“Betul kamu tak mahu ikut?”
Pertanyaan yang sama dilontar keluar dari mulut Haji Salleh. Setelah beberapa hari tinggal di dusun, dia berhasrat untuk pulang melihat anak dan isterinya.
Umar terdiam. Wajahnya
pucat tanpa semangat. Di dalam dirinya, dia khuatir juga tinggal bersendirian.
Khuatir kepalanya berdenyut seperti beberapa hari lalu. Tapi, untuk keluar
menonjolkan dirinya?
“Umar?” panggil Haji
Salleh. Tergambar riak kehairanan di wajah tua itu. Wajah yang selama ini
tenang kini berkerut.
Bibir anak muda itu
bergerak-gerak. Namun tiada kata-kata yang terungkap. Haji Salleh mengerut dahi
untuk yang ke dua kalinya.
Umar tunduk meneliti
lantai. Fikirannya menggali lebih jauh. Tidak tahu bagaimana hendak
memulakannya. Dia lemah dan pasrah.
“Sebetulnya, boleh
kamu ceritakan apa yang membuatkan kamu boleh sampai ke pondok buruk ini... .”
Akhirnya, setelah lebih dua minggu, barulah Haji Salleh bertanya perihal
dirinya!
Umar menggenggam kejap
kedua belah penumbuknya. Menggeletar badannya, lalu berombak dadanya. Mukanya
merah padam menahan perasaannya yang bagaikan mahu meletup. Nada suara orang
tua itu yang sebegitu lembut tidak dapat menenangkan hatinya yang penuh dendam.
“Saya... ,” terhenti. Bagai
mahu pecah dadanya. “Saya adalah orang jahat yang mahu berubah...,” terhenti
lagi. Giginya diketap serapatnya, hanya bibirnya sahaja yang bergerak. “Kini
saya pelarian... dan mereka sedang mencari saya... .”
Haji Salleh tidak jadi
melangkah. Dia berundur lantas mendekati anak muda itu. Dengan penuh prihatin,
bahu tegap itu dipegangnya. Wajah anak muda itu diperhatikannya, namun tiada
bicara yang keluar dari bibirnya.
Umar menyapu dahinya
sekilas, kemudian menarik nafasnya yang kedengaran hiba. “Pak Haji boleh halau
saya... saya memang tidak layak mendapat layanan baik dari pak cik... .”
Haji Salleh terkedu
buat seketika. Namun kemudiannya bahu Umar ditepuk, melembutkan anak muda itu
supaya duduk bertenang di bilah tangga.
Dia yang asalnya merancang untuk pergi serta merta membatalkan niatnya.
“Umar... kamu duduk
sahaja di sini selagi kamu perlu. Yang penting, kamu kenal siapa diri kamu yang
sekarang ini... .”
Ucapan lembut dari
Haji Salleh itu membuatkan Umar memanggung kepalanya. Wajah tua Haji Salleh dipandangnya
berjurus-jurus lamanya.
“Tapi, Pak Haji tak
kenal saya,” dia berkata kembali, lambat-lambat. Bagai tidak dapat
dipercayainya orang tua itu masih mudah menerima setelah tahu sedikit kisah
buruknya.
Haji Salleh tersenyum
damai, lalu membalas, “Itu tidak penting... .” Namun dia tidak berkata lanjut.
Hanya dia sahaja tahu apa yang dimaksudkannya.
Lelaki tua itu pulang
keesokan paginya, setelah memastikan anak muda itu ditinggalkan dalam keadaan
sejahtera tubuh dan fikirannya.
HAJI SALLEH TELAH PERGI. Umar yang kini bersendirian kembali
berfikiran ligat. Dia tahu, bila-bila masa lagi kepalanya akan kembali
diganggu. Apa yang harus dibuatnya adalah mencari kembali penawar di dalam
tabung uji yang pernah diambilnya secara rahsia dari makmal Doktor Pushpa.
Malangnya penawar itu
ada di rumah mewahnya, disorokkan di tempat yang paling rahsia!
Walaupun penawar itu
masih dalam eksperimen, dan belum diuji keselamatannya, anak muda itu tetap
mahu mencubanya jika berada di dalam situasi yang paling terdesak. Dia tahu,
itu adalah pilihan yang paling baik, seribu kali lebih baik daripada membiarkan
otaknya mati perlahan-lahan seperti sekarang!
Dadanya tiba-tiba
berombak kembali. Ada
kesedihan yang menggamit. Hatinya berdetik hiba, ‘kalaulah... .’
Beberapa kali dia berasa
kesal kerana lambat bertindak. Tatkala
doktor di hospital menyuruh mereka membawa Suresh pulang kerana tiada cara lagi
untuk merawatnya, dia telah pergi merayu pada Doktor Pushpa untuk membantu.
Ketika itu, Suresh masih mengenalinya, namun dia sudah mula jadi pelupa.
Menurut Doktor, simptom yang ditunjukkan oleh Suresh itu sama dengan penyakit
orang tua yang nyanyuk. Otaknya semakin semakin hari semakin menyusut!
“Tak boleh... Bahan
ini belum diuji keselamatannya!” doktor wanita berbangsa India itu menolak dengan
bersungguh-sungguh.
“Tapi, bahan yang
disuntik ke otak kami juga belum tentu keselamatannya, bukan begitu?” tanya
anak muda itu kembali, tegang urat lehernya.
“No, no, jangan paksa saya... Murad... . Saya tak mahu
bertanggungjawab jika apa-apa terjadi pada kawan kamu nanti... .”
Anak muda itu kembali kepada
Suresh dengan perasaan berbara. Marah sungguh dia bila tiada sesiapa pun yang
mengambil berat akan keadaan Suresh. Mereka memang menempatkan Suresh di unit
mereka, dengan jagaan rapi, apa lagi penyakit Suresh ini amat rahsia. Namun,
langkah rawatan yang diambil amat perlahan. Mereka masih mengharapkan pada
ubatan kenyanyukan yang biasa. Sedangkan, otak Suresh mengecut kerana ubatan beradioaktif
yang pernah dimasukkan ke kepalanya! Itu dia amat yakin!
Harus ada satu ubat
lain yang boleh melemahkan ubatan yang pertama! Dan, Umar yakin, ubat yang
masih dalam ujikaji Doktor Pushpa itu mampu melakukannya!
“Umar... aku teringin
balik jumpa ayah aku...,” ucap Suresh di pembaringan. Kepalanya yang terselit
wayar berbagai rupa dan fungsi itu, serta badannya yang dimasukkan berbagai
jenis larutan itu menyentuh pandangan hati sahabat karibnya. Tersayat hati
Umar, rasa tidak sanggup memandang Suresh pada waktu itu.
“Umar... bawa aku
balik kampung, ya?”
Terjegil mata anak
muda itu. Dia hampir terbatuk kecil namun ditahannya. Kala itu juga rasanya mahu
sahaja dileraikan urat wayar berselirat itu, lalu didukungnya Suresh keluar
dari situ!
Namun, Suresh masih
perlukan rawatan. Dia khuatir jika dibuang segala wayar yang mengalirkan cecair
berubat itu, tubuh Suresh akan mengering seperti otaknya.
“Sabar ya, Suresh...
Aku cuba
usahakan ubat untuk kau,” ujar anak muda itu, sambil menggenggam tangan Suresh.
“Insya Allah, kau akan jumpa ayah kau nanti... .”
Atas desakan Umar,
Doktor Pushpa mencadangkan Suresh diberi ubatan lain, kali ini untuk penyakit Dementia. Apa yang anak muda itu maklum,
penyakit Dementia juga menyerang otak
seperti kenyanyukan.
“Ubat ini juga boleh
melambatkan pengecutan otaknya...,” beritahu Doktor Pushpa, sungguh-sungguh.
Umar mengangguk
sekilas. Namun, anggukan itu lebih kepada hendak menyerang balas, bukannya
kerana akur. Dengan sinis, dia bertanya kembali, “Bagaimana Doktor boleh
benarkan sesuatu yang membahaya seperti ini masuk dalam badan kami. Doktor
bertiga fikir, kami ini bahan uji kajikah?”
Pipih pelupuk mata
wanita tua itu. Wajahnya berubah tiba-tiba. Rupa-rupanya, dia agak sensitif
orangnya dan mudah merasa terhina.
“Tidak... kamu jangan
salah faham. Ubat ini tidak merbahaya... . Jika Suresh sakit kerana ubat ini,
mengapa kamu pula masih boleh berjalan ke sana
ke mari dengan sihat?”
Umar mati kata. Sedikit sebanyak, kata-kata Doktor Pushpa
termasuk ke fikirannya. Dia mengebam bibir, tidak mahu menuduh sembarangan
lagi.
“Masalah Suresh
mungkin kerana badannya memang lemah dari awal lagi... ,” ujar Doktor Pushpa,
perlahan. “Radiasi telah meletihkan tubuh dan otaknya... .”
“Jadi?” tanya anak muda itu kembali.
“Bukankah kita semua
bersetuju, malah telah tandatangan kontrak, kita bekerja untuk mereka, dan
mereka akan bayar wang yang banyak.”
Umar mengangkat kening
sambil membulatkan matanya, menunggu kata-kata lanjut dari doktor wanita itu.
“Ubat radioaktif itu
berkesan menguatkan memori kamu bertahun-tahun... tiada apa-apa masalah. Kita semua
pun sudah kaya raya kerananya! Mengapa hari ini kamu datang dan tunjukkan
telunjuk kamu pada saya?” Walaupun suara wanita itu lembut, butir katanya bagai
batu besar yang menghempap anak muda itu. Terhempap kerana ketamakan diri
sendiri!
Umar mengetap bibir. Ada sesuatu yang tidak
terungkap. Dia yakin.
“No, no... Doktor,” ujarnya, menahan hati. “Saya pasti Doktor ada
simpan rahsia... .”
“Apa pula...,” balas
Doktor wanita itu, menggeleng penuh keletihan. Letih sudah rasanya melayan
kekesalan yang beraja di hati anak muda itu.
Umar memejam matanya. Tidak
pasti apa yang mahu dilontar keluar. Walaupun dia pasti ada sesuatu yang
disembunyikan, namun dia tidak tahu apakah dia!
Dengan payah, dia
menggeleng kembali. Berdecit keluar bunyi dari bibirnya, kesal kerana kalah
menjawab.
Lalu Suresh telah
diberi ubat-ubat baru yang pelbagai. Umar berharap sungguh-sungguh di kala itu,
berharap pada keberkesanan ubat itu. Dia semakin kerap menemani Suresh untuk
melihat perkembangan sahabatnya itu.
Sehinggalah pada suatu
hari... .
“Suresh... ,” panggil
anak muda itu, sewaktu dia melangkah masuk ke bilik rawatan.
Malangnya, sapaannya
tidak berbalas. Dia segera mendekati katil kawannya. Terkejut dia di kala itu
ketika melihat riak wajah Suresh yang berlainan benar.
Tiada tindakbalas di
pihak Suresh. Umar memegang tangan sahabatnya. Ternyata! Suresh seperti tidak
memahami apa-apa lagi. Kulitnya sembab dan kendur. Matanya hanya memandang
terus ke satu arah, seolah-olah tidak berfungsi lagi!
“Suresh! Suresh! Kau
nampak tak? Ini aku, Umar!” panggil Umar berkali-kali. Dia seperti hilang
kewarasan buat seketika. Bagai tidak percaya melihat keadaan rakan karibnya
yang bagaikan kain buruk itu!
Bahunya ditempuh dari
belakang. “Maaf Encik, biar kami rawat dia!”
Umar menoleh.
Kelihatan Doktor Pushpa, seorang doktor lelaki muda dan dua orang jururawat di
belakangnya. Dia akur lantas berundur sedikit ke belakang. Matanya hanyut
tatkala memerhati petugas kesihatan berempat itu berusaha merawat sahabat waktu
kecilnya... .
UMAR MENGETAP BIBIR tatkala memerhati putik-putik durian yang
berkerayut. Begitu jauh hanyut hatinya mengenang kisah lalu. Dia menarik nafas
dalam. Suresh meninggal seminggu selepas kejadian itu. Urusan mayatnya tetap
menjadi rahsia. Sehinggakan orang tuanya sendiri tidak pernah mengetahui yang
dia sudah tiada lagi.
Umar melepaskan
keluhan kecil tatkala mengingati janjinya sendiri, “Sabar ya, Suresh... Aku cuba
usahakan ubat untuk kau. Kau akan jumpa ayah kau nanti... .”
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.