Sunday, 5 March 2017

BAB 12~ ANGAU


Gadis itu tunduk. Diam, tidak berkutik sedikitpun. Matanya merenung hujung tudungnya yang digentelnya, seolah-olah pemikirannya berpusat di situ.

Umar memandang dia yang menggigit bibirnya yang mungil. Sepasang lesung pipit berlekuk di pipi si dia itu, walaupun sewaktu dia dalam keadaan paling muram.
Kalau selama ini, dia hanya melihat gadis itu dari kejauhan, hari ini si manis itu terpampang di hadapan matanya. Dia yang bernama Siti Zulaikha! Dia yang tunduk dengan pipi yang mula merona kemerahan. Dia yang tunduk dengan matanya yang nampak berkaca-kaca!
Sewaktu Umar tiba di rumah Haji Salleh tadi, hanya isterinya, Hajah Rokiah sahaja yang ada di rumah. Oleh kerana Haji Salleh perlu dibawa ke hospital, isterinya menelefon anak mereka, Siti Zulaikha yang sedang mengajar di sekolah. Selepas memohon kebenaran, Siti Zulaikha datang memandu keretanya yang bersaiz comel. Dialah yang membawa ayahnya ke hospital, ditemani Umar, atas permintaan isteri Haji Salleh.
Lalu di situlah anak muda itu, melangkau sempadan yang sepatutnya amat dijaga, demi seorang lelaki mulia yang tidak pernah memandang kekurangan mahupun kelebihan dirinya.
Entah mengapa mata lelakinya asyik memandang, walaupun asalnya dia tidak berniat sebegitu. Niat sebenarnya hanyalah untuk bertanya dan mendapat jawapan yang pasti. Tetapi, tatkala mulutnya baru bergerak untuk melontarkan soalan, dia terpesona memandang wajah yang tertunduk serba tidak kena itu.
Haji Salleh berada di dalam sana, dirawat petugas unit kecemasan. Tubuhnya dimasukkan air bagi menggantikan air yang hilang banyak sepagi itu.
Umar mendekati gadis itu, walaupun dia sedar kehadirannya membuatkan si gadis berasa tidak selesa. Namun, demi menyelesaikan permasalahan yang agak rumit itu, dia menguatkan hatinya untuk berterus terang sahaja.
“Ayah awak sakit teruk...,” ucap anak muda itu, memulakan bicaranya.
Siti Zulaikha menggigit bibirnya lebih kuat lagi, seperti menahan perasaannya.
“Saya yakin, awak tahu apa yang terjadi sebenarnya... .” tidak habis. Umar sengaja menunggu reaksi Siti Zulaikha.
Gadis itu serta merta mengerling tajam, dengan pandangan mata yang mampu menghiris jantung sesiapa sahaja. Namun, mulutnya masih dikunci rapat.
Umar meneguk liur. Tidak disangkanya, gadis seayu itu, rupa-rupanya garang seperti helang menyambar!
“Apa yang buat awak tidak puas hati? Apa yang mendorong awak mengenakan saya?” tanya Umar akhirnya, cuba menjentik persoalan di mata hati gadis itu. Dia yakin, gadis itu bukanlah terlalu kering hatinya hingga tidak dapat menyelam maksud soalannya. Mata yang berkaca-kaca itu membuktikan yang hatinya tidaklah sekering mana.
Bibir yang tadinya berkunci rapat, kini nampak bergetar. Hati anak muda itu berkocak sama tatkala melihat reaksi Siti Zulaikha. Tergamam dia tatkala melihat Siti Zulaikha memejam rapat matanya, lalu terbit juga setitis air jernih yang ditahan sejak tadi.
Dengan suara gementar, gadis itu menjawab, “Siapa awak? Apa tujuan awak ke tempat ayah!” dia terdiam seketika. Dadanya berombak makin kuat. “Siapa awak?!” dia bertanya lagi, lantang.
Entah mengapa, tiba-tiba otak Umar bagai dihiris-hiris. Anak muda itu serta merta memegang kepalanya. Bagai mahu tersembul matanya menahan bisa yang menjalari saraf otaknya!
Umar memandang Siti Zulaikha, seperti meminta bantuan. Namun, gadis itu hanya kelihatan tergamam. Sambil memegang kepalanya yang berat, anak muda itu mengatur langkah sukar. Dia harus pergi dari situ. Dia yakin, tempat itu tidak selamat baginya. Biarlah dia pergi jauh sebelum dirinya tertangkap.
Siti Zulaikha terpinga-pinga memandang anak muda itu yang berlalu meninggalkannya tanpa sepatah kata pun!
UMAR MERENUNG JAUH menjalari seluruh pelusuk dusun di hadapan matanya. Dadanya berasa lega sebaik sahaja sampai di situ. Setiap kali keluar dari hutan belantara itu, dia akan merasa sakit kepala.
‘Ah! Kacau kalau begini!’ desis hatinya, khuatir. Dia risau juga jika terpaksa selama-lamanya bersembunyi di situ.
Anak muda itu berteleku di tangga. Dia terkenang-kenang wajah itu. Alis matanya yang sederhana, bibirnya yang mungil... dan lekuk dalam di pipinya... . Tidak dapat dilupakan bagaimana setitis air jernih jatuh di pipi yang merona kemerahan. Juga sinar mata yang tajam tatkala si gadis bertanya tentang tujuan kedatangannya ke daerah itu.
Entah mengapa, tidak timbul pula rasa marah di hatinya, atas perbuatan gadis bernama Siti Zulaikha itu. Sebaliknya, dia tidak tahu apakah perasaannya terhadap si gadis. Dia mula rasa keliru. Wajah yang hening itu sentiasa terbayang-bayang di ruang mata.
‘Ah! Ini lagi kacau!’ Umar mengeluh sendirian.
Adakah dia telah jatuh cinta dengan hanya sekali pandang? Umar mengerut dahi. Bukan! Dia menggeleng sekilas. Rasanya, sejak pertama kali dia memandang gadis itu di takungan, dia sudah merasa getaran jiwanya. Perasaan itu bertukar kagum tatkala melihat bagaimana si gadis menyimpan barang-barang di dapur dan membungkus bekalan. Dia kagum dengan ketelitian yang ada pada setiap kerja gadis itu.
Namun, perasaan-perasaan yang hinggap itu terbang bertempiaran tatkala dia menelan ubi yang masin pekak tempohari, juga ketika melihat Haji Salleh yang terkulai gara-gara terminum air kopi yang dimasukkan sesuatu yang beracun itu.
Dari tindakbalas Siti Zulaikha kelmarin, dia yakin benar yang gadis itu memang berniat mahu menduganya. Namun, orang lain pula yang merasa padahnya!
Dia yang asalnya marah dengan tindakan Siti Zulaikha, cair perasaannya tatkala mendengar suara sergah si gadis yang bergenang matanya, “Siapa awak?!”  Kala itu sedarlah dia, apa tujuan sebenar gadis itu. 
Rupa-rupanya, Siti Zulaikha hanya mempertahankan ayahnya!
Umar menggigit bibir. Sedarlah dia, sesiapapun akan curiga dengan kehadirannya. Hanya Haji Salleh sahaja yang tidak pernah sangsi padanya.
“BOLEH EMAK TANYA?”
Siti Zulaikha tunduk. Dia tahu, lambat laun rahsianya akan bocor juga. Namun, dia sudah menyediakan alasannya yang tersendiri.
“Kata Doktor, ayah termakan julap, sebab itu dia buang air tanpa henti,” beritahu Hajah Rokiah, lembut.
Gadis itu membulatkan matanya serta-merta. Pipinya yang kemerahan tiba-tiba pucat lesi. Sedarlah dia, rahsia itu bukanlah rahsia lagi!
Alahai… . Bagaimana ayah boleh terminum kopi itu, sedangkan selama ini ayah memang menolak kopi atas alasan  menjaga tubuh badan!’ gadis itu membebel di dalam hatinya yang kelat seperti putik ciku.
Tempohari, ayahnyalah yang beria meminta dia menyediakan bekalan air untuk Umar. Ayahnya sendiri sudah lama tidak minum air berperasa. Sekadar meneguk air hidup. Katanya, dia mahu mengenal rasa manisnya air yang belum bercampur.
Sebab itulah dia tidak pernah menjangka yang air kopi itu akan dihirup ayahnya! Apa yang lebih menghairankan, anak muda itu tidak pula sakit perut seperti ayahnya. Mungkinkah dia langsung tidak menyentuh air itu? Adakah dia sudah dapat menjangka ada sesuatu di dalam bekas air itu?
“Mak rasa, kamu tahu sesuatu,” ucap ibunya tanpa disangka-sangka. “Boleh kongsikan dengan mak... ?”
Wanita lebih separuh abad itu bertanya dengan nada lembut. Tunak matanya meneliti wajah anak gadisnya yang pucat tak berdarah.
Gadis itu menarik nafas dalam. Dia tidak akan berdalih, kerana dia sedar apa yang dibuatnya. Dengan nada tenang, dia berkata, “Zulaikha masukkan julap dalam bekas air kopi. Sebelum ini juga, Zulaikha masukkan garam dalam kelapa parut bekalan. Kedua-duanya untuk Umar.”
Hajah Rokiah serta merta tersandar ke kerusi. Sungguh tidak disangka anak gadisnya sanggup bertindak senakal itu. Dia sungguh-sungguh tidak percaya Siti Zulaikha yang sudah menjadi guru di sekolah menengah itu tergamak melakukan perkara seaneh itu, walaupun selama ini dia tahu anaknya memang berbeza dibandingkan dengan gadis lain yang seusia dengannya!
“Tentu Zulaikha ada alasan mengapa perkara itu harus juga Zulaikha lakukan...,” duga Hajah Rokiah, cuba bersangka baik, walaupun dadanya mula terasa sesak. Lebih baik tidak membuat kesimpulan sebelum mendengar penerangan dari anaknya.
“Zulaikha menghantar amaran padanya, bahawa dia tidak boleh bersenang-lenang dan menyangka tiada siapa yang memerhatikannya. Ayah masih ada banyak mata dan telinga di sini, yang akan bertindak jika Umar berani membuat onar!” balas gadis itu, dengan suaranya yang bergetar. Getarnya bukan kerana takut, tapi kerana dadanya berombak menahan geram... .
Hajah Rokiah menggeleng lemah. Pusing kepalanya dengan akal anaknya yang seorang ini. Walaupun niatnya baik, namun dia tidak menghiraukan kesan di sebalik tindakannya.
“Nampaknya, kita harus cari Umar, dan minta maaf padanya. Kalau dia tiada kelmarin, tak tahulah apa yang akan jadi pada ayah kamu.” Hajah Rokiah menutup bicaranya dengan satu kata putus yang kuat. Tiada gunanya dimarahi gadis yang sudah berakal itu. Padanya, lebih baik diredakan perang dingin antara dua anak muda itu.
UMAR MEMERUN saki baki kayu. Kayu yang lebih besar dikapaknya lalu disusun di atas pelenggar yang dibinanya hampir dengan ampaian. Biar kayu-kayu itu kering supaya mudah dijadikan kayu api nanti.
Api yang marak kini meratah-ratah ranting kecil yang telah kering. Kawasan di sekitar pondok, juga di bawah pokok durian itu, kini cerah, membuatkan pandangan mata boleh telus ke dalam hingga melebihi satu ekar jaraknya.
Keringat dingin membasahi tubuhnya yang berulas kasar. Rambutnya yang kini tumbuh liar kerana tidak sempat digunting, diikatnya dengan gelang getah. Terasa peluh renek mengalir di antara rerambut hingga ke dahinya.
Matahari kini tinggi di atas kening. Umar tersenyum puas sambil menyeka peluh. Masih ada dua ekar lagi yang harus dibersihkannya. Rasanya, mungkin ianya akan siap dalam tempoh dua minggu lagi.
Tanah kosong hampir dengan pondok, akan digemburnya menggunakan cangkul dan tulang empat keratnya yang masih muda. Tatkala dia menghantar Haji Salleh pulang tempohari, matanya sempat meninjau pokok-pokok ubi kayu liar di sisi jalan mengunjur ke Kampung Teluk. Jika dia berkesempatan nanti, dia mahu meminjam motosikal jiran Haji Salleh lalu pergi ke sana untuk menetak batang ubi kayu. Ubi kayu itu boleh ditanam di tanah yang subur ini lalu boleh dikutip hasilnya. Cabai kering yang banyak di dalam botol di dapur, boleh juga diasingkan benihnya lalu ditanam. Dia juga masih ingat ada hutan pisang sebelum sampai ke kebun getah. Boleh juga dikorek anaknya lalu ditanam di tanah ini. Banyak lagi yang boleh ditanam jika dia dapat mencari benihnya. Umar tersenyum mengenangkan jagung manis yang cepat hasilnya.
Hanya itu sahaja yang boleh dibuatnya bagi membantu Haji Salleh. Memandangkan dia tidak dapat keluar ke mana-mana sehingga entah bila, itulah yang boleh dibuatnya untuk menggantikan layanan dan makan percumanya di situ selama ini.
Anak muda itu berlabuh di bilah  tangga paling bawah. Matanya menyelak di antara dedaun durian yang merimbun. Buah-buah durian kini sudah cukup besar. Rasanya, tidak lama lagi, gugurlah buah-buahnya yang masak. Dengan kebun seluas tiga ekar ini, mungkin secara puratanya Haji Salleh boleh mendapat seraga besar durian sehari.
Berkeritik bunyi api marak yang memamah saki baki kayu itu, menyapa telinganya. Dalam irama yang sekata itu, anak muda itu menangkap suara orang bercakap-cakap. Matanya pantas mencelah semak samun di sempadan.
‘Siapa pula yang berborak  itu? Haji Salleh selalunya tiba dengan senyap!’
Namun, pertanyaannya terjawab tidak lama kemudian, apabila matanya menangkap kelibat beberapa orang wanita dan lelaki di celah-celah hutan itu. Matanya tunak memandang, sedangkan otaknya keras berfikir.
‘Ah! Apa pula kali ini?’ hatinya berdesis. Cuba menjangka apa yang akan menimpanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.