Umar menetak-netak semak samun berhampiran dengan pondok. Kayu-kayuan dan ranting setebal ibu jari itu dikumpulkan di bawah pokok durian yang paling hampir dengan pondok. Sejak kelmarin, itulah kerjanya. Namun, dia hanya menggunakan tangan kanannya. Lengan kirinya kini berbalut kain. Luka dirobek pisau tempohari masih terasa cekang dan ngilu. Sesekali otaknya bagai direnjat tatkala menerima signal dari urat saraf lengannya yang berdenyut-denyut.
Namun, dia tidak boleh
berehat lama. Semakin dia membanyakkan tidur, semakin berhaba badannya.
Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk membanting tulang agar haba lebihan itu
keluar melalui keringat mudanya.
Tatkala matahari mula
miring ke hujung barat, anak muda itu kembali menyangkutkan golok tajam Haji
Salleh di tepi tangga. Dia berlabuh seketika di anak tangga paling bawah.
Nafasnya ditarik dalam. Udara petang yang segar mengalir tenang melalui rongga
hidung.
Masih ada satu jam
sebelum malam melebarkan tirainya. Kala itu, angin sudah sejuk dan keringat di tubuhnya
akan mengering. Waktu itulah dia akan mandi sebelum solat sekadaran.
Umar menarik nafas
dalam. Terasa sunyi pula tinggal bersendirian tanpa manusia lain. Haji Salleh
yang sepatutnya datang semula dua hari sudah, hingga petang ini tidak juga kelihatan
batang hidungnya. Umar akur. Tentu orang tua itu banyak tanggungjawabnya di
kampung.
Namun, keluhannya
tidak lama, tatkala teliganya menangkap derap kaki memijak daun kering. Anak
muda itu berpaling melepasi takungan terus ke pinggir dusun yang berjarak dua
puluh meter dari situ. Bersinar matanya tatkala melihat kelibat tua Haji Salleh
dengan beg plastik biru dan golok bengkoknya.
Malam kini telah melabuhkan
tirainya. Seluruh pelusuk pondok diterangi lampu minyak tanah yang bersilau
jingga. Haji Salleh yang baru selesai solat Maghrib duduk bersila di tepi
jenang pintu. Daun pintu dibuka luas agar matanya dapat menikmati suasana luar
yang sunyi.
Malam itu bulan penuh.
Cahayanya yang indah menyimbah alam. Langit malam begitu gemilang tatkala
kerdipan bintang memenuhi angkasa raya.
Umar duduk sama sambil
memerhati alam luas. Terasalah anak muda itu, betapa selama ini dia tidak
pernah sempat menikmati kesunyian alam kerana terlalu asyik dengan kesibukan
yang dicipta sendiri. Ah... malang
sungguh!
“Bila dunia ini terang
dengan lampu elektrik, lampu alam tak terasa lagi indahnya... .”
Tersentak anak muda
itu mendengar kata-kata Haji Salleh yang begitu berkias. Dia cuba menyelami maksudnya,
sehinggakan berkerut keningnya. Telatahnya itu diperhatikan oleh Haji Salleh
sambil tersenyum.
Seperti beberapa hari
lalu, orang tua itu membuka bungkusan yang dibawanya malam itu dengan tenang.
Kali ini dia mengeluarkan dua bekas makanan yang dibungkus tebal dengan kain,
lalu diunjukkan sebekas pada anak muda itu.
“Bukalah... makanlah...,” pelawa Haji Salleh, lembut.
Umar menyambut bekas
itu, sambil tersenyum segan. Malu pula rasanya, kerana setiap kali orang tua
itu membawa bekal, dirinya tidak pernah dilupakan. Seolah-olah, ada seseorang
di kampung sana
yang turut mengambil berat akan kehadirannya.
“Terima kasih...,”
ucapnya, pendek.
Umar membuka bungkusan
kain yang berlapis-lapis. Dalam diam, anak muda itu memuji si dia yang begitu teliti membalut
bekas itu supaya tidak hilang haba makanannya . Sebaik sahaja terbuka, semerbak
aroma ubi kayu rebus yang masih panas mengusik rongga hidungnya dan ingatan
lamanya. Ubi kayu itulah... yang dibekalkan aruah ibunya setiap kali dia
berlari ke sekolah!
Dia meneguk liur, lalu
matanya tunak memerhati ubi gebu di hadapan matanya. Sebungkus plastik jernih berisi
kelapa parut terselit di sudut dalam bekas. Sambil menjilat bibir, dia
merungkaikan getah yang mengikat plastik itu.
Tangan kanannya sempat
mencubit ubi rebus itu, lalu disuap ke dalam mulutnya. Subhanallah! Ucapnya
penuh nikmat. Ubi kayu itu begitu lembut dan sedikit lemak serta masin-masin
manis. Jika digaul dengan dengan kelapa
yang lemak manis ini... . Hm... pecah kepala! Anak muda itu sempat berangan
sendirian.
Matanya sempat mengerling
bekalan Haji Salleh. Ubinya kini tinggal separuh namun kelapanya masih banyak.
Bagai tidak padan sahaja kelapa yang melimpah dan ubi yang seketul itu.
“Pak Haji ambillah
bekalan saya ini...,” pelawanya bila melihat bekalan ubi orang tua itu telah menyusut.
Begitu berselera sekali nampaknya orang tua itu menjamah bekalannya.
“Tak apa... tak
apa..., saya memang tak mahu makan banyak...,” balas orang tua itu, menolak
lembut. “Kamu makanlah... tenaga kamu
perlu dipulihkan.”
Umar tersenyum. Dia
kembali menatap bekalannya. Ubi tadi dijemputnya, lalu digolek-golekkan di atas
kelapa parut yang amat mengiurkan. Dia mula menyuap cebisan itu ke dalam
mulutnya dengan penuh nikmat.
Dengan tidak
disangka-sangka...!
Ya Allah! Anak muda
itu tiba-tiba tersedak, sehingga terpejam matanya. Ubi berpalut kelapa yang
dibayangkan sebegitu lemak dan manis, rupa-rupanya masin sehingga memekakkan
telinga!
Haji Salleh segera
menghulurkan segelas air tatkala melihat anak muda itu terbatuk-batuk sehingga
mengalirkan air mata.
“Makan
perlahan-lahan...,” ucapnya, lembut lagi. “Kelapa itu berseredak... .”
Umar meneguk air
dengan gopoh, hingga habis segelas dengan sekali teguk. Tidak terfikir olehnya,
bagaimana kelapa itu boleh jadi sebegitu masin. Bagai dituang sesudu garam di
dalamnya! Lebih menghairankan, Haji Salleh boleh menikmatinya dengan begitu
berselera sekali! Tidak terasakah masin melampau itu di tekak Haji Salleh? Redho
sangatkah dia hinggakan semuanya diterima dengan indah dan lapang dada?
Tatkala Haji Salleh
bangun ke dapur untuk menambah air, Umar sempat menjemput kelapa parut di dalam
bekalan orang tua itu. Dijamahnya seketika, lalu dipedap-pedap pada lidahnya.
Patutlah... kelapa
parut Haji Salleh rupa-rupanya cukup lemak dan manisnya!
Anak muda itu
memerhati gerak geri Haji Salleh. Di hujung matanya, dia dapat mengagak yang
orang tua itu tidak tahu menahu akan apa yang telah dialaminya sebentar tadi.
Nampaknya, ada
seseorang di kampung sana
yang sedang menduganya. Sambil mencubit cebisan ubi, akalnya berjalan tanpa henti.
Tidak pasti apa tujuan penduga misteri itu. Yang pastinya, dia harus lebih berhati-hati!
BERKERIUT BUNYI LANTAI DIPIJAK. Anak muda itu terjaga serta merta.
Dalam samar-samar cahaya pelita minyak tanah, dia dapat melihat kelibat tua
Haji Salleh yang melangkah tenang ke pintu. Daun pintu dikuaknya, lalu dia
melangkah turun dengan berhati-hati.
Anak muda itu
mengekori dengan hujung matanya. Hatinya diselaputi keraguan. Ke mana pula arah
tuju orang tua ini di tengah malam yang penuh cahaya bulan ini. Perlahan-lahan,
dia bangun dari pembaringan, lalu mengengsot ke jenang pintu.
Dia menjenguk dari
celah pintu, lalu jelaslah di matanya akan Haji Salleh yang sedang berhati-hati
membasuh mukanya sebanyak tiga kali berturut-turut.
“Ah! Dia mahu bersolat
malam!” desis hati anak muda itu. Bukan dia tidak pernah melihat bapanya Lebai
Dasuki yang kerap kali bersolat di sepertiga malam.
Tatkala lelaki tua itu
membasuh kakinya, Umar kembali ke pembaringan, lalu pura-pura memejamkan
matanya. Dari celah dua pelupuk matanya yang renggang, dia masih dapat mengikut
gerak-geri orang tua itu.
Selesai bersolat dua
rakaat, Umar dapat melihat orang tua itu yang bangun semula lalu bersolat
Tasbih yang sebegitu panjang tempoh masa setiap pergerakannya. Lama orang tua
itu ruku’, dan dia dapat bertahan pula. Seingat anak muda itu, bahagian ruku’
yang lama itulah yang paling sukar sekali untuk ditunaikan.
Tidak dapat dilelapkan
matanya, lalu badannya dimiring ke sebelah, supaya mudah diikutinya gerak-geri
Haji Salleh. Khusyuk sungguh nampaknya solat lelaki itu, seperti asyik yang
seasyiknya.
Kira-kira satu
setengah jam kemudian, orang tua itu memberi salam. Dia menunaikan satu solat
lagi sebelum mula mengambil buah tasbih lalu berzikir dengan asyiknya.
Anak muda itu mengerut
dahi. Hairan dia, entah mengapa ibadat
zikir orang tua itu terasa seperti amat sedap sekali. Dia seperti sedang
menikmatinya! Dan, Umar yang hanya memerhati itu pun boleh merasa sedapnya!
Begitulah keadaannya
sehinggalah waktu Subuh menjelang.
RAYMOND MUNDAR-MANDIR di ruang makmal yang luas itu. Kepalanya yang
botak berkilat sesekali melantunkan cahaya dari lampu kalimantang di siling.
Panas rasa tubuhnya yang berbaju kot serta bertali leher.
“Kesan signal sekali
lagi... bodoh!” jerkahnya, meluru. Marahnya meluap-luap. Hangat sungguh hatinya
tatkala dimaki boss besar semalam.
“Kalau bodoh aku tak
jadi saintis lah...,” Professor Azhar membalas sinis. Giginya diketap
serapatnya. Bagai mahu ditumbuk telinga capang si botak itu.
“Tak kanlah hendak
berharap pada signal telepati ini? Cip ciptaan kamu tidak lagi berfungsi kah?”
tanya Doktor Cheng, memerli. “Bukankah kamu juga yang katakan signal yang
dikesan tiub Mueller-Cheng ini ‘signal bodoh’?”
Raymond serta-merta
menjegilkan matanya. Serentak Doktor Cheng dan Professor Azhar mengunci mulut.
Risau juga mereka jika Raymond bertindak ganas tiba-tiba. Maklum, di celah tali
pinggang belakang si botak itu, tertutup oleh kot luarnya, terselit sebuah
pistol berpeluru hidup. Ajen 003 itu adalah antara ajen yang paling kering
hatinya. Banyak desas-desus yang pernah didengar tentang dia yang tidak pernah
rasa bersalah menembak sesiapa sahaja jika dirasakan perlu!
Doktor Cheng memasang
suiz tiub Mueller-Cheng, lalu keluarlah graf signal yang lurus, menandakan,
signal di sebelah sana
tidak dapat dikesan. Serta merta dia
menggeleng-gelengkan kepalanya dengan khuatir.
“Murad terlalu jauh.
Jika dia dekat, kita sudah pasti dapat mengesannya. Signal ini tidak pernah
hilang... Cuma tidak dapat ditangkap
kerana jarak yang jauh... .”
“Bagaimana dengan cip?
Mengapa tidak minta technician kesan kedudukan cip?” tanya Professor Azhar
pula, hairan.
“Aku pasti, Murad
sudah korek lengannya dan buang cip itu. Controller
kami memang dapat kesan cip itu, tapi ia tidak lagi bergerak-gerak... seolah-olah pegun di satu tempat!”
Professor Azhar yang
berbadan besar itu saling berpandangan dengan Doktor Cheng. Masing-masing
meneguk liur. Nampaknya, Murad juga memang kering hati. Bukan mudah membuang
sesuatu yang terbenam di dalam isi lengan,
bersendirian pula!
“Bodoh sungguh Murad
ini! Mengapa ditolak upah yang banyak? Jika dia tidak lari, sudah lama dia jadi
jutawan!” rungut Raymond, kesal bercampur marah. Apa tidaknya, dengan adanya
anak muda bernama Murad itu, banyak projek mereka yang dapat diselesaikan, dan
banyak sungguh keuntungan yang mereka kaut sebagai orang di dalam satu kumpulan!
“Semuanya dipanggil
‘bodoh’...,” komen Doktor Cheng, tidak puas hati. Namun suaranya perlahan.
“Agaknya itulah
perkataan pertama yang dipelajarinya sewaktu dia masih bayi...,” perli
Professor Azhar, sinis.
Doktor Cheng sempat
ketawa kecil mendengar kata-kata sahabatnya itu.
“Tak bolehkah kamu
majukan tiub Mueller-Cheng? Biar liputannya hingga ke keluasan dua puluh atau
tiga puluh kilometer?” Raymond tiba-tiba menempelak. Itulah yang dia paling
tahu, mencari kelemahan orang lain bagi menutup kelemahannya.
“Ehem...,” Doktor
Cheng bagaikan tersedak, “Kita sedang mengesan radiasi, tahu tak? Tiub
Geiger-Mueller yang asal pun hanya berfungsi mengesan radiasi dalam jarak
beberapa meter sahaja!”
Professor Azhar
mengangguk-angguk setuju. Ya, itulah penerangannya! Sinar radiasi akan menjadi
lemah bila jaraknya jauh. Ia juga boleh diserap bila terkena objek legap. Hanya
tiub Mueller-Cheng sahaja yang paling canggih setakat ini. Itulah ciptaan
Doktor Cheng yang sedikit gila-gila ini. Saintis Fizik ala ‘nerd’ itu memang ligat otaknya. Namun
ciptaan itu tidak dipatenkan kerana hasilnya digunakan untuk penyelidikan
rahsia yang sedang mereka jalankan sekarang bersama-sama dengan syarikat perisikan
itu.
“Agaknya, Murad sudah
mampus. Sebab itu signal dari cip itu tidak berubah tempat!” rungut Raymond
akhirnya, sebelum melangkah kasar keluar dari makmal itu. Tidak dapat
dipastikan apa maksudnya. Adakah kerana dia benar-benar mahu menghapuskan ajennya
itu, ataupun dia kesal kerana tugasnya tidak dapat disempurnakan sejak
kehilangan ajen bernama Murad itu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.