Jam tiga pagi.
Bunyi lantai berkeriut dipijak. Anak muda yang memang telah terlatih tidur-tidur ayam itu serta merta terjaga. Matanya pantas meneliti lantai, mencari arah datangnya bunyi itu.
Dalam samar-samar
cahaya, pandangannya lekat pada kelibat tua Haji Salleh melangkah agak kalut,
tidak setenang selalunya. Orang tua itu menolak daun pintu lalu terkocoh-kocoh
menuruni anak tangga.
Anak muda itu bingkas
bangun, namun pergerakannya pantas dan senyap. Dia menyelinap ke pintu, lalu
meninjau ke luar. Malangnya, kelibat Haji Salleh tidak kelihatan di mana-mana.
Orang tua itu seperti lesap sebegitu sahaja.
Umar mula berasa tidak
sedap hati. Dia memijak anak tangga yang paling atas, namun kemudian meloncat
senyap ke tepi tangga, lalu menjejak tanah. Berselindung di sebalik tangga kayu
itu, pandangan matanya dilontar ke takungan.
Air di takungan beriak
kasar. Maksudnya, Haji Salleh sempat singgah di situ untuk mengambil air.
Anak muda itu
menggigit bibir. Hairan dia. Ke mana pula perginya Haji Salleh setelah singgah
di situ?
Umar menunggu lagi,
sehinggalah dia nampak kelibat Haji Salleh menghayun langkah kasar dari
sempadan dusun ke takungan sambil membawa baldi yang bergoyang ringan.
‘Ah! Dia ke jamban rupanya!’ desis hati anak muda itu, kelegaan,
lalu kembali memanjat anak tangga sambil tersenyum sendirian. Terasa pula dia,
ada kalanya perasaan waspadanya melampau-lampaulah pula!
Umar berbaring
kembali. Ekor matanya mengikut gerak langkah Haji Salleh yang baru kembali dari
bawah. Orang tua itu kembali berbaring tanpa menyedari dirinya diperhatikan
oleh anak muda yang sentiasa mengawasinya itu.
Hairan lagi dia.
Fikirannya tertuju pada persoalan itu. Entah mengapa, malam ini orang tua itu
tidak pula bersolat tasbih seperti selalu!
Sebaik sahaja dia mahu
melelapkan mata semula, telinga nipisnya menangkap bunyi lantai berkeriut
sekali lagi. Serta merta dia membuka matanya lalu nampaklah di matanya kelibat
Haji Salleh yang sekali lagi terkocoh-kocoh ke pintu lalu turun dengan laju ke
bawah.
‘Ah! Mengapa Haji Salleh kerap pula ke jamban? Sakit perut kah?’
Awal pagi itu, Umar
telah menyaksikan Haji Salleh turun ke bawah beberapa kali dengan terkocoh-kocoh,
sehinggakan setiap lima
belas minit sekali. Anak muda itu mula khuatir lalu tidak dapat melelapkan
mata.
“Mengapa Pak Haji?”
dia bertanya akhirnya, setelah merasa kasihan melihat orang tua itu yang mula
nampak kelelahan. Maklumlah, tandas di sempadan sana agak jauh juga!
Wajah orang tua itu
pucat, namun dia tetap menjawab dengan senyumannya yang tenang, “Perut pak cik
sakit pula sejak awal pagi tadi... .” Orang tua itu cuba bersandar di tiang seri, namun
seketika kemudian, wajahnya kembali berkerut-kerut. Dia menggagahkan dirinya
bangun. Lututnya kelihatan menggeletar. Mungkin tenaganya telah keluar habis
setelah berulang ke sana tadi. Seketika kemudian, dia kelihatan
terhoyong-hayang.
“Pak Haji, jangan
berjalan lagi!” Umar bingkas bangun, lalu memapah tubuh kurus orang tua itu.
“Izinkan saya dukung pak cik, ya?” pintanya pula, khuatir.
Memang itulah dia,
Umar si anak muda yang sangat mengkagumi orang tua itu. Hatta memegang badan
orang tua itu sekalipun, dia rasa dirinya terlalu rendah dan tidak layak.
Sehinggakan dia berasa harus meminta izin!
Orang tua itu
ditanggungnya di belakang badannya, lalu dia memijak anak tangga dengan
berhati-hati. Sebaik sahaja kakinya memijak tanah, Umar terus menghayun langkah
gagah ke sempadan tanpa bertangguh. Setelah memastikan Haji Salleh selamat di
dalam tandas tradisional itu, dia kembali ke takungan untuk mengambil sebaldi
air.
Kala itu dahinya
berpeluh dingin. Nafasnya turun naik dengan sekata. Teringat semula dia
bagaimana suatu masa dahulu dia terpaksa berlari sambil memikul beg penuh buku
ke sekolahnya. Umar menarik nafas dalam. Rupanya, ada juga keindahan di sebalik
kenangan perit itu. Walaupun waktu itu hidupnya amat sukar, tetapi dia masih
mewah dengan kasih kedua orang tuanya!
SEHINGGA JAM LAPAN pagi, keadaan Haji Salleh semakin parah. Orang
tua itu kini lembik seperti guni buruk. Dia tidak lagi membuang air, namun
badannya amat lemah dan kulitnya pucat. Umar berfikir ligat. Dia khuatir tanpa
ubatan yang sesuai, orang tua itu akan menjadi lebih lemah lagi.
“Pak Haji... Izinkan
saya bawa Pak Haji keluar dari sini untuk dapatkan rawatan,” pintanya tanpa
memikirkan lagi kesan yang akan menimpa dirinya. Kala itu, gangguan orang jahat
yang mungkin akan dapat mengesan kehadirannya sewaktu di luar nanti, tidak lagi
dipedulikannya. ‘Ahhh... Persetankan itu
semua!’
“Jauh... Umar... . Kampung
itu tiga kilometer dari sini... .”
Orang tua itu menjawab
lemah di pembaringan. Wajahnya kini tidak lagi manis seperti selalu. Anak muda
itu tertunduk sedih melihat keadaan lelaki mulia yang pernah merawatnya itu.
“Apa cara paling cepat
untuk ke sana ?”
tanya anak muda itu lagi, mula sangsi.
Dalam diam, dia mula
merasakan yang orang tua itu telah keracunan. Mungkinkah racun itu datang dari
air kopi keruh semalam? Kalau benar, tentu keadaan orang tua itu lebih teruk
lagi jika dia menghabiskan kopi itu semalam!
Entah siapalah yang terlalu
berani membuat onar!
Anak muda itu mengetap
giginya. Hatinya berbara namun ditahannya.
“Ada caranya,” balas orang tua itu tanpa
disangka. “Setengah jam berjalan dari sini, jumpa kebun getah jiran pak cik.
Mereka ada motor Scrambler.”
Tanpa teragak lagi,
anak muda itu menggantung golok di pinggang, lalu menanggung orang
tua itu di belakang badannya. Berdetap-detap bunyi tulang temulang orang tua
itu. Umar memejamkan matanya, tidak sampai hati mendengar bunyi yang mencuit
rasanya itu.
Dengan tangkas, dia
mengatur langkah ke sempadan dusun, lalu seterusnya membelah hutan. Haji Salleh yang lembik di belakangnya
bernafas perlahan sehingga dapat dirasainya.
“Ikut arah mana Pak
Haji?” tanya anak muda itu sambil melibas semak samun dan menetak pokok kecil
yang menghalang laluannya dengan tangan kanannya.
“Terus ke depan hingga
jumpa kebun getah!” balas Haji Salleh di belakang, menyerigai kesakitan. Bagai
ditarik-tarik ur at
tuanya tatkala berada di atas tanggungan anak muda itu.
Anak muda itu melangkah
payah, sesekali terpaksa melangkau banir tebal dan akar timbul. Ada kalanya, tanah itu
becak dan lembik. Pun begitu, dia tidak merungut. Dirinya telah kembali menjadi
pasrah seperti di zaman sekolahnya. Kala dia masih diuliti kasih ibunya!
Apa saja untuk Haji
Salleh yang telah menjaganya seperti anak sendiri!
Hatinya sedikit lega
tatkala sampai ke satu kawasan yang agak cerah kira-kira setengah jam kemudian.
Di situlah kebun getah yang dimaksudkan. Persekitaran kebun itu begitu lapang
dan bersih. Dari kejauhan dia nampak kelibat dua orang sedang berbual-bual.
Seorang lelaki awal empat puluhan sedang menanggung tong susu getah, manakala
wanitanya pula memegang pisau toreh dan bekalan.
Umar mengatur langkah
laju penuh harapan. Dua orang manusia pertama yang ditemuinya setelah membelah
hutan pagi itu didekatinya.
“Pak Haji? Sakitkah?”
wanita berbadan besar itu cepat sahaja menyedari apa yang berlaku. “Cepatlah,
bawa dia naik motosikal ni!” dia memandang Umar dengan wajah penuh kerisauan. Kalut
benar orangnya!
Umar mengangguk sekilas
sambil memerhati motosikal lama yang kelihatan masih kuat itu.
“Kamu bawa dulu Pak
Haji naik motor kakak. Kami berdua belum sempat berkemas-kemas,” ujar yang
lelaki pula.
Umar mengangguk faham.
Dia segera menunggang motosikal itu. Haji Salleh dibantu supaya dapat
membonceng di belakang. Anak muda itu segera menghidupkan enjin sambil
memandang lelaki itu. Tanpa sempat berkenalan lanjut, dia bertanya, “Ikut arah
mana ya, bang?”
“Kau ikut sepanjang
jalan denai sampai jumpa kampung!”
Pagi itu gamatlah
hutan liar itu dengan bunyi motosikal yang dibawa laju. Motosikal yang dipandu
seorang anak muda berbadan tegap, membawa seorang tua kurus yang lembik
terkulai-kulai.
Unggas rimba terbang
bertempiaran menyaksikan gelagat manusia yang berbeza rentaknya hari ini!
TATKALA HAMPIR TIBA ke jalan kampung, Umar dapat merasakan yang
badan orang tua itu bagai melayang. Tangannya tidak lagi berpaut di pinggang anak
muda itu. Umar menoleh sekilas. Berderau darahnya tatkala melihat orang tua itu
terpejam matanya, seperti pengsan!
‘Ya Allah, syukurlah dia tidak terhumban dari motosikal!’
Anak muda itu serta
merta memberhentikan motosikal. Cepat dibuka bajunya, lalu digulung-gulung dan
digunakan untuk mengikat badan Haji Salleh ke badannya supaya orang tua itu
tidak jatuh.
Dengan memaut badan
lelaki tua itu menggunakan tangan kirinya, manakala tangan kanannya terus
mengawal hendal motosikal, dia terus memandu motor yang sesekali
terhenjut-henjut di jalan kecil yang beralur dalam. Sempat dia meneguk liur,
bimbang jika dia dan Haji Salleh akan kecelakaan, terhumban ke dalam semak di
kiri kanan jalan! Manalah tahu, nasib kurang baik!
‘Ah! Orang tua ini pengsan! Bagaimana aku hendak bertanya arah
rumahnya?’ anak muda itu sempat berfikir. Sungguh! Dia harus berhenti bertanya
jika terjumpa orang kampung!
Tiba di jalan minitar,
matanya mengesan sebuah warung di kiri jalan. Serta merta dia melorong ke kiri,
lalu terus masuk ke perkarangan warung itu. Beberapa orang anak muda dan tuan
punya warung memerhatinya dengan wajah kehairanan.
“Eh... dia bawa Haji
Salleh lah!” terdengar beberapa suara berkata-kata.
Umar cepat bertanya
dengan suara lantang. “Di mana rumah Haji Salleh? Pak Haji pengsan!”
Tuan punya warung
meninggalkan kaunter bayaran, diikuti beberapa orang anak muda. Wajahnya
berkerut-kerut memerhati ke belakang motor. Terkejut dia bila melihat Haji
Salleh yang lembik di belakang anak muda itu.
“Ya lah, memang Haji
Salleh...,” ucap lelaki awal lima
puluhan itu, terkejut bercampur khuatir.
Seorang anak muda berbadan
kurus tampil lalu berkata kalut, “Biar saya bonceng motor sambil pegang Pak
Haji. Saya boleh tunjukkan rumah!”
“Yalah, biar Seman
bonceng di belakang...,” terdengar beberapa suara bersetuju.
Umar mengangguk
kelegaan. Mujurlah, bantuan datang dengan mudah. Pemuda kurus yang dipanggil
dengan nama Seman itu membonceng di belakang sekali lalu memegang badan kurus
Haji Salleh.
Orang-orang itu lebih
kalut dengan keadaan Haji Salleh sehingga tidak sempat bertanya tentang
asal-usulnya. Dalam diam, dia bersyukur.
“Terima kasih,
marilah!” ucapnya, begitu lega.
Serentak dengan itu,
beberapa orang anak muda turut sama menaiki motosikal masing-masing.
Berderam-deram bunyi enjin yang dihidupkan sekaligus, seolah-olah mahu berlumba
lagaknya.
“Eh! Buat apa pergi ramai-ramai.
Cukuplah satu motosikal ikut belakang untuk bawa Seman kembali ke sini,” tegur
tuan punya kedai. “Ini... air dan
makanan, siapa nak bayar?”
Anak-anak muda tadi
tersengih-sengih tatkala mendengar teguran tuan punya warung. Mereka
seolah-olah terlupa tentang itu kerana terlalu sibukkan Haji Salleh. Umar akur.
Nampaknya, Haji Salleh popular juga di situ.
“Nanti kami datang
kembali ke sini, Pak Karim. Berkat tolong
orang alim macam Pak Haji ni...,” sahut salah seorang dari mereka.
“Hm... nak tolong Pak Haji, atau nak tengok Siti
Zulaikha?” balas tuan punya warung yang
dipanggil Pak Karim itu, selamba.
Nama ‘Siti Zulaikha’
hinggap di telinga nipis anak muda itu. Dia menyemat nama itu sekemas-kemasnya
di benaknya. Sambil mengangguk sekilas, dia menghantar amaran di angin lalu,
“Nantilah kau, Siti Zulaikha!”
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.