Sunday, 5 March 2017

BAB 10~ GEMPUR


Umar memerhati dari kejauhan. Bukan mudah bagi dirinya untuk sampai ke sini. Sejak kelmarin dia telah berjalan tiga jam hingga ke dasar tebing tinggi itu. Tiba di situ, dia terpaksa memanjat pula tebing berbatu kasar, lalu mencari-cari arah yang kurang cerunnya. Berpeluh-peluh dia sementara hendak sampai ke jalan berlengkok di atas bukit.

Baru kali ini dia yakin untuk keluar. Sebelum dia meninggalkan pondok pagi itu, dia siap mengambil wuduk dan bersolat Dhuha. ‘Sujud dan ruku’ berupaya menenangkan fikiran kamu’. Dia masih ingat ajaran orang tua itu. Umar yakin, jika dia dapat mengawal otaknya, signal luar sukar masuk menganggu. Otak yang tenang akan melemahkan radiasi di kepalanya, itu dia yakin sungguh!
Dengan wang yang tinggal berbaki, dia menahan sebuah lori sayur yang melalui kawasan itu lalu menumpang sehinggalah ke bandar. Dari situ, dia menyewa sebuah kereta lalu memandu sehinggalah tiba di taman perumahan rumah mewah miliknya.
Matanya meneliti seluruh pelusuk rumah. Dari biasan cahaya di kaca tingkap yang sesekali berbayang, dia pasti ada orang lain di dalam rumah itu. Ada sebuah kereta yang diparkir di hadapan pintu pagar, mungkin kepunyaan manusia yang berada di dalam sana.
Harus! Dia harus mencari jalan untuk masuk tanpa disedari!
Dia memandu ke kawasan yang agak terlindung, lalu memberhentikan kereta di bawah pokok merimbun di taman permainan tidak jauh dari situ. Untuk sementara, dia merancang untuk melihat gerak geri orang di dalam sana. Sekurang-kurangnya, dia harus menunggu sehingga bilangan mereka di dalam itu berkurang.
Matanya meneliti kejauhan tatkala melihat kelibat dua orang lelaki menolak pintu pagar mengelungsur berkerawang itu untuk seketika, sebelum menutupnya kembali. Mereka masuk ke dalam kereta lalu beredar dari situ.
Umar yakin, mereka tentu telah mengambil kunci rumahnya yang ada di dalam keretanya yang terjunam tempohari!
Dia melepaskan keluhan kecil, sambil menggeleng seketika. Terasalah anak muda itu, betapa teruknya dia mencari harta, membeli kereta mewah dan rumah banglo besar. Membuat apa sahaja kerja tanpa mengira halal haram. Akhirnya, di situlah dia, dia menumpang di pondok buruk di tengah hutan.
Berkocak lagi dadanya, marah itu datang bagai bara api yang dihembus-hembus.
Umar mengatur langkah penuh waspada ke bahagian belakang pagar. Sukar untuk masuk melalui pintu hadapan tanpa dikesan penggera keselamatan. Dia tahu  ada satu tempat di mana dia boleh bolos ke dalam. Tembok batu yang lebih tinggi dari manusia itu, yang sesekali dihias gril besi berkerawang diantara lubang angin, ada kelemahannya di bahagian belakang. Dia pernah memanjatnya suatu masa dahulu sewaktu dia kehilangan gugusan kuncinya. Wayar penggera tidak berfungsi di sebahagian kecil tembok di situ.
Ada sebuah tingkap bergril di tingkat atas rumah yang pernah digergaji selaknya ketika dia tidak dapat masuk ke dalam rumahnya pada  waktu itu.
Dengan penuh waspada, anak muda itu memanjat tembok itu. Tiba di atas, dia terpaksa berhati-hati melangkau kawat berduri berpintal-pintal yang dipasang di atas tembok. Berdecit mulutnya tatkala seluar jeansnya terkoyak sehingga kawat duri itu mengguris betisnya.
“Argh!!!” Umar melompat dari atas lalu jatuh tergolek ke atas rumput.  Dia bingkas bangun lantas berselindung di sebalik deretan pokok puding. Matanya liar memerhati kawasan sekeliling. Tangannya meraba pisau lipat ala rambo yang disangkut di bahagian belakang talipinggang. Merasakan pisau itu masih di situ, dia semakin yakin lalu berhati-hati menyusup ke tepi dinding sebelah belakang rumahnya.
‘Ah! Gril dapur berkunci!’ anak muda itu mengeluh di dalam hati. Memang tiada jalan lain lagi kecuali memanjat ke atas.
Ada sebatang paip lebar  yang mengunjur ke bumbung. Dengan penuh berhati-hati, dia memanjat paip besi itu, sehinga sampai ke tingkat dua. Dia tahu ada sebuah tingkap hampir dengan paip itu. Tingkap biliknya yang telah digergaji selak grilnya.
Dia mencolek sedikit bucu gril dengan hujung pisau, lalu ia terkuak sedikit. Perlahan-lahan, dia menolak tingkap menggelongsor di sebelah dalam sehingga terbuka.
Sambil menarik nafas lega, Umar memanjat tingkap, lalu meloncat senyap masuk ke dalam bilik.
‘Argh... malang sungguh tabung ubat itu berada di dalam peti sejuk beku!’ anak muda itu sempat merungut. Bermakna, dia harus turun ke dapur lalu terpaksa pula menghadapi orang di bawah sana.
Umar memijak anak tangga dengan penuh waspada. Anak matanya liar mencari. Dia memasang telinga. Terdengar suara orang bercakap di ruang tamu. Dengan penuh waspada, dia menjenguk dari tepi dinding di kaki tangga. Sekilas dilihatnya ada dua orang lelaki berbadan besar di situ.
Matanya meneliti gerak geri mereka. Dia sedar mereka bersenjata. Mereka mungkin memegang kunci rumah itu! Dan... kunci itu harus diambilnya!
Tiada cara lain lagi! Dia terpaksa bertempur satu persatu, atau kedua-duanya sekaligus! Apa lagi salah seorang darinya sedang menghayun langkah ke tangga!
Lelaki berkumis tebal itu serta merta sedar akan kehadirannya di situ. Dengan wajah bengis, lelaki itu mencapai pisau di pinggang, lalu diacukan pada anak muda itu. Umar mengelak ke sisi kanan dan kiri beberapa kali dengan tangkas. Langkah lelaki bengis itu dibacanya dengan pantas.
Tiba-tiba, lelaki itu menerpa ke arahnya sambil mengacah pisau yang tajam berkilat. Dengan cepat anak muda itu menetak pergelangan tangan lelaki itu dengan momentum tangan mudanya yang kuat, sehingga terpelanting pisau tajam yang diacu!
“Arghh!!” Lelaki itu memekik apabila serentak Umar menghentak kuat urat saraf di tulang selangka si kumis tebal dengan empat hujung jarinya, sehingga lelaki terdorong ke belakang.
Tiba-tiba sahaja Umar dipeluk dari belakang dengan kuat. Argh! Lelaki yang seorang lagi, yang lebih berulas badannya! Lelaki berkumis tebal tadi mengambil semula pisaunya lalu menerpa datang semula. Kala itu, Umar hampir kelemasan dipeluk erat ala gusti di belakangnya. Mujurlah dia sempat berfikir untuk  melentingkan tubuhnya lantas kakinya dengan pantas menendang lelaki berpisau itu di perut.
Lelaki itu terdorong ke belakang. Kesempatan itu diambil secepat mungkin oleh Umar. Dia melembikkan anggota badannya sehingga badannya bolos keluar dari pelukan lelaki berbadan besar di belakangnya. Dengan cepat dia diambilnya pisau di belakang tali pinggangnya lalu ditusuk ke paha penyerang di belakangnya.
“Argh!!!” jeritan kuat mengisi setiap penjuru ruang tamu.
Umar sekali lagi menghentak padu empat jarinya di sendi leher lelaki yang terlentang tadi sehingga lelaki itu tidak dapat bangun lagi. Dia kemudiannya memusingkan badannya lalu menyentak saraf leher lelaki bertubuh besar itu dengan keempat-empat hujung jarinya. Tatkala kedua-dua orang itu terjatuh dan tidak sedarkan diri, dia menyelak poket si kumis tebal lalu mengambil gugusan kunci.
Diperhatinya sejenak. Memang itu kunci miliknya!
Serta merta anak muda itu bergegas ke dapur lalu membuka peti sejuk beku. Ada satu kotak kecil di dalamnya, di mana tersoroknya tabung uji berisi ubat penawar itu. Anak muda itu cepat mengambilnya, lalu membuka kunci mangga gril dapur. Sepantas mungkin dia berlari ke pagar belakang, membuka kunci pagar sebelum masuk ke dalam kereta sewanya.
Petang yang sunyi itu diisi dengan deruman enjin kereta sewa Umar yang terpaksa menjauhi rumahnya sendiri.
UMAR MENGAYUH LANGKAH setangkas mungkin. Sibuk sungguh dia semalaman. Tabung uji itu telah diberi pada seorang sahabatnya, Mamat Techno, kerana hanya Mamat sahaja yang tahu cara menyimpannya. Semalam dia tidur di rumah Mamat.
Setelah mengembalikan kereta sewa itu, dia menyewa teksi lalu berhenti di tebing tinggi. Dari situ, dia turun ke dalam gaung lalu merintangi hutan tebal sebelum kembali ke dusun. Dia tiba di dusun pada waktu tengahari, sambil diperhatikan Haji Salleh dengan dahi berkerut.
“Kamu pergi ke mana sepagi ini, Umar?” tanya Haji Salleh dengan wajah redup.
Umar tersenyum kelat. Tiada gunanya dia berdalih. Berkata benar atau bohong tidak mengubah Haji Salleh yang sentiasa lapang dada itu. Lalu perlahan-lahan dia membalas, “Saya ke bandar... ada hal penting yang harus diuruskan... .”
“Oh... begitu... .”
Orang tua itu memijak anak tangga, sambil tersenyum padanya sehingga terserlah giginya yang  panjang-panjang. Dia sempat menoleh lalu menegur, “Kamu sudah makan... Umar?”
Umar tersenyum balas. Sambil mengangguk sekilas, dia membalas, “Sempat bersarapan awal tadi, sebelum kembali ke sini.”
Umar melabuhkan punggungnya di atas anak tangga yang paling bawah. Pandangannya dilontar jauh ke sempadan, di mana kelihatan di matanya beberapa batang pokok hujan yang kini hampir setinggi pepohon durian.
“Ini ada air kopi untuk kamu. Anak saya yang bancuhkan pagi tadi.”
Anak muda itu serta merta memandang bekas air plastik yang dihulurkan oleh Haji Salleh. Dia terkaku buat seketika. Tidak tahu apa tindakan yang seharusnya.
Air kopi? Dibancuh oleh anaknya? Umar tiba-tiba jadi waspada. Kenangan dia menjamah ubi kayu terlebih masin tempohari masih berbekas kuat di ingatannya.
Namun, air kopi likat itu benar-benar menggodanya!
“Terima... kasih, Pak Haji,” jawab Umar tergagap-gagap, tidak mahu mengecilkan hati orang tua itu. “Saya tak minum kopi... .”
Ah! Lega rasanya kerana dapat menolak dengan baik, walaupun terpaksa menipu. Aduh!
La...  betulkah begitu...?” orang tua itu seolah-olah bersimpati padanya. “Sayang pula kopi ini,” ucapnya lagi, sambil membuka penutup bekas itu. “Pak cik pun... jarang minum kopi sebenarnya... .”
Umar memerhati seketika, sebelum matanya tiba-tiba terbeliak melihat orang tua itu menghirup air kopi itu tanpa disangkanya.
“Jangan...  Pak Haji!”
Haji Salleh berhenti meneguk kopi itu serta merta. Dia kembali memandang anak muda itu dengan perasaan hairan. Dengan suara serak, dia bertanya, “Kamu mahu...?”
Umar serta-merta menggeleng. Akalnya berjalan ligat. Dia yakin, ada sesuatu yang tak kena pada air di dalam bekas itu. Namun, dia tidak tahu alasan yang harus direkanya supaya orang tua itu berhenti meminumnya.
Haji Salleh meneguk perlahan kopi itu, sehinggalah tinggal separuh bekas. Dia kemudiannya menutup semula tudung bekas itu lalu meletakkannya di jenang pintu. Perlahan-lahan dia bangun lalu menapak ke dapur.
Sebaik sahaja melihat Haji Salleh beredar agak jauh, Umar serta merta mencapai bekas air plastik itu. Tudung bekas dibukanya, lalu dia menghidu air kopi yang nampak keruh di bawah.
‘Ah! Memang ada bahan asing di dalamnya!’ bentak hati anak muda itu. Kopi lebihan itu dituangnya ke kaki tangga, lalu bekas itu cepat-cepat ditutup semula.
“Mana air kopi tadi?” tiba-tiba terdengar suara orang tua itu dari celah pintu.
Umar terkejut namun pura-pura tersengih. Tiada jawapan lain lagi, melainkan, “Saya habiskan...  Sedap pula nampaknya bila tengok Pak Haji minum tadi... .”
Orang tua itu turut sama tersengih hingga pipih matanya. Kepalanya mengangguk-angguk walaupun kurang faham dengan tindakan anak muda itu.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.