Enam tahun
yang lalu... .
Anak muda itu menolak pintu makmal kajian Fizik. Hatinya tertanya-tanya, mengapa pensyarahnya mahu bertemu dengannya. Professor Azhar memang selama ini amat baik dengannya, tapi kerana dia rajin dan cemerlang. Namun, kali ini, caranya nampak berbeza.
‘Kamu datang sendirian ke makmal, ok!’
Masih terngiang
kata-kata itu di gegendang telinganya. Dia mempercepatkan langkahnya yang
ringan. Kawasan makmal yang penuh dengan peralatan itu diseluruhinya dengan
matanya yang teliti.
“Hah Umar! Mari sini!”
suara Professor Azhar memecah kesunyian. Dia yang duduk di meja paling hadapan
menggamit anak muda itu.
Umar menukar arah,
lalu berjalan ke meja hadapan. Matanya lekat pada papan hijau yang boleh
dipindah naik turun itu. Ada beberapa formula Fizik dan gambarajah radas yang
dilakar dengan kapur pelbagai warna di situ.
Wajah pensyarah
berbadan besar itu ceria. Umar dipanggilnya duduk di kerusi bersebelahan dengannya.
Bahu tegap anak muda itu ditepuk beberapa kali. Tergamam anak muda itu melihat
kemesraan pengajarnya itu.
“Kamu mahu kerja?
Upahnya lumayan...,” ucap professor berumur awal empat puluhan itu, tatkala
Umar melabuh punggungnya di kerusi tak bersandar itu.
Umar termenung
sejenak. Perkataan ‘upah lumayan’ itu sedikit sebanyak menarik hatinya untuk
terus tahu apakah kerja yang ditawarkan. Lalu, berhati-hati dia menjawab,
“Tengok dahulu apa tugasnya. Jika bersesuaian... apa salahnya!”
Professor Azhar mengangguk-angguk.
Dengan tenang, dia mengambil sekeping kertas dan pen, seperti mahu melakarkan
sesuatu.
“Saya dan dua orang
sahabat saya sedang buat kajian. Belum siap pun. Tetapi kajian kami ini amat
baru dan berinovasi,” cerita Professor Azhar dengan penuh keyakinan.
Umar mengangkat
keningnya. Wajahnya mula cerah. Cerita itu berjaya menarik minatnya.
“Ada satu syarikat
dari luar negara yang berminat dengan teknologi baru ini. Mereka mahu
bekerjasama dengan kami bertiga.”
Umar mengangguk kecil,
walaupun belum nampak perkaitan antara dirinya dengan cerita pensyarahnya itu.
“Hasil penemuan ini
memang sangat hebat,” ujar lelaki itu lagi, yakin dan positif sekali.
Mengangguk lagi anak
muda itu. Di dalam hatinya, dia mula merasakan yang professor fizik itu semakin
lambat ke tujuan asalnya.
“Kami bertiga sedang
mencari beberapa orang yang kuat, untuk meneruskan tugas yang diperlukan.”
“Tugas?” Umar bertanya
kembali. Melonjak hatinya serta merta, ingin memahami maksud Professor Azhar.
“Menggunakan teknologi
baru ini, kami perlukan beberapa orang untuk menjalankan kerja-kerja
menyiasat,” suara Professor Azhar semakin perlahan, seperti berbisik sahaja.
“Imbuhannya, gaji kamu setiap bulan, lima ribu ringgit. Kalau siap tugas, kamu
akan diberi komisyen sepuluh peratus dari keuntungan... .”
Umar menarik nafas
dalam. Kerja menyiasat? Apa pula yang hendak disiasat? Layakkah dia? Baik atau
burukkah tugasan itu nanti?
Namun, angka lima ribu
yang baru didengarnya membuatkan matanya rambang. Argh...!
“Layakkah saya, saya
belum habis belajar?” dia bertanya kembali.
Professor Azhar cepat
menggeleng kepalanya. Dengan wajah yakin, dia berkata, “Tak perlukan ijazah
untuk kerja ini. Kamu boleh bekerja dan belajar hingga selesai. Apa yang
penting, kami mahu pemuda yang kuat tubuh badan, bijak belajar dan pantas
membuat keputusan!” Dia terhenti
seketika untuk melihat reaksi anak muda itu. “Oh ya! Satu lagi, ada asas Fizik
dan kejuruteraan!”
“Mampukah saya
melakukannya? Semua itu bukan sahaja perlukan kemahiran. Rasa saya, peralatan
canggih juga perlu,” tingkah anak muda itu, masih belum faham.
“Sebab itulah,
teknologi kami ini amat berguna. Kamu akan dilatih menggunakannya nanti!”
Umar terdiam. Tawaran
mahal itu terasa banyak lompangnya. Banyak yang dia rasa ingin tahu sebelum menerima
tawaran itu. Tapi, hatinya sudah terpaut pada angka lima ribu itu, dan komisyen
yang bakal dikumpulkan nanti! Lagipun, Professor Azhar baik dan amat
dihormatinya.
“Percayalah, ‘peminat
sains dan teknologi’ seperti kamu tentu tidak akan berasa rugi menyertai kami.”
Umar mengangguk
sekilas, namun masih banyak persoalan di benaknya. Dia kembali bertanya, “Prof
sudah tanyakan pada pelajar lain?”
“Umar... kamu dengarkan
tadi, apa nama kerja yang ditawarkan?” tanya lelaki gempal itu kembali, seperti
tidak percaya yang Umar tidak dapat menangkap maksudnya.
Umar mengangguk
teragak-agak.
“Saya hanya mahu kamu.
Saya yang cari kamu! Saya tak mahu orang lain. Hanya kamu yang ada ciri-ciri
yang saya perlukan!” ujarnya, seolah-olah tidak memberi pilihan pada anak muda
itu untuk menolak lagi.
“Ini adalah tugas
rahsia. Orang lain tak boleh tahu.”
Buntang mata anak muda
itu. Dia meneguk air liur. Tidak disangkanya dia akan mendengar kata-kata ‘saya
hanya mahu kamu’!
“Kalau kamu menolaknya
hari ini, saya terpaksa hantar kamu ke tempat lain, mungkin bertukar jauh dari
sini. Kamu sudah tahu rahsia ini, walaupun sedikit... .”
“Tapi Prof., saya
harus menilai baik buruk tugas ini,” balas Umar lagi, sedikit gusar.
“Jangan risau, kita
sedang membantu pihak yang benar!”
Itulah bibit permulaanya,
bagaimana dia boleh terjebak di dalam tugas penuh rahsia itu. Umar mengeluh
tatkala bercerita pada Haji Salleh.
TUGAS MENYIASAT yang dikatakan itu rupa-rupanya adalah tugas
perisikan. Identiti setiap petugas adalah rahsia. Sehari berada di situ,
tahulah Umar, mereka yang bekerja itu datang dari pelbagai bidang dan ada yang
sudah bekerja di sektor tertentu. Pertama kali tiba di bangunan agam itu, dia
dibawa Professor Azhar berjumpa Suhail, pengurus mereka, seorang lelaki
berbangsa campuran Melayu Inggeris. Suhail juga pekerja seperti mereka yang
lain. Namun, hanya dialah yang tahu semua selok-belok tugas, dan kenal semua
pekerja.
“Siapa nama kamu?”
tanya Suhail dengan suaranya yang kedengaran keluar berangin di hidungnya yang
mancung. Umar yang sedang berdiri tidak dipelawanya duduk. Malahan dia turut
berdiri dan berjalan mundar-mandir di keliling anak muda itu sambil meneliti
kad pengenalannya. Sesekali ditepuk-tepuknya bahu tegap anak muda itu. Jelas
terpancar rasa kagum di wajah lelaki berdarah campuran itu tatkala
menepuk-nepuk otot badan Umar yang berulas kasar.
“Muhammad Umar Raqib
Bin Haji Ahmad Dasuki!” balas Umar, lengkap.
“Wah! Panjangnya!” dia
sempat memberi komen. Umar tersenyum sumbing. Ayat sebegitu memang sudah lali
di telinganya.
“Untuk pekerjaan ini,
kamu akan diberi kad pengenalan lain, dengan nama yang lain...,” ujar lelaki
berkulit putih kemerahan itu, lancar.
Anak muda itu
mengerutkan keningnya, namun sedikit sahaja. Perkara itu belum pernah
didengarnya dari Professor Azhar. Mungkin pensyarahnya itu juga tidak tahu
menahu tentang hal ini.
“Apa nama yang kamu
suka?” tiba-tiba lelaki itu bertanya.
Umar tercengang
melihat telatah Suhail yang masih meneliti namanya di kad pengenalan. “Let’s see... kita pendekkan nama kamu
yang panjang ini- Muhamaad Umar Raqib Ahmad Dasuki, hm...,” berfikir lagi dia.
“M.U.R.A.D... ya, nama itu sedap untuk kamu. Singkatan dari nama penuh kamu!”
‘Murad?’ anak muda itu bermonolog. Wah! Namanya seperti nama orang
lama!
“Oh ya... saya perlu
seorang lagi seperti kamu. Ada sesiapa
sebagus kamu... yang kamu kenal rapat dan mahu bekerja?” tiba-tiba Suhail
bertanya sambil mengerutkan keningnya yang tebal.
Anak muda itu terdiam
seketika. Siapa? Dan... mengapa pula Suhail terlalu percayakannya? Wajah
Professor Azhar ditenungnya seketika, seperti meminta pendapat lelaki itu.
Dia sendiri tidak
dapat mengagak. Namun, dia masih punya seorang sahabat yang sangat rapat dan
bijak orangnya. Dia kenal sangat anak muda ini, sama-sama perlukan wang
sepertinya dan bijak menyimpan rahsia.
“Ada, In shaa
Allah...,” balas Umar, sambil saling berpandangan dengan Professor Azhar.
“Ok, Murad, besok kamu bawa saya padanya!” putus Suhail tanpa
bertangguh. “Kita akan buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.”
Hari itu dia telah
menurunkan tandatangan sebagai ikrar janji setia dengan syarikat perisikan itu.
Surat itu amat rahsia dengan persyaratan yang amat ketat. Dia kemudiannya
dibawa berjumpa Doktor Pang, untuk membuat pemeriksaan seluruh tubuh.
Anak muda itu bernafas
kuat. Sedarlah dia, tugasnya bukanlah sesuatu yang boleh diambil lewa. Dari
hujung matanya, dia dapat melihat, petugas di situ ramai sebenarnya, walaupun
mereka tidak bekerja di satu tempat pada masa yang sama. Doktor Pang sendiri
adalah doktor tentera, yang memang bekerja dengan kerajaan. Namun, beliau juga
bekerja dengan Suhail, seperti dia yang belajar sambil bekerja, dan Professor
Azhar yang bekerja di universiti sambil membuat kajian untuk tugas perisikan
ini.
Mata dan telinga untuk
misi ini ramai, cuma mereka tidak kelihatan pada umum!
“Buka pakaian kamu,”
suruh Doktor Pang, ketika dia masuk dalam bilik pemeriksaan.
Umar segera akur. Baju
kemejanya ditanggalkan perlahan, lalu disangkut pada penyangkut yang tersedia
di dinding. Anak muda itu berdiri tegak, lalu menarik nafas dalam sehingga
berombak dadanya yang bidang.
“Maaf, buka semua
sekali,” suara Doktor Pang menyedarkannya. “This
is total inspection!” Doktor berbangsa Cina yang berwajah kering itu
berkata tanpa apa-apa riak. Seolah-olah kerja itu sudah mangli padanya.
“Apa?” Umar membeliakkan matanya. Sambil meneguk liur, dia mengerling
ke sekitar dan sempat merungut, ‘Ah!
Kacau...!’
SETIAP PETANG MENGIKUTI latihan di situ, Umar rasa dia
bersendirian. Professor Azhar tidak lagi ditemuinya di situ. Dia hanya nampak pensyarah
itu di dalam kelas di universiti. Memahami tugasnya adalah rahsia, dia tidak
pernah cuba berbincang dengan pensyarahnya itu secara terbuka.
Sebelum tiba ke sesi
ini, mereka perlu melalui ujian ketahanan fizikal selama dua bulan. Umar dan
beberapa anak muda sebaya dengannya disuruh berlari jarak jauh dan diukur
degupan jantung. Oleh kerana dia sudah biasa berlari, dia mendapat tempat
terbaik di antara lapan peserta. Mereka juga dilatih berenang, menyelam dan
pelbagai lagi. Di dalam kebanyakan ujian, Umar telah berjaya mendapat tempat
pertama.
Mereka kemudiannya
diberi latihan penyesuian diri ala-ala tentera dengan kawasan udara, air, darat
dan paya. Setiap latihan itu amat menguji ketahanan fizikal dan mentalnya,
namun Umar dapat melaluinya setiap kali dengan cemerlang.
Dalam diam, anak muda
itu rasa teruja. Tugas itu dirasakan mencabar kemampuan mudanya. Dia yang
memang sukakan aktiviti lasak dan berani, merasa dihargai tatkala mempelajari
semua kemahiran itu.
Petang itu, pulang
dari latihan, Suhail memberinya satu kad pengenalan baru. Umar serta-merta
meneliti nama yang terpapar di atas kad itu. Ternyata, namanya telah ditukar
kepada ‘Murad Bin Abdullah’, begitu juga alamat serta butir-butir lain.
“Sewaktu bertugas,
kamu harus lupakan identiti asal kamu. Simpan kad pengenalan asal kami dalam
peti besi!” tegas arahan dari Suhail. “Kamu Murad Abdullah, seorang dispatch berumur dua puluh tujuh tahun
yang berasal dari Melaka. Kamu mesti kenal betul-betul Murad Abdullah itu dan
apa bidang tugasnya!”
‘Seorang dispatch? Berusia lebih tua pula?’ Anak
muda itu mengangguk-angguk kelat. Pastilah dia, selepas ini tentu tugasnya
banyak merisik data di pejabat-pejabat yang bakal dimasukinya.