 2017

BAB 4~ DUSUN TUA

Hampir seminggu menumpang kasih di pondok tua yang amat sederhana itu, Umar sudah mampu bangun dan mengatur langkah. Untuk menguatkan urat tubuhnya yang baru kebah dari demam, Haji Salleh mengajar dia supaya jalan berkaki ayam memijak rumput yang masih berembun. Lalu, selepas solat subuh semampunya,  dia menapak turun ke tanah,  di kala mentari belum sempat menjenguk wajahnya.

Sambil menapak penuh waspada, anak muda itu sempat menggagah senyum. Begitulah selalunya. Memandang orang tua yang tidak banyak bertanya tentang asal usulnya itu, dari kejauhan cuma, sudah cukup untuk membuatkan hatinya berasa lega.
Entah mengapa dia boleh tercampak hingga ke dusun tua ini. Tidak pernah terfikir dek akalnya. Tidak ada di fikirannya seminggu yang lalu, akan dirinya yang berada di tempat yang mengembalikan ingatan ke zaman kanak-kanaknya.
Matanya lekat pada kok berlumut yang dibuat takungan. Entah dari manalah datangnya air di hujung buluh, yang tidak pernah jemu mengalir. Air di takungan yang melimpah itu jatuh ke tanah lalu kemudiannya mengalir lesu mengikut lurah hujan di antara akar kayu.
Dirinya rasa sedikit kuat. Tenaganya kini kembali pulih. Tatkala dia demam tempohari, tangannya sendiri tidak mampu diangkatnya. Terasalah dia, betapa malangnya jika dia lumpuh terus, lalu menjadi manusia yang hilang upaya. Mungkin, Allah masih mahu dia kembali bekerja, lalu dia pulih dari kemalangan yang penuh trauma itu.
Kemalangan itu!
Umar menggigit bibir. Hatinya berdetak. Hairan dia, mengapa tiada sesiapapun yang datang ke sini mencarinya. Sepatutnya, hanya dengan menggunakan mesin canggih mereka, dengan mudah sahaja dia dapat dikesan!
Adakah kerana daerah ini terperosok jauh ke dalam hutan?
“Pak cik hendak sambung kerja di hujung kampung. Kamu rehatlah ya.”
Umar menoleh mencari suara itu. Wajah lelaki tua itu memandangnya sambil tersenyum. Golok di tangannya dicekak kemas, tanda dia sudah siap sedia untuk bekerja.
“Kalau kamu sudah cukup sihat, hari ini pak cik hendak pulang ke kampung.  Insya Allah, lusa pak cik datang semula ke sini.”
Anak muda itu tersenyum sambil mengebam bibir. Terasalah dia betapa dia telah mengambil masa orang tua itu. Sudah hampir seminggu orang tua itu menemaninya.
Perlahan-lahan, dia mengangguk tanda faham.
Orang tua itu berlalu. Umar menghayun langkah berhati-hati ke takungan untuk membasuh mukanya. Luka yang telah kering itu kini tidak pedih lagi bila terkena air, hanya sedikit ngilu kerana kulit yang baru tumbuh itu masih tegang dan sebegitu nipis.
Fikirannya bertebar jauh. Dia berangan-angan untuk berjalan lebih jauh hari ini. Mungkin hingga ke tempat orang tua itu bekerja. Hatinya masih ingin melihat hujung kampung yang dikatakan Haji Salleh. Seingatnya, orang tua itu pernah memberitahu yang dia dijumpai tidak sedarkan diri di hujung kampung itulah!
Hujung kampung mana pula? Hatinya mendesis tanya. Mustahil ada kampung di tengah-tengah hutan ini?
Dari tempat dia ditemui, dia boleh mengagak semula jalan kembali ke tempat kemalangan itu. Selepas dia berjaya melompat keluar dari kereta tempohari, dia tergolek lalu luka di sana sini. Seingat anak muda itu, mengikut kemahirannya menganggar tempoh masa, dia berjalan membelah hutan selama tiga jam sebelum dia pengsan di dusun itu. Masih ada barang-barang penting yang tertinggal di dalam kereta itu. Jika boleh, dia mahu mengambilnya. Itupun, jika kereta itu masih dalam bentuk asalnya dan tidak dicerobohi orang yang mengejarnya.
Umar mengatur langkah mengikut arah ke utara yang telah diambil orang tua tadi. Mungkin dia dapat mengesan jejak Haji Salleh, begitulah perkiraannya. Matanya cuba menilik kesan tinggalan Haji Salleh, sekurang-kurangnya jejak kakinya, atau kesan ranting patah dirempuh. Namun, dia kembali mengerut dahi. Nampaknya, dia kalah. Badannya masih belum cukup kuat. Orang tua itu terlalu pantas dan seolah-olah dapat bolos dengan mudah sahaja di antara semak belukar. Dia lesap entah di celah mana.
Hampir sejam mencari arah, Umar mengambil keputusan untuk kembali ke pondok. Lalu dia harus belajar untuk berpuas hati dengan keadaannya setakat hari itu. Walaupun hatinya masih berhajat untuk kembali ke keretanya, dia pasrah untuk sementara waktu.
Mungkin keadaan masih bahaya di sana, pujuk hatinya.
Anak muda itu menghayun langkah berhati-hati. Cahaya mentari pagi kini telah mula terang. Kawasan di sekitar pondok yang lebih lapang tanpa pokok-pokok tinggi terasa segar kehijauan. Pagi itu amat indah di matanya.
Tatkala dia menyelak dedaun kayu yang melindungi pemandangannya ke pondok, hatinya tiba-tiba tersentak. Tegak bulu roma di tangannya. Matanya lekat pada satu kelibat manusia di tepi takungan.
Manusia... benarkah?
Umar menelan liur. Kering bibirnya bila melihat kelibat gadis yang entah dari mana datangnya. Sejenak dipandangnya si dia yang sedang asyik mengocak air.
Anak muda itu berselindung di sebalik batang pokok tua. Dia mula sangsi. Bagai tidak percaya rasanya. Mulanya, dia bertemu seorang tua yang amat menyendiri lagi tersendiri itu. Kini, dia bertemu pula seorang gadis yang sungguh mempesonakan mata lelakinya, di tengah-tengah dusun tua itu juga!
Gadis bertudung itu sedang tersenyum keasyikan. Jari-jemarinya yang lentik mencecah air jernih, lalu kedua belah tangannya meraup air dan disapu ke kulit wajahnya yang putih kemerahan. Seketika kemudian, dia menyelak kain batiknya hingga menampakkan betisnya yang putih melepak, lalu dijirus kakinya.
Umar serta merta menundukkan pandangannya. Dia beristighfar. Dadanya tiba-tiba berkocak. Jantungnya berdegup kencang sekencangnya, tidak pernah dirasainya sedemikian walaupun selepas berlari satu setengah kilometer ke sekolah!
Allah! Siapakah dia yang amat mempesonakan ini? Dari manakah datangnya?
Matanya membulat tatkala melihat gadis itu menapak tangga pondok tanpa teragak-agak. Dia yang asalnya bercadang untuk kembali merebahkan tubuhnya yang mula terasa lesu itu, terus mengundur. Masakan dia mahu masuk ke dalam, sedangkan ada seorang gadis di situ!
Umar memerhati ke kaki tangga. Hairan dia. Gadis itu juga seperti tidak meninggalkan jejak. Hanya ada sepasang selipar di kaki tangga, yang biasa digunakan anak muda itu untuk ke bilik air. Di mana pula sepatu gadis tadi? Ke mana pula lenyapnya?
Anak muda itu mengerdip matanya beberapa kali. Dia merasakan ada keanehan pada gadis itu. Pergerakannya yang begitu pantas, dan tanda yang tidak ditinggalkan... .
Seketika kemudian, gadis itu muncul di muka pintu.
Umar kembali berlindung. Dari celah pokok, matanya memerhati gadis itu. Di tangan si gadis, dia memegang sepatunya. Kala itu terjawablah pertanyaan di hati anak muda itu.
Gadis itu merenung ke ampaian buat seketika. Dia kemudiannya menuruni tangga kayu berselang itu tanpa kekok. Ringan sahaja pergerakannya.
Anak muda itu cuba memfokus perhatiannya dari kejauhan, namun wajah si gadis tidak dapat dicerna di fikirannya. Terlalu jauh untuk dia mengingati apatah lagi mengenali.
Gadis itu menebar pandangannya ke sekitar buat seketika. Dia kelihatan amat waspada. Seketika kemudian, dia kembali mengatur langkah ke takungan, namun tidak berhenti di situ. Langkahnya lembut namun pantas, melintasi takungan terus meninggalkan dusun durian. Dia lenyap di celah hutan di hadapan sana.
Umar menanti buat seketika sebelum mengatur langkah berhati-hati ke tangga pondok. Dia memijak tangga kayu itu dengan kejap, sebelum menolak tubuhnya yang lemah menaiki tangga itu. Tatkala dia melangkah masuk ke dalam pondok, matanya memerhati setiap ceruk pondok itu dengan waspada. Sengaja dicarinya perubahan yang mungkin berlaku dengan kehadiran gadis misteri itu.
Dia pasti, gadis itu adalah manusia. Jika tidak, si ayu itu tidak memegang sepatunya. Apa yang dia tidak pasti, mengapa si dia itu seperti mahu menyembunyikan kehadirannya? Datang dan pergi sebegitu cepat. Tidak menunggu dan tidak meninggalkan tanda.
Umar pasti benar, barang-barang di sekitar pondok itu tidak diusik. Tuala yang disangkut di penyidai tali di tepi pintu masih di situ. Tasbih tua yang disangkut di paku berhampiran ruang solat tidak terusik. Semuanya masih sama. Masih diuliti kehairanan, anak muda itu duduk di jenang pintu, lalu kakinya terjuntai, sambil memerhati alam yang luas. Terdetik rasa ralat di hatinya. Jika dia lebih kuat dan pulih sepenuhnya, harus gadis itu diekorinya. Rasa ingin tahu bertapak kuat di hatinya.
Anak muda itu bangun semula. Dia menapak ke dapur. Firasatnya menyuruh dia ke situ. Jika barangan lain tidak terusik, seorang gadis itu mungkin mahu menjengah dapur.  Ya, mungkin... !
Tudung tempayan kecil berisi beras dibukanya. Kala itu terjawablah kemusykilan di hatinya. Tempayan itu penuh berisi. Masakan begitu? Seminggu dia dan Haji Salleh menjamah nasi setiap hari, tidak mungkin beras tidak luak, setidak-tidaknya tinggal separuh!
Siapa lagi kalau bukan gadis itu yang menambahnya!
Umar menarik nafas dalam. Fahamlah dia, gadis itu ada kaitan kekeluargaan dengan Haji Salleh. Tatkala dia membuka tudung periuk, matanya lekat pada ikan kering yang tersusun disisi kiri lekuk periuk, manakala beberapa biji telur, bawang besar dan sebungkus minyak masak diatur rapi sehingga nampak mudah diambil tanpa berterabur.
Teliti sungguh si manis ini, getus hati anak muda itu. Dia menggeleng kepala sekilas sebelum kembali perlahan ke pembaringan.
Terdengar derap sepatu memijak dedaun kering. Umar menjengah ke jenang pintu. Pandangannya penuh dengan kelibat tua Haji Salleh yang telah kembali dari kerjanya. Umar cepat bangun untuk membantu mengambil golok dan beberapa batang kayu dan akar berpintal yang diikat dengan tali jerami di bahu orang tua itu.
“Terima kasih...,” ucap Haji Salleh sambil tersengih.
Umar mengangguk sekilas, lalu meletakkan kayu-kayuan dan golok tadi di dapur. Haji Salleh mengeluarkan satu bungkusan yang diikat di pinggangnya, duduk bersila lapang di tepi pintu. Dia menggamit tangannya pada anak muda itu dengan mesra.
“Marilah duduk di sini,” panggilnya dengan suaranya yang parau.
Umar tidak menolak. Dia duduk lalu memerhati dahi Haji Salleh yang sulah. Wajah itu sungguh tenang dan begitu berkarisma. Namun, orangnya tinggal menyendiri.
Umar kembali mengenang ayahnya. Perlakuan Haji Salleh, serta gerak gerinya, sama seperti ayahnya Lebai Dasuki. Cuma Haji Salleh kelihatan lapang dan tenang, sedangkan ayahnya kelihatan garang dan tegas. Namun, kedua-duanya ada aura dan karismanya yang nampak sebanding di mata anak muda itu.
Ada apa Pak Haji?” tanya anak muda itu, merendah diri. Dia turut bersila di tepi pintu menghadap orang tua itu.
“Rezeki jangan ditolak...,” ucap orang tua itu, manis sahaja. Lesung pipit tua yang tajam timbul di pipinya yang berkedut.
Umar tercengang tatkala melihat orang tua itu membuka bungkusan daun pisang yang lebar, lalu semerbaklah aroma nasi panas dituang gulai ikan beserta kacang bendi. Dua ekor ikan kembung goreng tertiarap di atas nasi. Dua biji telur rebus terhenyak di antara butiran nasi yang putih gebu.
Umar merenung sejurus sambil meneguk liur. Dia dapat mengagak dari mana datangnya nasi berlauk itu. Tentu gadis tadi melewati hutan lalu pergi bertemu Haji Salleh di ‘hujung kampung’ yang dikatakan itu. Namun, dia masih tertanya-tanya, mengapa setiap lauk pauk yang disertakan itu dua bilangannya? Adakah gadis itu tahu kewujudannya bersama Haji Salleh di pondok tua itu?
Tengahari yang tenang itu diisi dengan dua insan yang baru saling mengenali, namun makan sebekas tanpa ada curiga di hati masing-masing.
SITI ZULAIKHA MENGORAK LANGKAH menjauhi pondok tua. Dia harus cepat kerana Kak Zanariah sudah menunggunya di kebun getah mereka yang terletak setengah jam perjalanan mencelah hutan dari dusun ayahnya. Hatinya kembali lapang.  Selagi dia tidak sampai ke dusun tua itu, hatinya kacau bilau tanpa kepastian. Sebab itu dia mahu melihat sendiri!
Dengan alasan mahu menghantar nasi dan barangan kering pada ayahnya, dia meminta izin dari ibunya lalu mengikut Kak Zanariah membelah hutan. Kebun getah Kak Zanariah jauh ke dalam juga, namun masih boleh dilewati menaiki motosikal. Ada jalan denai yang masih boleh dilalui kenderaan beroda, namun agak sukar juga dilalui. Kak Zanariah yang berbadan tegap, tegar merintangi kesukaran itu dek biasa. Dia juga cukup tinggi dan boleh menunggang motor Scrambler lama yang betah di dalam hutan. Suaminya juga begitu. Untuk menoreh, masing-masing menunggang dua motorsikal sambil membawa pelenggar. Jika Siti Zulaikha menumpang sama, pelenggar di belakang motor Kak Zanariah akan ditanggalkan.
Siti Zulaikha punya alasannya sendiri. Dia kenal ayahnya. Orang tua itu sangat berbaik sangka. Semua makhluk baik di matanya. Harimau yang menerkam dan bakal mematahkan tulang tengkok itu juga baik baginya. Apa lagi manusia. Baik, buruk, perompak, pencuri hatta pembunuh sekalipun tidak menjadi kebimbangan di hatinya. Sejak ayahnya mempelajari ilmu mengenal Allah, ayahnya telah menjadi sebegitu positif. Atas sebab itu jugalah, dia kerap juga bersendirian di dusun, dan bermalam di sana untuk bersuluk. Dalam masa bersendirian itulah, dia banyak membawa zikir, bersolat dan menikmati tarian alam yang hanya mampu dihayati bila keseorangan.
Tatkala orang tua itu berlapang fikiran terhadap anak muda itu, Siti Zulaikha mengambil keputusan untuk memerhati. Datang pagi itu, lalu melihat pakaian basah ayahnya di ampaian, serta beras yang tinggal seredak, meyakinkan dirinya yang ayahnya masih hidup seperti biasa walaupun dengan kehadiran orang asing itu. Yang penting, ayahnya tidak diapa-apakan.
Sebab itu dia amat waspada. Setiap pergerakannya disimpan tanpa tanda. Khuatir dia jika anak muda itu berniat jahat, lalu mengetahui yang dia telah sampai ke situ!
Namun dia masih hairan, di manakah anak muda itu. Sewaktu dia ke hujung kampung menghantar nasi awal tadi, ayahnya dilihat bekerja bersendirian.
Mujurlah dia sempat memeriksa barangan anak muda itu. Hanya ada sehelai baju koyak rabak yang sudah dibasuh dan telah dilipat. Telefon bimbit yang telah rosak diletakkan di atas lipatan baju itu. Sebuah dompet nipis ada di situ namun tersandar di tiang pondok. Dengan tangan gementar, gadis itu membuka dompet itu lalu memerhati nama yang tercetak di kad pengenalan. ‘Muhammad Umar Raqib Bin Haji Ahmad Dasuki’!
Mencerlang matanya. Sekurang-kurangnya, dia tahu nama pemuda itu. Sedikit maklumat sudah cukup membantu tatkala diperlukan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.