Sunday, 5 March 2017

BAB 13~ CINTAKAH ITU?

         

Suasana sunyi bertukar riuh. Mereka yang datang bersama Haji Salleh, terpegun melihat kawasan dusun yang bersih dan ranting-ranting yang terbakar. Ada yang mengendong bekalan dan ada yang mengalas parang. Seperti mahu berkenduri pula lagaknya.

Umar kenal mereka semua. Dua orang pasangan suami isteri penoreh yang meminjamkan motosikal tempohari, wanita tua isteri Haji Salleh, dan gadis bernama Siti Zulaikha yang terperosok di celah-celah mereka. Hari ini, wajah Siti Zulaikha nampak jernih, jauh berbeza dari sewaktu mereka bertemu pandang beberapa hari lalu.
Ah! Sempat pula dia membedah wajah gadis itu!
Umar menyembunyikan senyumannya. Walaupun hatinya sedikit gemuruh. Haji Salleh yang sudah pulih datang mendekatinya lalu memegang bahunya.
“Umar... terima kasih...,” ucap lelaki itu, lalu memandangnya dengan pandangan penuh kasih seorang ayah. Wajah orang tua itu sebak nampaknya. Bahu anak muda itu dipeluknya kejap sebelum dilepaskannya. Kemudian, dia menepuk-nepuk lagi bahu tegap anak muda itu. Tidak terkeluar kata-kata yang bagai mahu dicetus dari hujung lidah tuanya, dek kerana terlalu terharu dengan keikhlasan anak muda itu tempohari!
Tengahari itu mereka berkelah di hadapan pondok merapati tangga. Matahari terik tengahari mencuri-curi menyuluh habanya ke atas tikar mengkuang yang dihampar lebar. Mujurlah ada bebayang dari atap pondok dan dahan mengunjur dari pokok durian yang paling hampir.
Anak muda itu mencubit telur goreng dituang sambal, lalu digaul dengan nasi berkuah gulai ikan yang semerbak wanginya. Kala itu dia memanjatkan rasa syukur kerana perutnya yang berkeroncong kini terisi. Wangi aroma nasi berbungkus daun pisang yang dipotong lebar itu menyerbak di hidungnya.
“Makan banyak-banyak, Umar. Biar kembali tenaga kamu...,” tegur Hajah Rokiah lalu menyenduk nasi putih ke hamparan daun pisang yang mulai surut nasinya. Dituangnya pula kuah gulai sehingga melimpah lalu dicedoknya udang goreng kunyit ke atas timbunan nasi Umar.
Umar tidak sempat menolaknya. Rasa segan tiba-tiba menjalar di hatinya, tatkala mendapat layanan sebegitu mesra dari wanita itu. Dia sempat mengerling wajah gadis di hadapannya, yang sedang menyuap nasi perlahan-lahan sambil tunduk bersimpuh manis. Rasa tidak layak sahaja dia dilayan sedemikian selepas mengetahui yang gadis itu tidak selesa dengan kehadirannya.
“Makan, Umar...  Bila lagi hendak rasa masakan anak dara... .” terdengar satu suara lagi dalam nada mengusik.
Kak Zanariah, jiran Haji Salleh yang membantu tempohari memang becok mulutnya. Dia nampaknya berkenan sangat dengan anak muda yang tidak banyak berbicara itu. Sewaktu dia tiba awal tadi, melangit pujiannya pada Umar tatkala melihat dusun itu sudah cerah dibersihkan.
Siti Zulaikha tunduk lagi. Pipinya nampak kemerahan lagi. Malu sungguh nampaknya gadis itu bila namanya dikait sama.
SITI ZULAIKHA MENGHAYUN langkah selaju mungkin ke ampaian. Kain-kain kering di ampaian diangkatnya. Suasana kini sunyi semula. Ibunya, Hajah Rokiah, sedang berbaring di pondok untuk melepaskan lelah setelah sepagi meredah hutan sambil menggendong bekalan. Ayahnya masih berwirid di tikar sembahyang.
Hening sungguh suasana petang itu. Selepas berkemas-kemas dan menyimpan lebihan juadah di dapur, dia bersolat zohor. Melihat ibunya berbaring kemudiannya di tengah pondok, gadis itu berasa ingin ikut serta. Namun, dia malu juga kerana persekitaran yang agak terdedah itu, khuatir diperhatikan mata-mata yang tidak diundang.
Selepas makan tadi, dia tidak nampak kelibat anak muda itu di mana-mana. Mungkin Umar juga segan seperti dirinya lalu pergi berehat di tempat lain.
Siti Zulaikha masih ingat kejadian di hospital tempohari. Entah mengapa Umar tiba-tiba sahaja pergi dalam keadaan kesakitan yang tidak tertanggung. Dia menarik nafas dalam. Sesak sungguh dadanya setiap kali mengingati anak muda yang misteri itu.
“Assalamulaikum...,” satu suara menegur dari belakang. Terkejut dia. Siti Zulaikha serta merta menoleh. Terserlahlah di pandangan matanya, wajah anak muda itu yang memandangnya dengan bibir yang bergerak-gerak, seperti mahu mengatakan sesuatu yang amat sukar.
Siti Zulaikha cepat tunduk tatkala bertembung pandang dengan mata si pemuda yang menikam lubuk hatinya. Dia merasakan pipinya berhaba. Sejak kejadian tempohari, dia rasa malu pada Umar dan dirinya sendiri. Serta-merta bibirnya digigit lembut, tidak tahu apa yang harus dikatakan.
“Saya...,” kata-kata itu tidak dihabiskan. Anak muda itu gugup tiba-tiba. Entah mengapa, dia sentiasa bertindak pantas tatkala menghadapi mara bahaya. Tetapi bila menghadapi seorang gadis... dia kalah!
Gadis itu memanggung kepalanya, menunggu kata-kata seterusnya dari mulut anak muda itu. Tatkala itu terbit senyuman malu di sebalik wajahnya. Senyuman yang semekar mawar merah yang sedang berkembang di pandangan mata si teruna!
Umar meneguk liur. Sambil menetapkan hatinya, dia menutur kata satu-persatu, “Saya tahu saya tidak seharusnya berada di sini. Tapi, demi Allah... saya tidak berniat jahat.”
Siti Zulaikha menguntum senyum walaupun pandangan matanya masih jatuh ke tanah. Dia mengangguk teragak-agak sebelum membalas, “Saya...,” terhenti seketika. Dia menarik nafas dalam, seolah-olah mahu membina keyakinan pada dirinya, “Saya minta maaf kerana berburuk sangka pada awak.”
Umar mencuri pandang wajah Siti Zulaikha. Seperti tidak puas rasanya memandang, namun dia sedar dirinya tidak berhak. Apa yang penting sekarang, dirinya diterima di kalangan mereka. Itulah perkara pertama yang harus dijaganya bersungguh-sungguh. Kepercayaan mereka padanya!
Gadis itu berpaling kembali, lalu mengatur langkah lincah ke anak tangga. Tidak senang berduaan begitu. Ajaran orang tuanya, supaya dia menjaga maruah dirinya, tetap tersemat kuat diingatannya.
ANAK MUDA ITU MENYILANG KEDUA belah tangannya, lalu dijadikan bantal kepalanya. Senang sungguh merenung langit berbintang di kala hati didakap rasa cinta yang memutik.
Ah! Memang benarlah dia sudah jatuh cinta!
Namun, rasa cinta itulah yang membuatkan dia terlempar di luar sepanjang malam itu. Si dia yang menyeri taman hatinya ada di dalam pondok bersama dua orang tuanya. Dek kerana pondok itu tidak berbilik, Umar mengambil keputusan untuk tidur di atas pelenggar yang dibinanya berhampiran dengan ampaian. Maka berembunlah anak muda itu malam ini... .
Tidak sanggup rasanya berada sama di atas sana. Dia tahu kemampuan dirinya. Khuatir sungguh dia kalau pandangannya nanti tidak mahu tunduk dari memandang Siti Zulaikha yang serba indah di mata. Tatkala gadis itu turun untuk mencuci diri, Umar beredar jauh ke hujung sempadan sana. Dia masih sedar batasnya sebagai muslim yang menghormati hak peribadi gadis itu.
Dek keletihan yang amat sangat, Hajah Rokiah berhasrat untuk bermalam di situ sahaja. Lewat pagi keesokan harinya, barulah dia akan pulang bersama suami dan anaknya.
“Umar... marilah naik, nak... . Tak elok berembun...,” panggil Hajah Rokiah dengan lembut dari celah pintu. Anak muda itu terkejut lalu bingkas bangun.
“Tak apa, Mak Haji... . Saya selesa di sini... .” Hanya itu sahaja alasan yang keluar dari mulutnya. Hajah Rokiah sempat mengorak senyum tatkala mendengar jawapan itu.
“Marilah... tak apa... . Semuanya mak cik sudah siapkan,” ujar Hajah Rokiah lagi, bersungguh-sungguh memujuk.
Umar rasa segan. Dia tersenyum sekilas. Tidak dapat dibayangkannya apa maksud wanita itu. Entah apa yang sudah disiapkan itu? Masih dihujani persoalan, dia menapak bilah-bilah anak tangga. Namun pandangan matanya ditunduknya.
Tatkala dia sampai ke atas pondok, sedarlah dia yang wanita itu telah mengikat kain rentang yang menutup sebahagian dalam pondok bermula dari tiang tengah, supaya tertutup dari pandangan luar. Siti Zulaikha tidak kelihatan. Sambil menarik nafas kelegaan, dia menapak perlahan lalu membaringkan badannya di sudut hadapan berhampiran dengan ruang solat. Sebiji bantal gebu dan kain selimut telah tersedia di situ.
“Tidurlah... kamu tentu penat,” sapa Haji Salleh yang masih lekat di tikar sembahyang.
MASA ITU BERLALU dengan pantas. Sedarlah Umar, sudah empat bulan dia berada di situ. Jagung yang ditanamnya di tanah seluas setengah ekar yang dipugarnya di sempadan, kini sudah montok isinya, menunggu masa untuk dipetik. Pokok ubi kayu berdaun lebat. Setiap hujung minggu, dia akan memetiknya lalu diberinya pada Abang Daud, suami Kak Zanariah. Pucuk ubi kayu laku benar di pekan.  Ada juga sebaris pokok ubi kayu yang dibiarkan pucuknya tanpa dipetik. Tujuannya supaya ubinya cukup besar dan padat isinya. Itu adalah untuk bekalannya, supaya tidak terlalu berharap pada beras yang dibawa Haji Salleh.
Pokok-pokok pisang abu yang ditanamnya juga kini sudah cukup tinggi dan hijau daunnya. Dia berharap agar jantungnya akan menjenguk keluar tidak lama lagi.
Beberapa bulan berada di situ, anak muda itu sudah mula mengenali kawasan hutan belantara di sekitar. Dia tahu ada mata air yang memencar dari kawasan berbatu yang lebih tinggi dari daerah dusun itu. Dia juga tahu arah ke baruh, di mana letaknya kolam tempat singgahnya aliran air itu, sebelum ia menyerap ke dalam tanah lalu keluar lagi entah di sungai mana. Di kolam itulah dia sesekali memasang taut untuk memancing ikan air tawar. Hendak menjala, jalanya belum ada.
Ada hutan buluh hampir dengan dusun itu. Diam-diam dia merancang untuk membina pelenggar berbumbung supaya mudah baginya untuk berbaring di petang hari.
Walaupun sesekali dia rindukan kehidupan lamanya, namun anak muda itu berasa lebih tenang berada di situ. Kalau boleh, biarlah majikan lamanya menganggap dia sudah mati, hilang, lari ke luar negara, atau apa-apa sahaja!
Rumah banglo yang telah ditinggalkannya, langsung tidak dijengahnya. Wang simpanan di bank juga tidak pernah diganggunya. Dia tahu, setiap pergerakannya di dunia yang penuh teknologi akan mudah dikesan. ‘Biarlah dahulu...,’ pujuk hatinya. ‘Jika ada rezeki, tak ke mana....’
Sewaktu dia duduk berehat di pelenggar kala petang yang damai itu, Haji Salleh menyapanya lalu berlabuh di sebelahnya. Matanya tunak memandang kebun jagung yang sudah sedia dituai hasilnya.
“Bagus juga hasilnya,” tegur orang tua itu, tenang. “Kalau kamu berniat lama di sini, buka lagilah sebanyak mana tanah yang kamu mahu. Perlahan-lahan nanti, kamu ambillah geran.”
Umar mengangguk sambil tersenyum. Tidak tahu apa kata yang sesuai untuk menyambut pujian orang tua itu. Itulah satu-satunya kemahiran yang belum sempat dikuasainya. Kemahiran menerima pujian dan menyambut kata-kata orang. Dia memang berat mulut, namun mujurlah tidak pula berat tulang!
Masing-masing terdiam seketika. Umar berasa sedikit curiga dengan sikap Haji Salleh petang itu. Orang tua itu jarang sekali berbicara atau sengaja mendekatinya jika tiada apa-apa hal. Perbualannya selama ini dengan orang tua itu adalah kerana mahu menimba ilmu dan pengalaman hidup. Sejak kebelakangan ini, dia belajar membetulkan gerakan solat, berwudhuk agar sempurna dan cara mengawal hati dan fikiran dari orang tua itu. Empat bulan di situ, banyak sungguh pelajaran kehidupan yang baru didalaminya.
Berada di dalam keadaan jatuh sebegitu, dia telah belajar untuk melembutkan hatinya lalu menerima apa sahaja teguran.
“Sudah lama pak cik perhatikan kamu... Umar,” ucap orang tua itu, tenang. Matanya dilontar jauh ke batas jagung yang memanjang.
Anak muda itu tersentak, namun disembunyikan rasa itu. Dia memasang telinga, menunggu kata-kata selanjutnya dari orang tua itu. Rambutnya yang kini panjang melebihi bahu diikatnya dengan getah supaya tidak liar mengganggu kerja sehariannya.
“Apa masalah kamu sebenarnya?” dia mula menyusun soalan. “Pak cik tak nampak pun... kamu macam orang jahat seperti yang kamu pernah katakan dulu... .”
Umar tersenyum kelat. Ah... memang dia bukan orang jahat. Tetapi, kerja yang pernah dilakukannya sebelum ini amat jahat!
“Kalau Pak Haji dengar ‘sejarah’ hidup saya, sudah lama Pak Haji buang saya.  Saya tidak layak dilayan sebaik ini,” lontar anak muda itu, payah. Seperti ada batu di lubang tenggoroknya.
“Tapi, namanya pun sejarah...,” komen Haji Salleh, lanjut, seperti sudah menerima seadanya. “Pak cik hendak tahu supaya dapat bantu kamu selesaikan masalah.”
Wajah orang tua itu terpancar kelegaan. Seperti lepas sudah segala yang terbuku di lubuk hatinya selama ini.
Umar mengangguk sekilas sambil melepaskan keluhan kecil. Tangannya meraba parut halus di pipinya. Masih terasa peritnya, hingga menjalar ke hati.
Berat rasanya hendak meluahkan segala yang buruk-buruk itu, namun wajah ikhlas Haji Salleh menarik-narik hatinya untuk memuntahkan segalanya. Perlahan-lahan, nafasnya ditarik sedalam-dalamnya. ‘Cerita yang panjang memerlukan hati yang kuat,’ desis hatinya, pasrah.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.