Sunday, 5 March 2017

BAB 14~ SEJARAH YANG DILONTAR


Enam tahun yang lalu... .

Anak muda itu menolak pintu makmal kajian Fizik. Hatinya tertanya-tanya, mengapa pensyarahnya mahu bertemu dengannya. Professor Azhar memang selama ini amat baik dengannya, tapi kerana dia rajin dan cemerlang. Namun, kali ini, caranya nampak berbeza.

Kamu datang sendirian ke makmal, ok!
Masih terngiang kata-kata itu di gegendang telinganya. Dia mempercepatkan langkahnya yang ringan. Kawasan makmal yang penuh dengan peralatan itu diseluruhinya dengan matanya yang teliti.
“Hah Umar! Mari sini!” suara Professor Azhar memecah kesunyian. Dia yang duduk di meja paling hadapan menggamit anak muda itu.
Umar menukar arah, lalu berjalan ke meja hadapan. Matanya lekat pada papan hijau yang boleh dipindah naik turun itu. Ada beberapa formula Fizik dan gambarajah radas yang dilakar dengan kapur pelbagai warna di situ.
Wajah pensyarah berbadan besar itu ceria. Umar dipanggilnya duduk di kerusi bersebelahan dengannya. Bahu tegap anak muda itu ditepuk beberapa kali. Tergamam anak muda itu melihat kemesraan pengajarnya itu.
“Kamu mahu kerja? Upahnya lumayan...,” ucap professor berumur awal empat puluhan itu, tatkala Umar melabuh punggungnya di kerusi tak bersandar itu.
Umar termenung sejenak. Perkataan ‘upah lumayan’ itu sedikit sebanyak menarik hatinya untuk terus tahu apakah kerja yang ditawarkan. Lalu, berhati-hati dia menjawab, “Tengok dahulu apa tugasnya. Jika bersesuaian... apa salahnya!”
Professor Azhar mengangguk-angguk. Dengan tenang, dia mengambil sekeping kertas dan pen, seperti mahu melakarkan sesuatu.
“Saya dan dua orang sahabat saya sedang buat kajian. Belum siap pun. Tetapi kajian kami ini amat baru dan berinovasi,” cerita Professor Azhar dengan penuh keyakinan.
Umar mengangkat keningnya. Wajahnya mula cerah. Cerita itu berjaya menarik minatnya.
“Ada satu syarikat dari luar negara yang berminat dengan teknologi baru ini. Mereka mahu bekerjasama dengan kami bertiga.”
Umar mengangguk kecil, walaupun belum nampak perkaitan antara dirinya dengan cerita pensyarahnya itu.
“Hasil penemuan ini memang sangat hebat,” ujar lelaki itu lagi, yakin dan positif sekali.
Mengangguk lagi anak muda itu. Di dalam hatinya, dia mula merasakan yang professor fizik itu semakin lambat ke tujuan asalnya.
“Kami bertiga sedang mencari beberapa orang yang kuat, untuk meneruskan tugas yang diperlukan.”
“Tugas?” Umar bertanya kembali. Melonjak hatinya serta merta, ingin memahami maksud Professor Azhar.
“Menggunakan teknologi baru ini, kami perlukan beberapa orang untuk menjalankan kerja-kerja menyiasat,” suara Professor Azhar semakin perlahan, seperti berbisik sahaja. “Imbuhannya, gaji kamu setiap bulan, lima ribu ringgit. Kalau siap tugas, kamu akan diberi komisyen sepuluh peratus dari keuntungan... .”
Umar menarik nafas dalam. Kerja menyiasat? Apa pula yang hendak disiasat? Layakkah dia? Baik atau burukkah tugasan itu nanti?
Namun, angka lima ribu yang baru didengarnya membuatkan matanya rambang.  Argh...!
“Layakkah saya, saya belum habis belajar?” dia bertanya kembali.
Professor Azhar cepat menggeleng kepalanya. Dengan wajah yakin, dia berkata, “Tak perlukan ijazah untuk kerja ini. Kamu boleh bekerja dan belajar hingga selesai. Apa yang penting, kami mahu pemuda yang kuat tubuh badan, bijak belajar dan pantas membuat keputusan!”  Dia terhenti seketika untuk melihat reaksi anak muda itu. “Oh ya! Satu lagi, ada asas Fizik dan kejuruteraan!”
“Mampukah saya melakukannya? Semua itu bukan sahaja perlukan kemahiran. Rasa saya, peralatan canggih juga perlu,” tingkah anak muda itu, masih belum faham.
“Sebab itulah, teknologi kami ini amat berguna. Kamu akan dilatih menggunakannya nanti!”
Umar terdiam. Tawaran mahal itu terasa banyak lompangnya. Banyak yang dia rasa ingin tahu sebelum menerima tawaran itu. Tapi, hatinya sudah terpaut pada angka lima ribu itu, dan komisyen yang bakal dikumpulkan nanti! Lagipun, Professor Azhar baik dan amat dihormatinya.
“Percayalah, ‘peminat sains dan teknologi’ seperti kamu tentu tidak akan berasa rugi menyertai kami.”
Umar mengangguk sekilas, namun masih banyak persoalan di benaknya. Dia kembali bertanya, “Prof sudah tanyakan pada pelajar lain?”
“Umar... kamu dengarkan tadi, apa nama kerja yang ditawarkan?” tanya lelaki gempal itu kembali, seperti tidak percaya yang Umar tidak dapat menangkap maksudnya.
Umar mengangguk teragak-agak.
“Saya hanya mahu kamu. Saya yang cari kamu! Saya tak mahu orang lain. Hanya kamu yang ada ciri-ciri yang saya perlukan!” ujarnya, seolah-olah tidak memberi pilihan pada anak muda itu untuk menolak lagi.
“Ini adalah tugas rahsia. Orang lain tak boleh tahu.”
Buntang mata anak muda itu. Dia meneguk air liur. Tidak disangkanya dia akan mendengar kata-kata ‘saya hanya mahu kamu’!
“Kalau kamu menolaknya hari ini, saya terpaksa hantar kamu ke tempat lain, mungkin bertukar jauh dari sini. Kamu sudah tahu rahsia ini, walaupun sedikit... .”
“Tapi Prof., saya harus menilai baik buruk tugas ini,” balas Umar lagi, sedikit gusar.
“Jangan risau, kita sedang membantu pihak yang benar!”
Itulah bibit permulaanya, bagaimana dia boleh terjebak di dalam tugas penuh rahsia itu. Umar mengeluh tatkala bercerita pada Haji Salleh.
TUGAS MENYIASAT yang dikatakan itu rupa-rupanya adalah tugas perisikan. Identiti setiap petugas adalah rahsia. Sehari berada di situ, tahulah Umar, mereka yang bekerja itu datang dari pelbagai bidang dan ada yang sudah bekerja di sektor tertentu. Pertama kali tiba di bangunan agam itu, dia dibawa Professor Azhar berjumpa Suhail, pengurus mereka, seorang lelaki berbangsa campuran Melayu Inggeris. Suhail juga pekerja seperti mereka yang lain. Namun, hanya dialah yang tahu semua selok-belok tugas, dan kenal semua pekerja.
“Siapa nama kamu?” tanya Suhail dengan suaranya yang kedengaran keluar berangin di hidungnya yang mancung. Umar yang sedang berdiri tidak dipelawanya duduk. Malahan dia turut berdiri dan berjalan mundar-mandir di keliling anak muda itu sambil meneliti kad pengenalannya. Sesekali ditepuk-tepuknya bahu tegap anak muda itu. Jelas terpancar rasa kagum di wajah lelaki berdarah campuran itu tatkala menepuk-nepuk otot badan Umar yang berulas kasar.
“Muhammad Umar Raqib Bin Haji Ahmad Dasuki!” balas Umar, lengkap.
“Wah! Panjangnya!” dia sempat memberi komen. Umar tersenyum sumbing. Ayat sebegitu memang sudah lali di telinganya.
“Untuk pekerjaan ini, kamu akan diberi kad pengenalan lain, dengan nama yang lain...,” ujar lelaki berkulit putih kemerahan itu, lancar.
Anak muda itu mengerutkan keningnya, namun sedikit sahaja. Perkara itu belum pernah didengarnya dari Professor Azhar. Mungkin pensyarahnya itu juga tidak tahu menahu tentang hal ini.
“Apa nama yang kamu suka?” tiba-tiba lelaki itu bertanya.
Umar tercengang melihat telatah Suhail yang masih meneliti namanya di kad pengenalan. “Let’s see... kita pendekkan nama kamu yang panjang ini- Muhamaad Umar Raqib Ahmad Dasuki, hm...,” berfikir lagi dia. “M.U.R.A.D... ya, nama itu sedap untuk kamu. Singkatan dari nama penuh kamu!”
Murad?’ anak muda itu bermonolog. Wah! Namanya seperti nama orang lama!
“Oh ya... saya perlu seorang lagi seperti kamu.  Ada sesiapa sebagus kamu... yang kamu kenal rapat dan mahu bekerja?” tiba-tiba Suhail bertanya sambil mengerutkan keningnya yang tebal.
Anak muda itu terdiam seketika. Siapa? Dan... mengapa pula Suhail terlalu percayakannya? Wajah Professor Azhar ditenungnya seketika, seperti meminta pendapat lelaki itu.
Dia sendiri tidak dapat mengagak. Namun, dia masih punya seorang sahabat yang sangat rapat dan bijak orangnya. Dia kenal sangat anak muda ini, sama-sama perlukan wang sepertinya dan bijak menyimpan rahsia.
“Ada, In shaa Allah...,” balas Umar, sambil saling berpandangan dengan Professor Azhar.
Ok, Murad, besok kamu bawa saya padanya!” putus Suhail tanpa bertangguh. “Kita akan buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.”
Hari itu dia telah menurunkan tandatangan sebagai ikrar janji setia dengan syarikat perisikan itu. Surat itu amat rahsia dengan persyaratan yang amat ketat. Dia kemudiannya dibawa berjumpa Doktor Pang, untuk membuat pemeriksaan seluruh tubuh.
Anak muda itu bernafas kuat. Sedarlah dia, tugasnya bukanlah sesuatu yang boleh diambil lewa. Dari hujung matanya, dia dapat melihat, petugas di situ ramai sebenarnya, walaupun mereka tidak bekerja di satu tempat pada masa yang sama. Doktor Pang sendiri adalah doktor tentera, yang memang bekerja dengan kerajaan. Namun, beliau juga bekerja dengan Suhail, seperti dia yang belajar sambil bekerja, dan Professor Azhar yang bekerja di universiti sambil membuat kajian untuk tugas perisikan ini.
Mata dan telinga untuk misi ini ramai, cuma mereka tidak kelihatan pada umum!
“Buka pakaian kamu,” suruh Doktor Pang, ketika dia masuk dalam bilik pemeriksaan.
Umar segera akur. Baju kemejanya ditanggalkan perlahan, lalu disangkut pada penyangkut yang tersedia di dinding. Anak muda itu berdiri tegak, lalu menarik nafas dalam sehingga berombak dadanya yang bidang.
“Maaf, buka semua sekali,” suara Doktor Pang menyedarkannya. “This is total inspection!” Doktor berbangsa Cina yang berwajah kering itu berkata tanpa apa-apa riak. Seolah-olah kerja itu sudah mangli padanya.
Apa?” Umar membeliakkan matanya. Sambil meneguk liur, dia mengerling ke sekitar dan sempat merungut, ‘Ah! Kacau...!
SETIAP PETANG MENGIKUTI latihan di situ, Umar rasa dia bersendirian. Professor Azhar tidak lagi ditemuinya di situ. Dia hanya nampak pensyarah itu di dalam kelas di universiti. Memahami tugasnya adalah rahsia, dia tidak pernah cuba berbincang dengan pensyarahnya itu secara terbuka.
Sebelum tiba ke sesi ini, mereka perlu melalui ujian ketahanan fizikal selama dua bulan. Umar dan beberapa anak muda sebaya dengannya disuruh berlari jarak jauh dan diukur degupan jantung. Oleh kerana dia sudah biasa berlari, dia mendapat tempat terbaik di antara lapan peserta. Mereka juga dilatih berenang, menyelam dan pelbagai lagi. Di dalam kebanyakan ujian, Umar telah berjaya mendapat tempat pertama.
Mereka kemudiannya diberi latihan penyesuian diri ala-ala tentera dengan kawasan udara, air, darat dan paya. Setiap latihan itu amat menguji ketahanan fizikal dan mentalnya, namun Umar dapat melaluinya setiap kali dengan cemerlang.
Dalam diam, anak muda itu rasa teruja. Tugas itu dirasakan mencabar kemampuan mudanya. Dia yang memang sukakan aktiviti lasak dan berani, merasa dihargai tatkala mempelajari semua kemahiran itu.
Petang itu, pulang dari latihan, Suhail memberinya satu kad pengenalan baru. Umar serta-merta meneliti nama yang terpapar di atas kad itu. Ternyata, namanya telah ditukar kepada ‘Murad Bin Abdullah’, begitu juga alamat serta butir-butir lain.
“Sewaktu bertugas, kamu harus lupakan identiti asal kamu. Simpan kad pengenalan asal kami dalam peti besi!” tegas arahan dari Suhail. “Kamu Murad Abdullah, seorang dispatch berumur dua puluh tujuh tahun yang berasal dari Melaka. Kamu mesti kenal betul-betul Murad Abdullah itu dan apa bidang tugasnya!”
‘Seorang dispatch? Berusia lebih tua pula?’ Anak muda itu mengangguk-angguk kelat. Pastilah dia, selepas ini tentu tugasnya banyak merisik data di pejabat-pejabat yang bakal dimasukinya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.