Sunday, 5 March 2017

BAB 5~ JEJAK


Orang tua itu mengikat tali golok ke pinggangnya. Beg plastik biru berisi beberapa helai pakaian lama dipegangnya kejap. Dia berdiri di kaki tangga sambil memandang Umar yang duduk di atas anak tangga.

“Betul kamu tak mahu ikut, Umar?” tanya Haji Salleh untuk ke dua kalinya.
Umar menggeleng sekilas. Sambil tersenyum, dia membalas, “Tak apalah. Saya ingin bersendirian... .”
Haji Salleh mengangguk, faham. Dia memang bukan jenis orang yang suka memaksa. Dia juga percaya anak muda itu ikhlas dan boleh menjaga diri sendiri. Sambil menarik nafas dalam, dia berkata, “Barang-barang kering, telur... ikan kering... ada di dapur. Kamu masaklah kalau lapar.”
Umar mengangguk, akur. Yalah, apa pilihannya lagi. Buat sementara waktu, dia berasa selamat di situ. Alat pengesan signal seolah-olah tidak mampu menjangkau hingga ke daerah itu. Mungkin kerana kawasannya yang terletak terlalu dalam, di antara tebing tinggi, di kelilingi pula bukit bukau, membuatkan signalnya tidak mampu sampai ke sini.
Orang tua itu menyarung selipar. Sambil memerhati wajah anak muda itu, dia berpesan, “Tak perlulah kamu susah payah melihat kereta kamu... .”
Anak muda itu tersentak hebat. Jantungnya berdegup kencang untuk ke dua kalinya hari ini. Tidak pernah dijangka keluar perkataan sedemikian dari mulut orang tua yang tidak pernah bertanya perihal dirinya. Dia gugup seketika. Mati kata-kata yang mahu dilontar keluar dari mulutnya. Rasa bagai terbelit lidahnya. Peluh halus tiba-tiba sahaja muncul di wajah mudanya.
Haji Salleh telah pergi. Tinggallah Umar dengan pertanyaan yang muncul bagai hujan. Bagaimana orang tua itu boleh tahu? Siapakah dia? Adakah dia bersekongkol dengan mereka? Atau... mungkinkah dia meredah hutan belantara ini hingga sampai ke gaung bertebing batu di mana keretanya jatuh bergolek?
Anak muda itu menopang dahinya, lalu diurut-urutnya dahinya yang luas. Bagai tidak logik sahaja rasanya apa yang dialaminya sejak kebelakangan ini.
Umar tertanya-tanya. Dia yakin, Haji Salleh tidak berkata-kata tanpa alasan yang kukuh. Orang tua yang jarang berbual kosong itu hanya akan berbicara jika hal itu amat mustahak. Dan, resam Umar pula, dia sukar menurut kata yang menghalang dia dari melakukan sesuatu. Apa yang ditegah, itulah yang mahu dibuatnya. Lalu, tegahan Haji Salleh tadi telah merolak hatinya dan membuatkan perasaan ingin tahunya membuak-buak.
Merasakan tenaganya sudah agak pulih, pagi keesokan harinya, anak muda itu membelah dusun itu ke arah selatan beserta sebilah parang tajam, lalu mengharapkan dia masih dapat mengingati tempat dia berhenti sebelum tidak sedarkan diri. Biarlah dia bertindak tatkala Haji Salleh tiada. Sekurang-kurangnya, Haji Salleh tidak kehairanan menilai keputusan yang diambilnya itu.
Kakinya melangkah berhati-hati di antara akar durian dan semak samun yang belum sempat dibersihkan. Dia menarik nafas dalam. Dadanya terasa sedikit lapang kerana dapat bekerja sedikit keras hari ini. Terasa jantungnya berdegup dengan sekata, mengepam darah ke urat tubuhnya. Dalam diam, dia bersyukur kerana dapat pulih dengan sebegitu cepat.
Tidak dapat dihuraikan, apakah bahan yang digunakan oleh Haji Salleh untuk mengubat lukanya. Minyak bercampur daun yang ditumbuk lumat itu berbau pahit lagi berlendir kehijauan. Kulit baru yang tumbuh nipis lagi tegang di setiap lukanya itu akan hilang ngilunya tatkala disapu bahan yang amat menyejukkan itu.
Sambil menetak batang-batang pokok renek yang menghalang laluannya, dia menggeleng sekilas. Tidak dapat dibuang rasa takjub yang timbul tanpa dipaksa. Jika selama ini, dia merasa teruja dengan ciptaan sains di sekitar tugasnya, kini dia terasa begitu ingin tahu tentang sains kehidupan, yang dirasanya amat berfaedah, suci lagi aman damai. Orang tua lama juga bijak pandai. Cuma penemuan mereka tidak direkod, dibukukan lalu dipaten. Atas dasar ini, penemuan mereka telah menjadi hak orang ramai. Pereka cipta ini tidak mendapat kekayaan hasil dari usahanya. Tetapi bila penemuannya dimanfaatkan, dia mendapat pahala amal jariah yang berterusan selagi ilmu itu dimanfaatkan.
Tatkala ahli Sains Barat sibuk mencipta nama, ‘ahli sains’ kampung amat berlapang dada mencipta pahala!
Umar berhenti mengatur langkah, tatkala dia melihat satu kawasan yang telah bersih ditebas. Dia serta merta melangut ke atas. Terbitlah senyum yang selama ini agak mahal di bibirnya ketika melihat putik durian yang berkerayut. Warna hijau kekuningan alam dipanah mentari pagi menyilau matanya. Dia kembali tunduk lalu melangkah masuk ke kawasan yang sudah bersih itu.
Inilah agaknya hujung kampung yang dikatakan, desis hatinya. Masih tidak lupa dia kata-kata yang Haji Salleh sedang membersihkan kebun di hujung kampung sepanjang seminggu ini.
Umar meneliti setiap pangkal pokok. Sengaja dicari melalui daya ingatannya yang kuat, di banir manakah dia jatuh pengsan. Walaupun lekuk kayu di batang pokok nampak sama pada mata kasar, namun anak muda itu mampu mengecamnya. Daya ingatan yang kuat dan mampu memilih apa yang penting untuk direkod di belakang otaknya itu membuatkan dia tidak khuatir kemungkinan untuk tersalah mengecam.
Dia berhenti di satu pangkal pokok. Pasti benar dia, itulah tempatnya. Matanya tekun menilik tanda-tanda yang mungkin tertinggal di situ. Perlahan-lahan, dia tersenyum puas tatkala dapat mengesan darah kering yang lekat di kulit pangkal pokok itu.
Dari situlah, dia mula yakin dengan arah tujunya. Dengan langkah pasti, dia berganjak ke barat sehingga melewati kawasan dusun, lalu masuk semula ke dalam hutan tebal. Pokok kayu tua berbanir tebal menerjah di sepanjang laluannya. Kala ini, dia terpaksa mencelah banir, melangkau akar timbul dan sesekali meloncat. Tenaganya dikerah lebih lagi, hingga terasa olehnya keringat bermanik yang menitis di celah leher dan di antara urat rambutnya yang mula menerajang telinga.
Tanah yang dipijaknya semakin mencerun naik. Sedarlah dia, dusun Haji Salleh rupa-rupanya bukan sahaja terperosok ke dalam hutan, malah terbenam di dasar jurang. Itulah sebabnya! Dia mengangguk sendirian sambil tersenyum. Fahamlah dia, signal pengesan orang-orang jahat tidak mampu sampai ke situ. Dia selamat selagi tidak keluar dari kawasan lembah itu.
Setelah bertungkus lumus selama tiga jam, akhirnya dia tiba ke satu kawasan bertebing tinggi yang dipenuhi pokok durian yang tinggi melayut namun ditanam jarang-jarang. Dari kejauhan, dia melangut ke atas, lalu ternampak jalan raya di lereng bukit. Jalan itu benar-benar membentuk ular yang dipalu. Bengkoknya adakalanya melampau melebihi sembilan puluh darjah!
Anak muda itu mula menyusur kaki lereng bukit berbatu pejal itu. Dia pasti, keretanya tergolek tidak jauh dari situ. Kali ini dia mula waspada, khuatir kawasan itu masih dijaga oleh orang yang mencarinya, atau tuan punya kebun durian!
Lama merintangi batu-batuan kasar dan semak belukar di kaki tebing, akhirnya pandangannya lekat pada satu kawasan bekas kebakaran. Anak muda itu bersandar ke tebing dengan berjaga-jaga. Tanah tanih dan tumbuhan renek di situ hangus. Memandangkan tiada pokok tinggi di situ, kawasan itu terasa amat lapang. Ada banyak serpihan kaca halus di dekitar kawasan itu, mungkin dari pecahan cermin keretanya.
Anak muda itu duduk melutut, lalu memegang tanah hitam berbatu kerikil halus itu. Digenggamnya tanah itu, lalu diciumnya. Hangit bau tanah bekas terbakar merebak ke seluruh rongga hidungnya.
Dia mengerut dahi. Dia dapat menjangkakan, keretanya telah bergolek hingga ke sini, lalu mungkin meletup atau sengaja dibakar. Anak muda itu bangun semula dengan bingkas. Matanya merenung tebing batu yang mula mengunjur ke atas, mencari tempat di mana dia terjun keluar dari keretanya sehingga tersangkut di pangkal sepohon pokok yang tumbuh di lereng curam itu. Seingatnya, dari situ, dia merangkak beberapa meter sebelum berjumpa sebongkah batu besar yang lekat kuat di tebing. Di belakang batu yang bercelah itulah tempat dia bersembunyi tempohari, sehingga menjelang tengah malam di mana dia mula mengorak langkah menjauhi kawasan yang penuh peristiwa pahit itu.
Namun, bongkah batu yang dicari itu tidak kelihatan di matanya. Keretanya juga lesap. Dia mengeluh perlahan. Hatinya berkata pasti, yang penjahat itu telah mengambil semula keretanya untuk menghilangkan bukti kejadian.
‘Tak perlulah kamu susah payah melihat kereta kamu’ . Anak muda itu mengerut keningnya yang liar. Barulah dia teringat semula pesanan Haji Salleh pagi kelmarin.
Mungkinkah orang tua ini khasyaf! Mungkinkah dia mempunyai gerak hati yang kuat sehingga mampu menjangkau dimensi ruang dan masa? Bukannya dia tidak pernah mendengar dari bapanya, ada orang-orang alim yang begitu tepat gerak hatinya. Mereka ini tahu apa yang akan berlaku, dan apa yang sedang berlaku!
Seperti hubungan telepati yang dikatakan ‘usaha gila’ oleh Professor Azhar dan Doktor Cheng!
Entah mengapa, tiba-tiba dia merasa otaknya bagai terhenyak. Sakitnya meratah seluruh urat saraf di kepalanya. Umar meneguk air liur, bersungguh-sungguh menahan kesakitan itu.
Ya Allah! Apa pula yang berlaku? Sakit ini pernah dirasanya beberapa kali sewaktu dia masih bekerja dengan mereka!
Dan dia pasti, sakit ini jugalah yang telah meragut nyawa Suresh!
Sambil menekan kepalanya, anak muda itu menghayun langkah secepat mungkin, mula beredar dari tempat itu. Dia khuatir, di kawasan yang lapang itu, mereka telah dapat mengesan kehadirannya menggunakan mesin canggih mereka.
“AZHAR... MEMANG ADA SIGNAL!” Doktor Cheng menyentuh bahu rakannya yang khusyuk meneliti skrin tiub Mueller-Cheng. “Tapi tidak kuat...,” ucapnya lagi, sambil membesarkan signal yang diterima.
“Telefon controller minta mereka kesan jejak Murad melalui satelit,” tegas Professor Azhar sambil mengetap giginya.
“Bukankah cip pengesan Murad telah tamat tempoh guna?” tanya Doktor Cheng lagi, khuatir.
“Sepatutnya begitu. Tapi masih berfungsi... .”
Doktor Cheng membuat satu panggilan telefon sebelum kembali memerhati skrin yang sedang menangkap gelombang kasar yang masih berselaput dengan gangguan. Dia menggeleng sekilas. Entah bila lagi usaha mereka akan membuahkan hasil. Ajen terbaik telah lari. Murad yang mempunyai kemampuan untuk menguasai signal itu tidak lagi mahu bekerjasama!
Kalaulah gelombang itu dapat dibersihkan, lalu  dapat membentuk paket gelombang yang cantik... . Jika perkara itu menjadi kenyataan, hubungan telepati antara manusia dan mesin akan menjadi kenyataan! Penghantaran maklumat tidak perlukan telefon atau komputer lagi. Otak mampu melakukannya sendiri!
Tapi,  itu hanyalah impian yang diketawakan!
Doktor Cheng menggigit bibir. Hatinya hangat memikirkan semua itu. Marah dan kesal bercampur baur.
Seketika kemudian, mereka mendapat panggilan telefon. Tika itu, mata Doktor Cheng bersinar-sinar. Setelah meletak gagang, dia berkata dengan nada puas, “Murad telah dikesan di kawasan kemalangan tempohari. Memang dia ada hampir sangat.”
“Wah!” Ucap Professor Azhar, takjub. “Maksudnya, signal tiub Muller-Cheng boleh dipercayai!”
“Hm... signal yang dianggap bodoh ini tidak lagi sebodoh yang disangka,” balas Doktor Cheng dengan dada berombak. “Mereka telah hantar pasukan ke sana. Hari ini kita akan dapat semula ajen 007!”

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.