Sunday, 5 March 2017

BAB 8~ TERAPI JIWA


“Pak Haji tak ke dusun hari ini?” sapa Umar tatkala melihat orang tua itu duduk lapang di tepi jenang pintu. Biasanya, pagi-pagi lagi orang tua itu sudah keluar bersama golok dan cangkulnya.

“Tak...,” balas orang tua itu, tenang.
Anak muda itu mengerut dahi. Hatinya diketuk pelbagai persoalan. Sesekali, dia merasakan ada keanehan pada Haji Salleh. Hendak dikatakan dia ke dusun itu untuk mencerahkan tanah di sekitar dusun tiga ekar itu, tidak juga. Dusun itu tidaklah sebersih dusun orang lain yang memang mengusahakannya dengan bersungguh-sungguh.
Apa yang diperhatikannya, orang tua itu hanya bekerja sekadaran, sehingga lewat pagi. Kemudian, dia akan pulang menanak nasi dan menggoreng telur atau ikan kering. Selesai menikmati juadah yang sederhana itu, dia akan duduk di jenang pintu sambil memegang tasbihnya. Ada kalanya, dia duduk diam tanpa berbuat apa-apa. Bila tiba waktu solat, dia akan bersolat fardhu dan sunat sekaligus. Lalu dia akan berlama di tikar sembahyang.
Apa yang dilihatnya, orang tua itu seperti tenang sahaja. Dia berbicara hanya bila perlu.
Anak muda itu beredar ke dapur setelah bosan melayan fikirannya yang tidak ke mana itu. Dia mengambil keputusan untuk percaya, bahawa Haji Salleh memang sudah menyukai kehidupannya yang sebegitu. Perlahan-lahan, dia mengambil secawan beras lalu dimasukkan ke dalam periuk. Beras itu dicucinya dengan air di dalam tempayan yang tersedia di dapur.
Sejak dia tinggal bersendirian beberapa hari lalu, itulah kerjanya di pagi hari. Dia akan menghidupkan kayu api, lalu kemudiannya menanak nasi dan lauk. Dengan makanan yang sesederhana itu, dia kembali pulih dari luka-lukanya. Hanya tinggal luka di lengan kirinya sahaja, yang timbul lewat itu.
“Nasi sudah siap. Marilah kita makan, Pak Haji,” ajak Umar setelah selesai memasak.
Orang tua itu tersenyum sambil menggeleng penuh rendah hati, “Maaf, anak..., pak cik puasa... .”
Umar tercengang seketika, namun kemudiannya dia mengangguk-angguk faham. Patutlah orang tua itu tidak pergi bekerja pagi ini, desis hati kecilnya.
Orang tua itu beredar ke takungan, lalu mandi dan mencuci pakaiannya. Anak muda itu kembali ke dapur untuk mengemas ala kadar. Tatkala dia mahu mencerai-ceraikan puntung api yang masih berbara, tiba-tiba otaknya bagai dihenyak dengan batu.
Sakit bukan kepalang rasanya!
Umar memegang kepalanya, lalu berjalan terhoyong hayang ke pintu. Kala itu meleleh air hidung dan matanya, bagai diperah-perah. Terasa bagai mahu keluar kedua biji matanya. Sakit yang datang sederap itu meragut tenaganya!
Pandangannya mula berpinar-pinar. Inilah pertama kalinya dia merasakan otaknya paling sakit sekali. Seperti ada cangkul yang sedang mengorek lalu melonggarkan otaknya. Anak muda itu tiba-tiba jatuh menghempas pintu. Rasa bagai mahu menjerit jika tidak memikirkan rasa malu pada Haji Salleh.
“Ya Allah, apa pula dugaan kali ini? Adakah Doktor Cheng sedang mencuba sesuatu dengan mesinnya, lalu mengganggu otakku secara tidak langsung?”
Air mata keluar meleleh, bukan kerana menangis, tetapi kerana menahan kesakitan yang tidak terperi itu. Kukunya mula mencengkam lantai kayu itu, lalu lantai bercalar dicakarinya.
“Umar? Mengapa... anakku?”  terdengar suara Haji Salleh yang muncul tiba-tiba. Mujurlah lelaki tua itu sempat juga datang semula sebelum anak muda itu menderita lebih teruk lagi.
Lelaki tua itu memapah Umar ke pembaringan. Diambilnya air dari labu lalu dilumurnya ke kepala anak muda itu. Kala itu mulutnya berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Umar memegang dahinya sedari tadi. Bergerak-gerak mulutnya, mahu mengadu kesakitannya.  Namun, ketika itu suaranya juga bagaikan diragut sama.
Hampir satu jam bertarung dengan kesakitan, rasa yang memeritkan itu akhirnya beransur kurang, namun masih terasa denyutannya. Umar terbaring lemah ke sisi kanan. Merah matanya, kali ini kerana dia berasa amat sedih. Sedih sungguh perasaannya, tatkala terpaksa menyusahkan Haji Salleh berkali-kali. Semakin dia mengerti apakah yang pernah dideritai sahabat karibnya, Suresh. Suatu masa dahulu, dia pernah melihat Suresh jatuh dan berguling-guling sambil memegang kepalanya. Otaknya bagaikan terbakar, begitulah adunya setiap kali. Sehinggalah sebelum matinya, Suresh sudah tidak mengenali sesiapa.
Anak muda itu mengetap bibir. Berombak dadanya yang bidang. Mengertilah dia, mengapa Suresh telah berubah menjadi sensitif, mudah sedih, kerap menangis dan hilang semangat. Kini, adakah dia akan mengalami nasib yang sama seperti sahabatnya?
UMAR... OTAK KAMU terlalu berlebihan elektriknya...,” tegur Haji Salleh setelah anak muda itu sedar dari lenanya yang meletihkan.
Umar serta merta merenung wajah Haji Salleh yang tenang-tenang sahaja. Bagai tidak percaya rasanya mendengar kata-kata orang tua itu yang berbunyi agak saintifik.
Sambil meneguk liur, anak muda itu bertanya kembali, “Bagaimana caranya hendak membuang cas yang berlebihan ini?” Masih sangsi dia dengan pengetahuan orang tua itu. Namun,  mungkin orang tua itu tahu banyak perkara, hanya tidak terlihat dek kerana dia kurang berbicara.
“Adakah Haji Salleh tahu tentang radiasi di otakku?” anak muda itu tertanya sendirian sambil menggigit giginya sendiri.
“Kamu pergi ke kolah... mandi sehingga tegak bulu roma...,” suruh Haji Salleh, memberi jalan.
“Tegak bulu roma?” anak muda itu semakin keliru.
“Mandi hingga menggigil,” beritahu orang tua itu lagi. “Selepas itu ambil wuduk dengan tenang, satu persatu. Lurut air di setiap anggota wuduk, hingga ke hujung.”
Anak muda itu mengerut dahinya. Namun, dia bangun perlahan lalu mencapai tuala di ampaian di tepi pintu. Langkahnya dihayun tetap ke takungan yang dingin airnya.
“CHENG... KAMU HARUS hentikan signal itu,” Doktor Pushpa menegur dengan nada tegas. Wanita tua berkaca mata tebal serta bertubuh kecil itu tidak pernah lekang dari sarinya. Pagi ini dia datang untuk membantu mereka menguraikan kekusutan yang berlaku.
“Doktor Pushpa... dengan cara ini sahajalah kita dapat menguja radiasi di otaknya,” Doktor Cheng membalas cepat. Bersungguh-sungguh dia percaya dengan apa yang dibuatnya. “Apa lagi cara kita hendak menjejakinya?”
Wanita India pakar Psikologi Neuron itu menggeleng sekilas. Wajahnya tegang sahaja. “Awak tahu tak, radiasi atau apa-apa gelombang yang kuat boleh menguja molekul badan? Bila molekul bergetar, suhu badan akan naik. Ini, otaknya... awak sedarkah?”
Perlahan-lahan, walaupun berat hati, pakar fizik yang masih muda itu memberhentikan gelombang yang dihantar melalui mesin ciptaannya. Mukanya ditarik sehingga berkerut-kerut seperti asam kedut.
Relaks... jangan tension, Cheng...,” Professor Azhar menepuk bahu pemuda berbangsa Cina itu.
“Kalau kamu buat lagi... kamu yang akan menyesal. Suhu yang tinggi di otak boleh membunuh Murad...,” Doktor Pushpa berkata penuh kesal. “Hanya dia seorang sahaja subjek eksperimen kita yang terbaik. Dia masih hidup tanpa bantuan ubat penawar. Kita mesti jaga dia!”
Doktor Cheng melepaskan keluhan kasar. Teguran wanita tua itu tidak dibangkangnya.
“Lupakah kamu dengan apa yang telah terjadi pada Suresh dan Hidayat?”
Ketiga-tiga saintis itu terdiam seketika. Suasana amat tegang. Kajian mereka berjaya separuh, namun gagal separuh lagi. Hanya ajen Murad sahaja yang nampaknya masih bertahan dengan ubatan radioaktif yang mereka masukkan ke dalam otaknya.
Doktor Cheng menyandar kasar ke kerusinya, lalu kakinya diluruskan. Sambil menarik nafas dalam, dia melontarkan soalan cepumas itu, “Sekarang, apa lagi langkah kita. Raymond mahukan hasil dari kita...  Saya khuatir...,” kata-katanya terhenti sejenak.
Dua orang saintis yang lebih berumur itu memandang tepat ke wajahnya, menunggu dia meneruskan bicara.
“Kalau kita gagal... tak mungkin dia lepaskan kita bertiga. Dia pernah cuba bunuh Murad... dia boleh hapuskan kita... .” Ada getar di sebalik suara saintis muda itu.
Professor Azhar serta merta meneguk liur, sementara Doktor Pushpa terbatuk-batuk tanpa sempat ditahan.
HAJI SALLEH MENGURUT TANGAN ANAK muda itu, bermula dari tulang bahu, sendi bahu, turun ke ketiak, lengan, siku dan seterusnya turun lagi, hingga ke hujung jari jemari yang berurat tegang. Awal tadi, setelah Umar mengambil wuduk, orang tua itu telah mengurut kepala dan mukanya, lalu turun mengikut leher, kemudiannya mengarah ke bahu.
Anak muda itu masih diselimuti pertanyaan, walaupun urutan itu sedikit sebanyak melegakan kepalanya serta urat biratnya yang tegang. Hairan dia, memikirkan Haji Salleh yang yakin sungguh bahawa proses urutan melayu itu boleh membuang elektrik, seperti kata orang tua itu awal tadi, dari mengganggu tubuhnya. Dia maklum sendiri, bahawa perkataan elektrik itu sebenarnya adalah cas lebihan dalam badan yang pernah didengarnya dari Doktor Pushpa.
Suatu masa dahulu, dia pernah melalui rawatan ini, sewaktu mula-mula dia disuntik dengan ubat ini!
“Air mutlak yang dilurut ke anggota wuduk itulah yang membantu membuang elektrik dari badan kamu...,” beritahu orang tua itu, lembut, tatkala melumurkan minyak ke lengan kanan Umar.
Umar tersentak, namun tidak ditunjukkan. Dia hanya tersenyum penuh ngilu tatkala orang tua itu mengurut bekas luka di lengan kanannya.
“Urat-urat di hujung jari kita itu sangat halus dan tajam, seperti hujung jarum...  sebab itulah elektrik boleh lepas keluar... .”
Bulat mata anak muda itu. Kata-kata di hujung bibir orang tua itu bukannya sesuatu yang kosong! Ada penerangan sains padanya!
Itulah tindakan hujung tajam, atau tindakan poin yang digunakan untuk mengalirkan cas berlebihan keluar. Itu jugalah konsep yang digunakan pada logam penyerap kilat supaya kilat tidak menyambar rumah!
“Bila elektrik keluar, urat yang tegang akan mengendur, lalu badan kita yang panas akan beransur sejuk... .”
Fuh! Memang orang tua ini ahli sains melayu lama. Dia menilik kehidupan dengan begitu saintifik sekali! Umar kagum di dalam hatinya. Sewaktu dia luka-luka tempohari, Haji Salleh jugalah yang merawatnya menggunakan herba-herba yang tentunya penuh dengan galian beralkali.
Umar menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia begitu berharap andainya ada cara untuk menghilangkan terus sakit di kepalanya. Kalaulah orang tua itu benar-benar bijaksana... .
Namun, wajahnya kembali murung tatkala mengingatkan betapa dia telah mengambil masa Haji Salleh. Sudahlah dia makan percuma, dirawat dan perlu dijaga... kini dia mahu meminta berbagai perkara lagi!
“Dalamkah luka kamu ini?”
Lamunannya terputus tatkala mendengar teguran Haji Salleh. Rupa-rupanya, orang tua itu mahu mengurut bahagian kiri lehernya, lalu kemudian akan terus ke seluruh tangan kirinya! Bermakna, dia telah mengesan luka robekan pisau tempohari!
“Er...,” Umar menjawab tergagap-gagap. “Dalam juga... .” Mati kata-katanya. Khuatir dia jika orang tua itu bertanya lanjut.
“Hm...,” Haji Salleh mengangguk, lalu menukar arah laluan urutan itu. Daripada mengurut di bahagian atas lengan, dia kini mengurut di bawah lengan pula. Tiada apa-apa pertanyaan lagi yang keluar dari mulutnya.
Sikap Haji Salleh yang langsung tidak bertanyakan hal dirinya itu membuatkan anak muda itu meronta hatinya. Kalau selama ini dia rasa seperti mahu berahsia dan berdalih bila dilontar pertanyaan tentang dirinya, kini perasaan itu berubah!
Rasa bagai mahu dimuntahkan semuanya! Tidak tertahan rasanya menjadi pelarian. Kalaulah orang tua itu ada cara untuk menyelesaikan kekusutannya? Arghhh... .
Entah mengapa, Umar merasakan yang Haji Salleh tahu jalan keluar pada semua masalahnya!
Mulut dan hatinya bertimbang, antara berat dan ringan. Ada kalanya, mulutnya ringan sahaja mahu dilontarkan segala kekusutan, namun hatinya berat menahan. Masih ada rasa malu yang menebal pada orang tua itu, dan pada seluruh umat manusia! Malu dengan kesilapan lalu yang belum pasti berampun!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.