Sunday, 5 March 2017

BAB 6~ CIP


Umar meloncat tangkas di antara akar kayu yang melintangi perjalanannya. Dia sempat nampak beberapa buah kereta datang dengan laju, lalu memarkir di sisi jalan di atas tebing sana. Sah! Dia pasti benar. Mereka telah dapat mengesannya!

Namun, sementara mereka turun melalui tebing curam, dia telah terlebih dahulu meninggalkan tempat itu.
Sah! Cip inilah yang dapat dikesan mereka. Umar memegang lengannya yang berparut sambil mengetap bibirnya.
Harus kembali ke dusun!
Kawasan itu sukar dikesan. Namun, dia khuatir juga jika orang-orang itu dapat mengesan jejaknya hingga ke situ. Khuatir Haji Salleh akan terlibat sama di dalam masalah ini nanti!
Lalu, dia harus cari jalan lain supaya mereka tidak dapat mengesan jejaknya melalui cip di lengannya.
Ah! Bagaimana?
Dengan cepat dia mencari sebuah banir besar untuk menyembunyikan diri. Harus pantas! Dia tidak boleh berlama di situ. Mereka akan dapat mencarinya selagi dia tidak sampai ke dusun!
Cip di lengannya harus dibuang!
Anak muda itu duduk melutut lantas mengoyak baju lusuh Haji Salleh yang dipakainya. Cepat digulungnya membentuk tali, lalu sepantasnya diikat di pangkal lengan kiri menggunakan tangan kanan serta giginya.
Harus bertahan! Anak muda yang kini tidak berbaju itu mengetap giginya. Kini lengan tegapnya mula terasa kebas. Dia tidak boleh teragak-agak!
Dikeluarkan pisau lipat yang diikat di belakang tali pinggang. Pisau tajam berkilat yang tidak pernah lupa diasahnya itu kini terhunus.
“Bismillah...,”  dia mengucapkannya dengan yakin sebelum  mendekatkan pisau itu ke lengannya.
Dengan yakin, hujung pisau itu dirodok ke bekas parut. Sakitnya, menangkap hingga ke otak! Terjegil matanya seketika. Darah merah memercik keluar dari lengannya, lalu disapu sekilas supaya tidak sempat menitis.
Luka selebar lima sentimeter dirobeknya lagi... semakin dalam. ‘Ya Allah!’ desisnya, tidak tertahan. Dia masih mencari-cari objek sepanjang satu sentimeter yang pernah ditanam di situ. Matanya dipejam supaya dia dapat merasai kehadiran logam yang telah terbenam di lengannya sejak tiga tahun yang lalu. Dan... .
Ah! Dapat juga akhirnya!
Umar menarik keluar pin logam sepanjang dua sentimeter itu. Pin yang dilumuri darah itu dipegangnya dengan perasaan geram. Kala itu, rasa sakit bercampur marah membakar hatinya. Serta merta diambil parang panjang lalu dikoreknya tanah di hadapan banir itu. Kira-kira pada kedalaman seperempat kaki, pin itu dilemparnya ke dalam lubang lalu ditimbusnya secepat mungkin. Kain koyak lebihan baju tadi ditekupnya menutupi lukanya yang dalam.
Secepat mungkin, anak muda itu menyambung langkah sepantas mungkin meninggalkan tempat itu. Walaupun kepalanya berasa seperti bergoyang, dia terus berlari tanpa henti.
Ah! Kalau Allah belum mengizinkan, sampai matipun mereka tidak mungkin dapat mencarinya!
Akhirnya, dia sampai juga ke pondok. Umar segera mencari sepohon mengkudu yang hampir dengan pondok. Dia masih ingat, ada sarang kerengga teranyam antara dedaunnya. Kerengga yang merayap hingga ke pangkal pokok itu amat berguna baginya di saat genting ini.
Luka itu harus diubati. Tapi, dia tiada cara lain lagi. Itulah satu-satunya cara yang ada.
Sambil berlutut di hadapan pangkal pokok itu, dia memegang seekor kerengga liar yang serta merta menggigit hujung jarinya. Bibirnya berdecit seketika. Kerengga itu dibuangnya.
Dia mengambil kerengga yang kedua dengan cepat, agar tidak sempat menggigit jarinya. Kepala makhluk kecil itu didekatkan ke kulitnya yang terhiris tadi. Serta merta kerengga itu menggigit antara dua kulit yang terhiris. Umar cepat memulas leher serangga itu, lalu kepalanya tertinggal di luka itu. Sejenis cecair berasid keluar menyerap ke kulitnya yang mula membengkak. Berdecit lagi mulutnya. Pedih sungguh!
Diulangnya lagi perbuatan itu, hingga tertutup luka keseluruhannya. Itulah cara menjahit luka yang sempat diajar ayahnya sewaktu dia masih kecil. Jahitan menggunakan fiber halus yang dikeluarkan dari mulut kerengga, diubati pula asid yang merembes keluar dari badan makhluk itu, amat mujarab untuk mempercepatkan penyembuhan luka yang dalam.
Umar kembali ke pondok. Kakinya diatur penuh berjaga, memijak bilah-bilah anak tangga itu. Tiba di atas pondok, anak muda itu cepat menutup pintu dan menguncinya dari dalam. Sambil memejam mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya, dia membaringkan badannya.
Cukuplah apa yang terjadi hari ini. Dia berasa amat letih. Serentak diletakkan kepalanya di bantal, anak muda itu terlelap tanpa dipaksa.
GADIS ITU MENGHAYUN LANGKAH tenang ke makmal komputer. Hari ini dia bertekad untuk menggunakan masa lapangnya mencari maklumat. Daun pintu ditolak tenang, lalu pandangannya lirik ke dalam makmal. Masih ada beberapa orang guru yang sama sepertinya, tidak sempat mengisi perut kerana masih sibuk dengan tugas.
Sambil melemparkan senyum manis, dia mendekati sebuah komputer, lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi berputar. Disedutnya nafas sedalamnya, agar lapang sedikit dadanya. Tugas mencari maklumat secara rahsia ini membuatkan dadanya rasa sedikit gemuruh.
Perlahan-lahan dan penuh tumpuan, dia menekan nama itu di enjin pencarian Google, ‘Muhammad Umar Raqib Bin Haji Ahmad Dasuki’.
Bersinar matanya tatkala melihat ada beberapa maklumat dari blog yang memperkatakan tentang nama itu. Dengan cepat, dia menekan tajuk pertama dalam senarai carian. Serta merta timbullah satu blog di skrin komputer.
Matanya dikecilkan. Sejenak diperhatikan gambar kabur yang muncul di skrin. Gambar yang nampak pudar ditelan masa itu kelihatan seperti diimbas kembali, lalu dimuatkan ke dalam blog peribadi tersebut.
Maklumat yang datang bersama gambar foto pasukan sekolah itu dibacanya seketika, ‘barisan pemain raghbi sekolah yang diketuai kapten kami, Muhammad Umar Raqib Ahmad Dasuki, sewaktu perlawanan menentang musuh tradisi kami, Sekolah Menengah Kebangsaan Changkat’.
Siti Zulaikha merenung kembali gambar itu. Imej itu sengaja dibesarkan dua kali ganda, lalu dia cuba meneliti gambar setiap pemain di situ. Mujurlah tidak sukar mengecam anak muda bernama Umar itu. Badannya yang lebih tinggi dan tegap berbanding pemain lain, serta rambut ikalnya yang terjuntai sedikit di hadapan, membuatkan Siti Zulaikha yakin yang dia tidak tersalah orang.
Maklumat sebanyak itu sudah cukup untuk meyakinkan Zulaikha bahawa anak muda bernama Umar itu memang wujud dengan namanya yang sebenar. Serta, dia juga mula faham bagaimana anak muda itu kelihatan begitu tegap dan gagah. Rupa-rupanya, dia bekas athlet... patutlah, desis hati kecilnya.
Masih tidak diketahui mengapa Umar boleh sampai ke situ, sedangkan dusun kepunyaan ayahnya menceruk ke dalam hutan yang liar.  Untuk ke dusun terdekat pun masanya hampir setengah jam! Lalu,  dari arah manakah sebenarnya anak muda itu datang?
Paling merisaukannya, ayahnya langsung tidak tahu menahu asal-usul anak muda itu. Bila Siti Zulaikha bertanya, itulah jawapan orang tua itu, “Entahlah... ayah tak tanyapun padanya... .”
Dia menopang dagunya lalu memandang skrin komputer. Sambil menarik nafas dalam, fikirannya bertebar jauh. Entah mengapa anak muda itu masih di situ. Tidak terasakah dia untuk pergi ke tempat lain? Atau... mungkinkah dia bersembunyi dari sesuatu?
Jika benar dia bersembunyi... apakah sebabnya? Adakah dia telah berbuat salah lalu harus bersembunyi? Kalau begitu, adakah dia seorang penjenayah?
Tersentap dadanya tiba-tiba. Ngeri sungguh! Jika jangkaannya benar, bermakna ayahnya sedang merawat seorang yang sangat merbahaya!
Meremang bulu romanya, sehingga terasa sejuknya pendingin hawa yang terpasang di makmal itu.
Pasti! Dia harus menyiasat lagi. Memang ada sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini. Kekusutan itu harus diuraikan!

Petang itu.
Siti Zulaikha memerhati gerak-geri ayahnya. Haji Salleh bersiap-siap memasukkan pakaian berlipat ke dalam beg plastik biru diperhatikan Hajah Rokiah. Gadis itu tunduk seketika, memandang jari kakinya, namun fikirannya tidak di situ. Dia tahu, ayahnya tentu mahu ke dusun malam ini, dan mungkin dua tiga hari lagi barulah dia akan pulang.
“Abang, pakailah beg galas ini... barulah nampak kemas...,” Hajah Rokiah menegur lembut tatkala melihat kecenderungan suaminya menggunakan beg plastik yang sudah agak lusuh itu.
“Tak apa... tak apa..., bukan hendak ke mana pun...,” balas Haji Salleh.
Siti Zulaikha mengetap bibir. Matanya tunak pada orang tua yang amat sederhana itu. Hatinya bergetar tiba-tiba. Khuatir sungguh dia jika keikhlasan ayahnya itu dikhianati orang!
Hajah Rokiah mengalah tatkala mendengar jawapan suaminya. Dia melepas keluhan kecil, lalu mengalih perhatian pada anaknya. “Zulaikha... bekalkan ubi rebus pada ayah,” suruh ibunya, tenang. Wanita berwajah jernih itu sudah menerima suaminya sekadaran. Walau sering ditinggalkan, dia tidak sesekali mengeluh. Dirinya amat faham, suami yang dikasihi pergi untuk mengenali hakikat kejadian diri.
“Buatkan dua bekalan, Siti Zulaikha...,” pinta Haji Salleh, menambah. “Bungkusan ayah, kamu letak seketul sudahlah. Bungkusan Umar, letak lebih... dia perlu tenaga untuk pulih... .”
Gadis itu mengetap bibir lebih rapat lagi. Tiba-tiba sahaja nafasnya sendat, tika mengenangkan bagaimana ayahnya sangat ikhlas dengan orang yang tidak diketahuinya dari mana asal usulnya.
Gadis itu menghayun langkah ke dapur. Sambil mengerling kedua orang tuanya sekilas, tangannya lincah mencari dua bekas plastik berpenutup. Ubi kayu rebus berwarna kuning jernih itu telah disejat ibunya. Dia mengambil seketul ubi sebesar genggamannya, lalu diletakkan dalam bekas pertama. Tidak berani diletakkan lebih. Sejak kebelakangan ini, ayahnya memang kurang makan kerana mahu melatih rohani.
Sambil mengeluh kecil, dia memasukkan empat ketul ubi ke dalam bekas ke dua. ‘Orang muda tentu mahu makan banyak,’ hatinya berkira-kira. Dia mengangguk sendirian, seperti sedang berbicara dengan dirinya sendiri.
Tangan lincahnya cepat membuka tudung pengukus, lalu disenduknya kelapa parut yang sempat dikukus ibunya. Sendukan pertama dimasukkan dalam bekas ayahnya.  Tersenyum dia. Tidak dapat dinafikan bagaimana nikmatnya makan ubi kayu rebus yang masih panas dan gebu bersama kelapa muda yang lemak manis. Dia menelan liur.
Namun, tatkala menyenduk kelapa ke dalam bekalan Umar, dia tiba-tiba mengetap giginya. ‘Nanti kau... jangan fikir tiada sesiapa  yang perhatikan engkau!’ desis hatinya, memberi amaran di angin lalu.
Tanpa teragak, dia membuka bekas garam. Nantilah kau... Umar!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.